Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sekretariat kempen ajak semua ganding bahu perangi dadah

Sep 25, 2018 | 05:30 AM



MENDEKATI masyarakat dengan tujuan menyebar luas mesej antidadah adalah antara cabaran paling besar yang pernah dihadapinya dalam kerjaya dua dekad dalam Biro Narkotik Pusat (CNB).



Namun Superintenden Saherly Limat, yang sejak April 2017 telah mengetuai sekretariat di sebalik kempen 'Dadah Itu Haram', berkata usaha itu juga memberi pasukannya kepuasan yang lebih besar.



''Kami telah mengorak langkah luas sejak ditubuhkan tahun lalu... tetapi masih banyak lagi usaha yang boleh dilakukan,'' kata Superintenden Saherly, 45 tahun, Timbalan Pengarah di Jabatan Operasi di CNB.



''Paling penting, kami ingin masyarakat sedar bahawa masalah ini wujud dan faham bahawa masalah dadah boleh ditangani bersama.



''Malah, kita berupaya menangani masalah dadah dengan lebih baik jika kita lakukannya bersama, termasuk melalui projek yang dimulakan oleh kumpulan bukan pemerintah.''



Dilancarkan pada April 2017 oleh Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan) Encik Amrin Amin, kempen 'Dadah Itu Haram' bertujuan menyuntik nafas baru dalam usaha berterusan menyebar mesej antidadah di Singapura.



Ini termasuk menyebarkan risalah antidadah kepada pelanggan di tempat menjual makanan malam yang menjadi tumpuan belia, seperti di Simpang Bedok; bekerjasama dengan Masjid Yusof Ishak dan kumpulan berbasikal untuk mengadakan kegiatan berbasikal beramai-ramai selain bekerjasama dengan pasukan bola sepak Liga Perdana Singapura Home United untuk mengunjungi pegerai dan pelanggan di beberapa tempat menjual makanan.



Hujung minggu lalu, sekretariat itu melancarkan siri empat video mengandungi mesej antidadah yang dijayakan pengarah dan penerbit filem setempat.



Hujung minggu ini pula, sekretariat tersebut turut bekerjasama dengan sekumpulan pelajar bagi mengadakan persembahan teater.



Ia sebahagian daripada usaha mendekati pelajar di institut pengajian tinggi (IHL), ujar Superintenden Saherly.



Menurut beliau, kerjasama dengan pihak berkepentingan lain dalam masyarakat Melayu/Islam, terutama kumpulan belia penting, dalam usaha menyebar mesej antidadah.



''Kami mahu mendekati belia sebelum mereka terjebak dalam dadah... kami juga ingin menunjukkan kepada belia yang terjebak dalam dadah bahawa ada laluan hidup lain walau mereka pernah tersilap jalan,'' ujar Superintenden Saherly, yang juga bapa tiga anak berusia antara 12 dengan 17 tahun.



Semalam, sekretariat yang diketuai Superintenden Saherly itu menerima Anugerah Pencapaian Home Team di majlis penyampaian Anugerah Menteri Ehwal Dalam Negeri kerana usaha mereka mendekati masyarakat sejak tahun lalu.



Semasa melancarkan kempen 'Dadah itu Haram' di Masjid Sultan, tahun lalu, Encik Amrin berkata anggota masyarakat perlu menunjukkan mereka menyayangi rakan dan anggota keluarga mereka dengan melindungi mereka daripada dadah atau membantu membebaskan mereka daripada perbuatan menyalahgunakan dadah.



Perangkaan menunjukkan bahawa lebih separuh daripada lebih 3,000 penyalahguna dadah yang ditangkap tahun lalu adalah orang Melayu.



Namun, jumlah mereka itu, iaitu 1,618 orang, adalah lebih rendah daripada jumlah 1,713 penyalahguna dadah Melayu yang ditangkap pada 2016.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >