Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ANUGERAH JAUHARI BERITA HARIAN

Selagi ada kesungguhan, kaum Hawa boleh berjaya di sektor IT

Dec 23, 2021 | 05:30 AM



TIDAK ada gunung yang tinggi yang tidak dapat didaki, tidak ada lurah yang dalam yang tidak dapat dituruni.



Sememangnya, tidak mudah bagi seorang wanita yang berkecimpung kerjaya dalam sesebuah industri yang lebih dikuasai golongan Adam, namun Cik Shirin Abdul Hamid membuktikan bahawa selagi ada kemahuan, kesungguhan dan kerja keras, segala-galanya juga boleh dicapai kaum Hawa.



Kejayaan demi kejayaan beliau catatkan dalam industri teknologi maklumat (IT) - daripada memegang peranan kepimpinan dalam syarikat sektor swasta hingga menjadi ketua pengarah dan ketua pegawai maklumat (CIO) jabatan IT di Bank Pembangunan Asia (ADB) di Filipina sejak 2016, yang menerajui sekumpulan lebih 600 kakitangan IT.



Namun kini, beliau akan mengecapi satu lagi kejayaan gemilang dalam kerjayanya.



Cik Shirin, 54 tahun, akan menjadi CIO dan pengarah jabatan teknologi maklumat (ITD) di Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), yang berpangkalan di Washington DC, Amerika Syarikat, mulai 4 Januari ini.



"Dalam bidang IT ini, saya dapati bahawa sehingga hari ini, kami terus menjadi golongan minoriti, bukan hanya sebagai orang Melayu atau wanita sebagai minoriti tetapi dalam teknologi juga, kita masih minoriti.



"Namun, perkara ini tidak pernah membimbangkan saya kerana ibu bapa saya mengajar kami bahawa kita boleh melakukan apa-apa saja yang kita cita-citakan selagi kita memberikan jiwa dan raga dalam perkara yang ingin dilakukan," kata beliau.



Tambah Cik Shirin, golongan wanita harus berkeyakinan diri dan menonjolkan kekuatan mereka, tidak kira dalam apa jua pun bidang yang diceburi, dan jangan pernah memandang rendah terhadap pengalaman dan kemahiran sendiri.



"Anda perlu belajar cara menjadi cemerlang, dan kemudian anda perlu belajar cara untuk yakin tentang diri anda sendiri.



"Saya rasa sebahagian daripada perjalanannya adalah untuk menjadi yakin, dan apabila anda yakin, saya rasa tidak penting sama ada anda seorang wanita atau lelaki dalam sesuatu arena itu," kata ibu dua anak itu.



Cik Shirin telah dinobatkan sebagai Jauhari masyarakat Melayu/Islam tahun ini dalam majlis Anugerah Jauhari 2021 Berita Harian yang diadakan dalam satu majlis jamuan malam di hotel Grand Hyatt Singapore semalam.



Anugerah itu mengiktiraf sumbangan dan pencapaian cemerlang individu Melayu/Islam setempat, tidak kira dalam apa jua bidang yang diceburi, dan tokoh terpilih juga diakui telah meninggalkan kesan mendalam ke atas masyarakat melalui sumbangan dalam bidang yang diceburi.



Di ADB, Cik Shirin telah menjalankan usaha memperbaharui ekosistem dan dasar IT serta operasi sedia ada bank itu, memperkukuh tadbir urus IT dan data, dan memupuk inovasi bagi data besar, keselamatan siber dan platform digital.



Sebelum menyertai ADB, beliau merupakan ketua pegawai teknologi dan pengarah bagi Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) selama 11 tahun di New York. Peranannya itu termasuk menyelia fungsi dan operasi IT di 170 negara dan wilayah.



Antara peranan kepimpinan yang diterajuinya dalam sektor swasta dahulu pula termasuk pemangku pengurus besar bagi IT di Keppel Group dan Keppel Offshore & Marine, konsultan kanan di pejabat Boston dan Singapura Deloitte, dan konsultan di Andersen Consulting/Accenture.



Meskipun pengalaman beliau dalam industri IT begitu meluas, Cik Shirin berkongsi sebenarnya kerjaya dalam bidang itu bukan pilihan beliau yang pertama pada mulanya, memandang beliau seorang pelajar sastera di Methodist Girls' School dan Maktab Rendah Kebangsaan (NJC).



Namun, peluang melihat sendiri kuasa dan nilai teknologi di Kementerian Kewangan (MOF) terus mencetuskan minatnya dalam bidang tersebut.



Dari situ bermulanya perjalanan beliau dalam industri itu, dengan Cik Shirin melanjutkan pengajiannya sehingga berjaya menggenggam ijazah sarjana muda dalam sains komputer dari Universiti Coventry, dan kemudian, ijazah sarjana dalam analisis dan rekaan sistem perniagaan dari City University of London.



"Saya bertekad di mana jua kerjaya saya pun berada, saya mahu meninggalkan kesan positif, seperti mana ibu bapa saya juga telah meninggalkan kesan positif. Mereka benar-benar inspirasi saya," kata beliau, yang merupakan anak ketiga dalam empat beradik.



Ibu bapa beliau ialah aktivis masyarakat, Allahyarhamha Hajah Bibi Mahmood, dan mantan penolong superintendan Pasukan Polis Singapura (SPF), Allahyarham Abdul Hamid Abdul Karim.



Malah, usaha murni arwah ibunya yang giat melakukan kerja kemasyarakatan telah mendorong Cik Shirin sendiri menyumbang kepada masyarakat.



Antaranya, beliau pernah menyumbang tenaga sebagai instruktor berkanu secara sukarela di Kelab Berkanu Persatuan Rakyat, dan pernah mengikuti Operasi Raleigh yang membawanya ke Kenya, Afrika bagi membangunkan klinik di kampung.



Dengan pengalamannya selama 16 tahun dalam bidang pembangunan dengan menggunakan teknologi, Cik Shireen tidak sabar memulakan kerjaya barunya di IMF pada bulan depan untuk membuat perubahan dan kesan lebih besar dan positif demi kebaikan semua di dunia.



Ini termasuk menggunakan teknologi untuk memastikan keadaan dapat terus beroperasi walaupun jika terjadinya bencana seperti gempa bumi, taufan, dan malah pandemik Covid-19 ini.



Beliau juga berharap dapat mengubah budaya, kakitangan dan pemikiran di IMF dengan penggunaan teknologi.



Dengan kemenangan Anugerah Jauharinya itu, Cik Shirin berharap kisah perjalanannya akan dapat menjadi inspirasi kepada ramai orang di luar sana.



"Saya berharap tugas yang saya lakukan ini boleh menjadi inspirasi kepada orang lain, sama ada di Singapura atau di negara lain, terutamanya dalam masyarakat yang sedang membangun.



"Saya mahu memastikan saya meninggalkan kesan positif, khususnya dalam bidang saya, iaitu teknologi. Mungkin ada seorang budak perempuan kecil di luar sana yang suatu hari nanti mahu melakukan sesuatu dan dikenali dunia, dan saya berharap anugerah ini akan memberi inspirasi sedemikian," kata beliau.




"Anda perlu belajar cara menjadi cemerlang, dan kemudian anda perlu belajar cara untuk yakin tentang diri anda sendiri. Saya rasa sebahagian daripada perjalanannya adalah untuk menjadi yakin, dan apabila anda yakin, saya rasa tidak penting sama ada anda seorang wanita atau lelaki dalam sesuatu arena itu.''
- Cik Shirin Abdul Hamid




BIODATA



Cik Shirin Abdul Hamid, 54 tahun, akan menggalas peranan baru di Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), berpangkalan di Washington DC, Amerika Syarikat, sebagai ketua pegawai maklumat (CIO) dan pengarah teknologi maklumat (ITD) mulai 4 Januari ini.



Beliau dipilih bagi peranan itu hasil proses yang sengit di peringkat antarabangsa.



Sebelum ini, beliau ketua pengarah dan CIO jabatan IT di Bank Pembangunan Asia (ADB) di Manila, Filipina sejak 2016, di mana beliau menerajui sekumpulan lebih 600 kakitangan IT.



Sebelum menyertai ADB, beliau juga meluang masa selama 11 tahun di Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di New York sebagai ketua pegawai teknologi dan pengarah, yang menyelia fungsi dan operasi IT di 170 negara dan wilayah.



Cik Shirin dan suami beliau, Encik Ambar Agustono Machfoedy, pengarah urusan firma ekuiti privet, mempunyai dua cahaya mata - Vian, 22 tahun, dan Nadya, 18 tahun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >