Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Semakan sempadan pilihan raya: 14 SMC, 17 GRC

Jumlah Anggota Parlimen ditambah dari 89 masa kini kepada 93
Mar 14, 2020 | 05:30 AM



JAWATANKUASA Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) telah mengeluarkan laporannya semalam, dengan menyarankan 14 Kawasan Undi Perwakilan Perseorangan (SMC) dan 17 Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC).



Ini merupakan tambahan satu SMC dan satu GRC berbanding pilihan raya umum 2015.



Laporan itu dikeluarkan pada hari sama Singapura mengumumkan lebih banyak langkah penjarakan sosial bagi mencegah pandemik koronavirus, termasuk mengehadkan perhimpunan kepada 250 orang bagi mengurangkan risiko jangkitan.



Dalam laporannya, jawatankuasa itu turut menyarankan agar jumlah Anggota Parlimen (AP) dinaikkan kepada 93 berbanding 89 sekarang.



Dalam semakan itu, empat SMC baru telah dibentuk - Kebun Baru, Marymount, Punggol West dan Yio Chu Kang.



Kebun Baru dikeluarkan dari GRC Nee Soon, dan Yio Chu Kang dari GRC Ang Ko Mio, untuk kembali sebagai SMC.



Punggol West, yang AP-nya ialah Setiausaha Parlimen Kanan Sun Xueling, akan dikeluarkan dari GRC Pasir Ris-Punggol.



Marymount pula diukir daripada GRC Bishan-Toa Payoh.



Manakala tiga SMC ditiadakan - Fengshan, Punggol East dan Sengkang West.



SMC Fengshan akan diserapkan ke dalam GRC East Coast.



SMC Punggol East dan SMC Sengkang West pula akan dimasukkan ke dalam GRC Sengkang baru, yang akan turut mengambil sebahagian daripada GRC Pasir Ris-Punggol.



Ini sedang GRC gergasi Pasir Ris-Punggol dan Ang Mo Kio dikecilkan daripada enam anggota kepada lima anggota, sekali gus meniadakan kawasan undi enam anggota.



Dalam pada itu, GRC East Coast dan GRC West Coast menjadi lebih besar, daripada empat anggota kepada lima anggota.



Kedua-dua kawasan itu disebut sebagai berpotensi menjadi kawasan hangat dalam pilihan raya akan datang.



Ini kerana GRC East Coast dijangka sekali lagi dipertandingkan Parti Pekerja (WP). Parti Kemajuan Singapura (PSP) pimpinan mantan AP Parti Tindakan Rakyat (PAP) Dr Tan Cheng Bock pula dikatakan mungkin kembali ke kawasan undinya yang lama di West Coast.



Sementara itu, sempadan kawasan undi yang kini dikuasai WP - GRC Aljunied dan SMC Hougang - tidak berubah.



Kesemuanya, terdapat 11 GRC lima anggota - naik daripada lapan, manakala bilangan GRC empat anggota pula kekal enam.



Angka purata AP bagi setiap GRC ialah 4.65, turun daripada 4.75 bagi pilihan raya umum lalu.



Dalam laporannya, jawatankuasa itu berkata semakan sempadan kawasan undi pilihan raya dibuat dengan "mengambil kira konfigurasi semasa, perubahan bilangan pengundi disebabkan oleh perubahan penduduk dan pembangunan perumahan".



Seramai 2,594,740 orang dijangka akan mengundi dalam pilihan raya umum akan datang, naik daripada 2,460,484 dalam pilihan raya umum 2015.



Dengan keluarnya laporan itu, persoalannya seterusnya adalah bila Parlimen akan dibubarkan dan writ pilihan raya dikeluarkan.



Pada 2015, ini berlaku 31 hari selepas laporan itu dikeluarkan. Pada 2001, ini berlaku hanya satu hari selepasnya.



Sementara itu, beberapa AP dan pengamat politik memberi reaksi terhadap perubahan sempadan kawasan undi.



Mengulas langkah Fengshan kembali ke GRC East Coast, AP kawasan itu Dr Mohamad Maliki Osman berkata dua kawasan undi itu telah bekerjasama rapat sepanjang lima tahun lalu dalam pembentukan Majlis Bandaran East Coast-Fengshan.



"Saya mengalu-alukan kemasukan Fengshan balik ke GRC East Coast dan melihatnya sebagai kesinambungan dalam usaha berkhidmat kepada penduduk dan memenuhi keperluan mereka pada masa depan," kata Dr Maliki yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar).



Zamil di Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, pula berkata langkah meniadakan GRC enam anggota, ialah sejajar dengan komitmen yang diberikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk mengurangkan saiz GRC sebelum ini.



"Ini tidak akan mengurangkan keberkesanan dalam mengurus majlis bandaran, dan perwakilan kaum juga kekal.



"Kesannya ialah pembangkang mungkin mendapatinya lebih mudah bertanding dalam GRC lebih kecil itu kerana mereka perlu cari kurang calon," katanya.




"Saya mengalu-alukan kemasukan Fengshan balik ke GRC East Coast dan melihatnya sebagai kesinambungan dalam usaha berkhidmat kepada penduduk dan memenuhi keperluan mereka pada masa depan."
- Dr Mohamad Maliki Osman, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar) dan AP GRC East Coast, tentang langkah Fengshan kembali ke kawasan itu.



"Ini tidak akan mengurangkan keberkesanan dalam mengurus majlis bandaran, dan perwakilan kaum juga kekal. Kesannya ialah pembangkang mungkin mendapatinya lebih mudah bertanding dalam GRC lebih kecil itu kerana mereka perlu cari kurang calon."
- Dr Norshahril Saat, Zamil di Iseas-Institut Yusof Ishak mengenai langkah meniadakan GRC enam anggota.




SEKILAS LAPORAN



  • 14 Kawasan Undi Perwakilan Perseorangan (SMC)

  • 17 Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC)

  • 93 Anggota Parlimen - tambah 4 daripada 89 AP masa kini

  • GRC baru Sengkang dibentuk 

  • 4 SMC baru dibentuk - Kebun Baru, Marymount, Punggol West, Yio Chu Kang

  • 3 SMC ditiadakan - Punggol East, Sengkang West, Fengshan 

  • GRC 6 anggota ditiadakan. GRC Ang Mo Kio dan GRC Pasir Ris Punggol akan mempunyai 5 anggota

  • 11 GRC dengan 5 anggota – Aljunied, Ang Mo Kio, East Coast, Jurong, Marine Parade, Nee Soon, Pasir Ris-Punggol, Sembawang, Tampines, Tanjong Pagar, West Coast

  • 6 GRC dengan 4 anggota – Bishan-Toa Payoh, Chua Chu Kang, Holland-Bukit Timah, Jalan Besar, Marsiling-Yew Tee, Sengkang

  • 2,594,740 warga layak mengundi, naik daripada 2,460,484 pengundi pada pilihan raya 2015




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >