MULAI Rabu (19 Mei), semua sekolah rendah, sekolah menengah, maktab rendah, Institut Millennia dan sekolah pendidikan khas (Sped) akan beralih ke pembelajaran di rumah (HBL) penuh sehingga hujung penggal pada 28 Mei 2021.
Cuti sekolah Jun akan berlangsung selepas tarikh tersebut.
Prasekolah dan pusat penjagaan pelajar akan tetap dibuka bagi menyokong ibu bapa yang perlu bekerja di luar.
Demikian diumumkan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing semasa sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) yang diadakan pada Ahad malam.
Keputusan beralih ke HBL penuh adalah berikutan bilangan kes jangkitan Covid-19 dalam masyarakat yang meningkat hari demi hari, dengan bilangan kes dalam masyarakat sebanyak 38 hari ini.
Sungguhpun begitu, Kementerian Pendidikan (MOE) menjelaskan peperiksaan bahasa ibunda bagi Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'O' dan "A' akan diteruskan seperti yang dijadualkan dengan langkah pengurusan selamat yang lebih tegas dikendalikan, kata MOE dalam kenyataannya pada Ahad.
Menjelaskan mengapa MOE melaksanakan HBL daripada menunda cuti sekolah, Encik Chan berkata langkah itu bertujuan mengurangkan kegiatan di luar rumah seberapa banyak yang boleh.
Beliau juga menambah pihak sekolah lebih memilih untuk mempunyai tambahan masa dalam menyelesaikan apa yang diajarkan kepada pelajar sebelum menutup penggal pembelajaran bagi penggal ini daripada menundanya kepada penggal ketiga. Cuti sekolah Jun berlangsung antara 29 Mei hingga 27 Jun.
"Kita tidak tahu apa yang akan jadi pada Penggal 3. Jika kita muatkan segalanya pada Penggal 3, ia boleh menimbulkan banyak tekanan buat pelajar, ibu bapa dan sekolah. Justeru, mengambil maklum balas yang diberi, kami merasakan, lebih bermakna mengalihkan pembelajaran kepada HBL bagi baki tujuh hari ini," kata Encik Chan.