Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SEKITAR RAMADAN

Rezeki F&B lebih terbuka Ramadan tahun ini

Antara pelonggaran langkah pengurusan selamat Covid-19 yang dilaksanakan baru-baru ini termasuk membolehkan lebih ramai orang berhimpun dan makan di luar dalam kumpulan lebih besar. BERITA HARIAN meninjau kesan langkah ini ke atas kedai dan restoran halal Singapura, lebih-lebih lagi sempena Ramadan tahun ini.
Apr 18, 2022 | 05:30 AM



KEDAI makanan dan minuman (F&B) halal melaporkan penjualan dan suasana yang lebih rancak pada Ramadan tahun ini berbanding dua Ramadan lalu, dengan kumpulan pelanggan lebih besar dilihat sewaktu berbuka puasa.



Ini didorong pelonggaran langkah pengurusan selamat, yang membolehkan kumpulan lebih besar hingga 10 orang, berbanding had lima orang sebelum ini, untuk menjamu selera di luar.



Pemilik rangkaian kafe The Malayan Council dan The Fortune Cookie, Encik Mohamad Hafiz Salim al-Khatib, berkata penjualan keseluruhan meningkat sekitar 25 peratus tahun ini berbanding Ramadan tahun lalu.



"Tempahan untuk kumpulan lebih besar telah meningkat dengan banyak sejak peraturan makan di restoran dilonggarkan.



"Kami berharap melihat sambutan lebih positif akan datang," ujar Encik Hafiz.



Restorannya, yang terletak di Bussorah Street, juga melihat semakin ramai pelanggan warga asing, meskipun pelanggan setempat masih membentuk sebahagian besar pelanggannya.



Selain langkah membolehkan saiz perhimpunan yang lebih besar, Singapura juga telah membuka sempadannya kepada lebih ramai pelawat yang sudah divaksinasi.



Tahun ini, kedai-kedai yang terletak di Kampong Glam juga meraih manfaat daripada bazar yang kembali memeriahkan suasana perayaan di kawasan tersebut.



Ketua pegawai operasi rangkaian kafe dan restoran, The Black Hole Group, Encik Sufi Hassan, juga berkata syarikatnya melihat kumpulan pelanggan lebih besar untuk berbuka puasa pada Ramadan ini, khususnya di hujung minggu.



"Sambutannya seperti yang saya jangkakan sejauh ini. Kami juga akui ada kesan daripada bazar Ramadan yang dihidupkan semula serta pembukaan sempadan kepada pasaran secara umumnya," kata Encik Sufi.



Bagaimanapun, syarikat The BlackHole Group - yang merangkumi beberapa restoran dan kafe termasuk Afterwit dan Tipo - itu juga melihat tempahan penghantaran makanan yang merosot sedikit setelah peraturan makan di restoran dilonggarkan.



Di kawasan lain, pemilik restoran Chai Chee Seafood Restaurant di Changi Road, Encik Mohamed Elias Tahir, melihat penjualan keseluruhannya meningkat sekitar 20 peratus berbanding Ramadan tahun lalu.



"Alhamdulillah, suasananya positif dan orang ramai bersikap optimistik dan ceria," kata Encik Elias.



Namun, pihak beliau juga melihat penjualan makanan yang dibungkus merosot sedikit, dengan lebih ramai pelanggan yang menjamu selera di restoran.



Bagi perniagaan yang terletak di kedai kopi, seperti gerai nasi padang Nenda di Clementi, mereka turut melihat lebih ramai pelanggan yang kini makan di luar sejak langkah pengurusan selamat dilonggarkan.



Secara keseluruhannya, perniagaan itu melihat penjualan yang meningkat sekitar 20 peratus berbanding Ramadan lalu.



"Memandangkan kami beroperasi dari kedai kopi, kebanyakan pelanggan masih memilih untuk makan di rumah," ujar pemilik bersama Nenda, Encik Mohamad Haikal Mohamed.



Sedang pemilik perniagaan mencatatkan penjualan yang lebih baik tahun ini, mereka masih menghadapi cabaran seperti kekurangan pekerja serta keperluan memastikan operasi dapat berjalan baik khususnya pada masa sibuk yang tertumpu pada waktu buka seperti yang dilihat pada Ramadan-Ramadan lalu.



Tahun ini, perniagaan juga berdepan dengan kenaikan kos barangan mentah dan elektrik.



Namun, rata-rata para peniaga yang diwawancara masih bersikap positif keadaan akan menjadi lebih baik.



"Seperti semua pemilik restoran lain, khususnya yang terletak dalam kawasan rekreasi, kami berharap segalanya akan kembali seperti biasa," kata Encik Hafiz.




REAKSI PEMILIK KAFE 



"Tempahan untuk kumpulan lebih besar telah meningkat dengan banyak sejak peraturan makan di restoran dilonggarkan.



Kami berharap melihat sambutan lebih positif akan datang...



Seperti semua pemilik restoran lain, khususnya yang terletak dalam kawasan rekreasi, kami berharap segalanya akan kembali seperti biasa.''
- Encik Mohamad Hafiz Salim al-Khatib, pemilik rangkaian kafe, The Malayan Council dan The Fortune Cookie.



"Sambutannya seperti yang saya jangkakan sejauh ini.



Kami juga akui ada kesan daripada bazar Ramadan yang dihidupkan semula serta pembukaan sempadan kepada pasaran secara umumnya.''
- Encik Sufi Hassan, ketua pegawai operasi rangkaian kafe dan restoran, The Black Hole Group.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >