Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sekitaran strategik sesuai, kemantapan, kunci pemulihan pandemik negara: PM Lee

Oct 27, 2021 | 11:24 PM



SEDANG Asean dan rakan kerjasamanya menyesuaikan diri hidup bersama Covid-19, mereka hanya boleh pulih sepenuhnya dalam sekitaran strategik yang sesuai, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong di satu perhimpunan 18 pemimpin merentasi rantau ini pada Rabu (27 Oktober).



Berucap di Sidang Puncak Asia Timur, beliau berkata dalam berdepan dengan cabaran persaingan kuasa utama yang berlanjutan dan tekanan geopolitik, Singapura lebih bersemangat dengan komitmen yang ditunjukkan rakan kerjasama luar rantau ini dalam mengangkat pemusatan Asean dan bekerjasama dengan pelantarnya.



Forum pada petang Rabu itu merupakan acara hari kedua daripada tiga hari di mana mesyuarat maya diadakan dan menghimpunkan 10 negara anggota Asean dan lapan rakan kerjasama penting - Australia,  China, India, Jepun, New Zealand, Russia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat - dalam kumpulan yang mewakili lebih separuh penduduk dunia dan lebih 60 peratus hasil dalam negeri kasar.



"Kami berharap aturan keselamatan baru akan menyumbang secara membina pada keamanan dan kemantapan serantau," kata PM Lee.



Awal daripada itu, Perdana Menteri Australia, Encik Scott Morrison, telah memberi jaminan kepada rakan sejawatannya di Sidang Puncak Asean-Australia bahawa perjanjian pertahanan tiga hala yang ditandatangani pada September antara negaranya, Britain dan Amerika Syarikat, yang dipanggil Aukus, akan memperkukuh komitmen Canberra dan sokongan buat seni bina serantau yang dipimpin Asean.



Kerjasama yang akan membekalkan Canberra dengan kapal selam berkuasa nuklear telah mewujudkan keprihatinan dalam kalangan beberapa negara Asean mengenai potensinya dalam mengapi-apikan satu perlumbaan senjata di samping menambah lagi permusuhan Amerika-China di rantau ini.



Aukus dilihat secara meluas sebagai langkah tikam balas pada sikap mendesak China yang kian ketara di Laut China Selatan khususnya.



Pada Rabu, Perdana Menteri baru Jepun, Encik Fumio Kishida, dalam kehadiran pertamanya di mesyuarat Asean peringkat tinggi, turut berikrar pada sidang puncak Asean-Jepun untuk bekerjasama dengan rantau ini bagi memastikan kawasan Indo-Pasifik bebas dan terbuka dengan penekanan pada kebebasan pengemudian dan huraian perselisihan faham sejajar dengan undang-undang antarabangsa.



Menyifatkan hubungan Amerika-China sebagai faktor kedamaian dan kemakmuran, PM Lee berkata di Sidang Puncak Asia Timur: "Negara di rantau ini mahu mempunyai hubungan baik dengan kedua-duanya, Amerika Syarikat dan China, dan enggan menyebelahi mana-mana pihak."



Beliau mengalu-alukan pertukaran pendapat peringkat tinggi antara Amerika dengan China lantas menambah: "Kami berharap Amerika dan China akan mengusahakan kesepakatan yang membolehkan kerjasama dalam bidang kecenderungan serupa, walaupun mereka bersaing secara sihat dalam cabang lain."



PM Lee juga menambah mengenai Laut China Selatan, kedudukan Singapura diketahui ramai dan konsisten.



"Sebagai negara bukan penuntut hak, kami tidak berpihak pada tuntutan wilayah saingan tetapi sebagai negara kecil yang bergantung pada perdagangan demi penakatan, kami mempunyai beberapa kepentingan asas yang dipertaruhkan: Untuk mengekalkan kedamaian dan kemantapan dalam salah satu laluan air tersibuk dunia; menegakkan hak semua negara bagi kebebasan pengemudian dan penerbangan; dan bagi menyokong huraian damai pertelingkahan mengikut prinsip undang-undang antarbangsa yang diiktiraf secara sejagat; termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS)," jelas PM Lee.



Menurutnya, Singapura berharap semua pihak yang terlibat akan bekerjasama dalam mengekalkan dialog, memelihara keamanan dan kemantapan serantau serta memastikan tindakan mereka sejajar dengan undang-undang antarabangsa.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >