Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pendekatan serampang tiga mata sektor awam kurangi pelepasan karbon

Tetapkan sasaran lebih tinggi baru, galak ekonomi mapan dan kewarganegaraan hijau, dorong pegawai awam sumbang kepada kemampanan SG
Jul 13, 2021 | 05:30 AM



PEJABAT milik pemerintah dan prasarana awam telah menetapkan sasaran mencapai pelepasan maksimum sekitar 2025, dan akan mula mengurangkannya lima tahun lebih awal daripada seluruh negara.



Di bawah Perjanjian Paris, Singapura menyasar mencapai puncak pelepasan karbon pada 65 juta tan menjelang 2030, mengurangkan jumlah itu sebanyak separuh kepada 33 juta tan menjelang 2050, dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih dalam separuh kedua abad ini.



Singapura menjana 52.5 juta tan gas rumah hijau pada 2017, dan menyumbang sekitar 0.1 peratus daripada pelepasan global.



Semalam, Cik Fu berkata sektor awam akan menetapkan "matlamat mencabar" bagi pengurangan tenaga, air dan sisa menjelang 2030.



Penggunaan tenaga dan air akan dikurangkan sebanyak 10 peratus daripada purata tiga tahun lalu.



Jumlah sisa yang dibuang oleh sektor awam akan dikurangkan sebanyak 30 peratus daripada apa yang akan dijana tahun depan.



Bangunan sektor awam dengan tempat makanan akan mengasingkan sisa makanan bagi rawatan menjelang 2024.



Cik Fu menambah bahawa Singapura menyasar mengurangkan jumlah tenaga yang digunakan untuk menghasilkan air laut yang dinyahgaramkan sebanyak separuh, dan sedang meneroka teknologi baru dalam osmosis berbalik untuk mempertingkat pengeluaran NEWater.



"Sasaran ini akan dikenakan bagi seluruh spektrum operasi sektor awam, dan memastikan kemampanan ditanam dalam teras fungsi sektor awam," kata Cik Fu.



Inisiatif GreenGov.SG sebahagian daripada Pelan Hijau Singapura 2030, iaitu peta jalan dengan sasaran kemampanan yang bertujuan membantu negara ini mencapai pelepasan karbon sifar bersih secepat mungkin.



Dengan 1,600 kemudahan dan bangunan diliputi, inisiatif itu akan merangkumi loji menukar sisa kepada tenaga, prasarana pengangkutan awam dan pusat penjaja.



"Selama bertahun-tahun, perkhidmatan awam kita telah bekerja keras memastikan penakatan dan kemajuan Singapura.



"Hari ini, perkhidmatan awam akan menerajui usaha ke arah masa depan lebih mampan dan rendah karbon menerusi GreenGov.SG," kata Cik Fu.



Sasaran bagi sektor awam mengurangkan pelepasan karbon sebelum seluruh negara hanya sebahagian daripada sebuah pendekatan serampang tiga mata.



Tunggak kedua ialah memastikan agensi pemerintah membeli produk yang memenuhi piawaian kecekapan dan kemampanan tinggi sementara sekolah dan orang awam akan didedahkan kepada amalan mampan.



"Sebagai pembeli barangan dan perkhidmatan utama, sektor awam akan mempengaruhi penyedia dan pembekal perkhidmatan kita untuk menjadi lebih mampan, dan menggalak syarikat kita mengembangkan keupayaan untuk berkembang maju dalam ekonomi global rendah karbon," kata Cik Fu.



Misalnya, bangunan dan premis sektor awam hanya boleh menggunakan kelengkapan air paling cekap, produk bangunan mesra alam dan kenderaan elektrik.



Cik Fu menambah bahawa ciri-ciri kemampanan akan menjadi sebahagian daripada ruang masyarakat juga.



Misalnya, kawasan Senja akan mempunyai pusat penjaja mampan, yang menampilkan pencerna sisa makanan, pengumpulan air hujan dan panel suria.



"Kami berharap dapat menyediakan ruang makan masyarakat lebih hijau bagi penduduk, sementara memupuk tabiat mesra sekitaran seperti pengasingan sisa makanan dan pengitaran semula," tambah beliau.



Ini membawa kepada tunggak ketiga, iaitu menanam budaya kemampanan dalam kalangan pegawai awam.



Ini akan dilakukan menerusi kempen dan sesi perkongsian di mana kakitangan awam akan belajar lebih lanjut tentang teknologi dan huraian terkini dalam ruang kemampanan.



Cik Fu juga berkata dua minggu lalu bahawa perkhidmatan awam telah melancarkan kempen Bring Your Own (Bawa Kepunyaan Awak), yang menggalak pekerja mengurangkan penggunaan pinggan mangkuk dan sudu garpu pakai buang.



"Pemerintah boleh menetapkan dasar, tetapi tenaga untuk membawa perubahan tetap mesti datang daripada kita semua - ketua perniagaan yang mahu menghasilkan barangan dan perkhidmatan mereka dalam cara yang lebih berdaya tahan dan mampan, ibu bapa yang ingin meninggalkan dunia yang lebih baik buat anak-anak mereka, dan individu yang menyayangi alam sekitar yang kita semua diami," kata beliau.




Sekilas inisiatif GreenGov.SG



Cemerlang dengan sasaran baru dan lebih bercita-cita tinggi bagi sektor awam



- Kurangkan penggunaan tenaga dan air sebanyak 10% daripada purata 2018-2020 menjelang 2030



- Kurangkan jumlah sisa yang dibuang sebanyak 30% daripada paras 2022 menjelang 2030



- Tetapkan sasaran bagi bangunan, teknologi maklumat, pengangkutan, dan pengerahan suria, yang lebih bercita-cita tinggi daripada matlamat nasional



- Sasaran juga ditetapkan kepada prasarana dan operasi sektor awam



Menggalak ekonomi mampan dan kewarganegaraan hijau dengan menanam kemampanan dalam teras perniagaan



- Beli produk yang penuhi piawaian kecekapan atau kemampanan sumber tinggi



- Ambil kira dasar dan amalan berkaitan kemampanan syarikat apabila menilai tender pemerintah



- Terus pertingkat kesedaran awam dengan mempamerkan kemampanan di ruang masyarakat, seperti pusat penjaja



Mendorong pegawai awam menyumbang secara aktif kepada kemampanan di Singapura



- Galak pertukaran amalan terbaik dan huraian terkini untuk memberi inspirasi dan memperkasa pegawai awam



- Sokong pegawai awam yang ingin memperjuang inisiatif masyarakat




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >