Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sekumpulan pengguna PMD bantu penunggang motosikal dalam kemalangan

Jul 20, 2019 | 05:30 AM



MALAM 'tenang' yang diharapkan rupa-rupanya bertukar menjadi penuh drama bagi penghantar makanan, Encik Nurazhar Salleh.



Kelmarin, Encik Nurazhar bukan sahaja menjadi saksi satu kemalangan jalan raya, bahkan beliau dan sekumpulan rakannya - semuanya penghantar makanan GrabFood - turut memberi bantuan kepada mangsa kemalangan dan juga anggota pihak keselamatan yang dikejarkan ke tempat kejadian.



Secara kebetulan, kemalangan di Ang Mo Kio Avenue 5 itu berlaku semasa Encik Nurazhar dan rakan-rakannya sedang menunggu lampu isyarat untuk menyeberang jalan raya.



Sekumpulan tujuh penghantar makanan itu menggunakan alat mobiliti peribadi (PMD) dan menggelar diri mereka sebagai Mini Riders.



"Ia berlaku begitu pantas. Tiba-tiba van yang sedang membelok ke kanan merempuh motosikal yang sedang bergerak ke arah kami dari Buangkok Green," cerita Encik Nurazhar, 31 tahun, berkongsi insiden yang disaksikannya itu.



Kata Encik Nurazhar, motosikal itu berlanggar dengan bahagian tempat duduk penumpang di depan van, menyebabkan penunggang motosikal itu terhumban ke hadapan sebelum rebah ke jalan raya.



"Kami lihat banyak darah keluar dari mulut, hidung dan telinga penunggang... beliau begitu lemah dan hampir tidak sedarkan diri," kata Encik Nurazhar, yang berkata penunggang itu seorang wanita Melayu berusia sekitar 20-an tahun.



Pemandu van itu, seorang lelaki separuh abad, menurut Encik Nurazhar, tidak mengalami sebarang kecederaan ketara.



Menurut Encik Azhar, yang menjalani perkhidmatan negara di Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), beliau dan rakannya tidak berani menggerakkan wanita itu.



Sebaliknya, mereka cuba berbual dengan wanita itu supaya beliau terus sedar sementara menanti ambulans.



Seorang rakannya berjaya menghubungi ibu bapa penunggang itu, yang cuba bercakap dengan anak mereka menerusi panggilan video.



Selepas polis dan ambulans tiba, Encik Nurazhar dan rakan-rakannya membantu paramedik mengangkat mangsa ke ambulans, sementara beberapa rakan lain membantu memesongkan kenderaan lain dari kawasan itu.



Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) tentang insiden itu, jurucakap polis berkata pihaknya diberitahu tentang kemalangan melibatkan sebuah van dan motosikal itu di simpang Ang Mo Kio Avenue 5 dengan Serangoon North Avenue 6 pada 10.57 malam pada 18 Julai.



Penunggang motosikal, seorang perempuan berusia 24 tahun dihantar ke Hospital Tan Tock Seng dalam keadaan sedarkan diri.



"Polis sedang menyiasat," ujar jurucakap itu.



Encik Nurazhar dan rakan-rakannya bersurai dari tempat kejadian sekitar 12 tengah malam - 40 minit selepas kejadian berlaku.



Menurut Encik Nurazhar, beliau dan rakan-rakannya rela menahan penat kerana ingin menghulurkan bantuan kepada seorang pengguna jalan raya lain.



"Walau ada kelakuan segelintir penghantar makanan dan pengguna PMD yang mencemari reputasi penghantar makanan lain, berdasarkan pengalaman saya, lebih ramai penghantar makanan dan penunggang PMD yang tidak akan berfikir dua kali untuk menghulur bantuan kepada sesiapa pun," ujar Encik Nurazhar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >