Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:20
Asar
4:35
Maghrib
7:21
Isyak
8:31
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sektor ekonomi baru sedia banyak peluang kerja

Pemerintah sedang lakar skim sokongan kewangan semasa pencari kerja pertingkat kemahiran
Aug 20, 2023 | 08:11 PM



Semakin banyak peluang terdapat dalam sektor ekonomi baru yang harus direbut, termasuk dalam bidang digital.

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata ini merupakan antara bidang baru yang menawarkan peluang pekerjaan yang luas, meskipun ekonomi global masih tidak menentu.

Encik Lee berkata demikian dalam ucapan dalam bahasa Melayu di Rapat Hari Kebangsaan (NDR) pada Ahad.

“Antara perkara yang kita idam-idamkan tentulah kemajuan ekonomi, pekerjaan dan mata pencarian yang mantap. 

“Namun, keadaan dunia pada masa hadapan dijangka tidak menentu dan terus bergelora. Sungguhpun demikian, sebenarnya banyak peluang tersedia bagi mereka yang berani merebutnya. 

“Sektor ekonomi baru sedang bercambah, mewujudkan pekerjaan baru yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.

“Satu contoh ialah bidang digital, yang amat memerlukan kemahiran baru dan ilmu yang mendalam,” kata Encik Lee.

Beliau memberi contoh peluang pekerjaan yang ditawarkan bidang digital seperti penggiat YouTube, saintis data dan pereka UX (pengalaman pengguna) atau UI (antaramuka pengguna).

“Siapa kata dengan permainan online, kita tak boleh cari makan? Sebenarnya, boleh! Bagaimana caranya? Dengan menjadi seorang pemain profesional, jurulatih, atau pun pengulas,” tambah beliau.


Encik Lee turut melahirkan rasa gembira menyaksikan lebih ramai kini beralih ke sektor digital, termasuk karyawan Melayu/Islam.

Bilangan karyawan Melayu/Islam dalam sektor itu telah meningkat, dengan sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Malay Muslim in Tech mempunyai sekitar 400 anggota pada masa ini.

“Mereka menganjurkan bengkel, seminar dan sesi rangkai kerja untuk menggalak perkongsian idea, kemahiran serta peluang-peluang baru,” kongsi Encik Lee.

Namun, beliau menekankan bahawa di sebalik peluang-peluang itu, timbul tekanan untuk sentiasa mengikuti trend terkini. 

Dalam pada itu, terdapat juga kebimbangan bahawa pekerjaan manusia mungkin diambil alih robot atau aplikasi kecerdasan buatan (AI), tambahnya.

“Memang kita menjangka lebih banyak gangguan ke atas pekerjaan. Lebih ramai pekerja kita akan terjejas dan mungkin hilang pekerjaan beberapa kali sepanjang kerjaya mereka. 

“Hakikatnya, pekerjaan sangat penting dalam kehidupan kita. Apabila kita hilang pekerjaan, kita mungkin cepat putus asa dan hilang keyakinan,” kata beliau. 

Lantaran itu, Encik Lee berkata pemerintah akan mengambil pelbagai langkah untuk membantu pekerja memperoleh kemahiran baru dan beralih ke sektor baru. 

Sebagai contoh, Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture dan Program Penukaran Kerjaya, Tenaga Kerja Singapura (WSG). WSG dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja NTUC (e2i) pula boleh membantu warga Singapura mencari pekerjaan baru. 

Encik Lee juga berkata pemerintah faham akan kesusahan yang dihadapi pencari kerja. 

Oleh itu, pemerintah sedang melakar sebuah skim yang menawarkan sokongan kewangan sementara bagi pekerja yang diberhentikan semasa mereka meningkatkan kemahiran. 

Beliau berkata: “Skim ini akan meringankan tekanan yang dihadapi pencari kerja. Dengan ini, anda boleh tumpukan perhatian untuk menjalani latihan semula demi mendapatkan pekerjaan jangka panjang yang lebih baik. 

“Inilah cara kami boleh membantu anda bangkit semula dengan lebih yakin. Kami sedang memperhalusi butiran skim ini, dan pemimpin 4G akan berkongsi lebih lanjut mengenainya apabila mereka menggulung inisiatif Forward SG.”

Selain usaha pemerintah, Encik Lee turut memuji peranan badan Melayu/Islam dalam menyokong pencari kerja. 

Misalnya, beliau berkongsi bahawa Yayasan Mendaki bekerja rapat dengan agensi M Kuasa Tiga (M3) dan badan Melayu/Islam untuk mendekati pekerja Melayu. 

“Malah, pemimpin Melayu di NTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan) juga aktif terlibat dalam membantu mereka meningkatkan kemahiran dan mendapatkan pekerjaan.

“Bersama-sama, mereka memperkukuh proses rujukan bagi program latihan, peningkatan kemahiran dan pemadanan pekerjaan,” ujar Encik Lee.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >