Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: IKON MASYARAKAT

Semakin disekat, idea kian ligat buru peluang baru

Usahawan Fatimah Mohsin kongsi pemikiran di sebalik sikap berani tentang arus kembang empayar niaga di era pandemik
Dec 28, 2021 | 05:30 AM



BIASANYA orang akan "mati akal" bila apa yang diusahakan selama ini terganggu dan tersekat oleh keadaan di luar kawalan.



Namun usahawan setempat, Cik Fatimah Mohsin, akan berada dalam keadaan sebaliknya setiap kali beliau berdepan dengan jalan buntu.



Fikirannya akan lebih cepat bergerak, menerawang bukan sahaja untuk mencari jalan keluar, bahkan meneroka laluan baru dan mencari peluang baru.



Cakap mudahnya, beliau tidak akan duduk diam membiarkan masalah menjadi bebanan fikiran biarpun untuk waktu yang tidak terlalu panjang.



Prinsip ini menjelaskan mengapa beliau berani membuka dua perniagaan baru di tengah-tengah pandemik Covid-19 - sebuah restoran, 555 Halal Thai di Kranji pada Disember tahun lalu, dan pada Julai lalu pula, sebuah salun rambut dan kecantikan, The Right Look di 59 Arab Street.



Sebelum ini, usahawan yang bermula sebagai jurusolek dan mak andam ini cukup dikenali sebagai perancang perkahwinan menerusi Fatimah Mohsin Wedding Gallery dan sebagai pembekal perhiasan rumah, PropUp Store.



Dalam wawancara dengan beliau untuk episod kelapan The BM Show musim keempat, usahawan berusia 46 tahun itu berkongsi pemikiran di sebalik sikap gung-ho atau berani menentang arus dalam usaha membina empayar perniagaannya sendiri.



"Dalam masa pandemik ini memang sebagai seorang usahawan, banyak sangat cabaran selama lebih sembilan bulan dalam 2020 apabila kita tidak dapat menjalankan bisnes dengan sempurna. Banyak kerugian, banyak pembatalan, penangguhan dan macam-macam.



"Tetapi saya jenis suka bekerja. Banyak sangat idea yang tercetus dan alhamdulillah saya rasa pandemik ini pun satu pengajaran untuk saya cuba beranikan diri menceburi bidang-bidang yang akan ada lebih peluang apabila pasaran kita terbuka lagi.



"Saya mencari peluang yang mana saya dapat membina bisnes-bisnes lain yang saya ada saham di dalamnya," kata beliau.



Membuka restoran 555 Halal Thai, merupakan bisnes yang beliau tidak pernah sangka akan diceburinya.



"Restoran itu adalah tempat yang unik. Mungkin tak semua orang suka tempat yang jauh sangat, di Lim Chu Kang, tetapi sebagai orang yang suka mengembara tetapi disekat kerana Covid-19, datang ke tempat itu memberi satu keseronokan.



"Saya rasa tenteram sepanjang perjalanan dengan pemandangan indah ke Kranji. Insya-Allah orang pun akan suka," kata beliau yang kemudian memastikan restoran itu sendiri menawarkan suasana resort seperti di Phuket, Langkawi atau Bali, tambah beliau.



Daripada setakat mencari tempat bagi restoran yang boleh dijadikan ruang majlis perkahwinan, Cik Fatimah mendapat peluang menjadi rakan kongsi restoran itu daripada pemilik asal ruang restoran yang ada sekarang.



Restoran itu mendapat sambutan baik pada beberapa bulan pertama pembukaannya namun beliau menghadapi cabaran lagi apabila langkah keselamatan mencegah Covid-19 dipertingkat selepas Hari Raya lalu.



"Sebagai peniaga, memang dah lalui rintangan, turun naik berniaga... saya cakap tak apalah, ini adalah masa untuk kita susun semula strategi... bagaimana kita nak buat bisnes ini lebih baik?



"Saya gunakan peluang dengan merapatkan rangkaian hubungan saya dengan pelanggan tetap dan merekalah yang sokong perniagaan saya sama ada makan di restoran dengan jumlah had berdua yang dibenarkan atau menghantar makanan ke rumah.



"Saya beritahu staf saya... janganlah ada lockdown lagi... sebab kalau ada, otak saya akan bergerak lagi.... sebab apabila tak banyak kerja nak dibuat, ada sahaja idea yang akan tercetus," selorohnya.



Idea membuka salun pula kata beliau adalah sebagai menyokong adik bongsunya, Cik Nur Hannan, 34 tahun, seorang pendandan rambut yang telah berkecimpung dalam bidang tersebut selama 15 tahun.



"Semasa Jun, Hannan tanya... macam mana, nak buka salun tak? Saya kata, kita kena kerja keras.



"Memandangkan khidmat gunting rambut disenaraikan sebagai perkhidmatan yang perlu, dan saya juga minat bidang berkaitan kecantikan, kami terus mulakan usaha.



"Kenapa kita namakan The Right Look? Sebab ia juga melihatkan kecantikan, fesyen dan gaya hidup," kongsi beliau.



Cik Fatimah berkata mereka bertuah kerana berjaya mendapatkan tempat yang sudah cantik diubah elok di rumah kedai di Arab Street.



Hiasan dalaman di sesuaikan dengan konsep salun ala Jepun yang diidamkan Cik Nur Hannan. Salun itu dibuka dengan modal $150,000.



Dua beradik itu berkata, mereka bersikap praktikal dalam meletakkan jangkaan terhadap pulangan salun itu selagi pandemik belum berakhir.



"Bila kita buat bisnes, kita tak boleh mengharapkan, okey... buka sahaja terus meletup. Akan banyak cabaran dan rintangan. Ada pelanggan bimbang soal kebersihan, penjarakan sosial. Ada yang tak boleh datang sendirian, suka datang ramai-ramai sebab mahu berkawan.



"Apa pun masalahnya, tentu ada cara untuk promosikan perkhidmatan semasa pandemik ini.



"Selain itu, untuk kembangkan bisnes, kena tahu bila dan berapa banyak nak melabur... jangan letakkan semua telur dalam sebuah bakul, ye tak? Labur sikit-sikit, fikir jangka masa panjang," kongsi beliau.



Bagi Cik Fatimah, segala rintangan yang dihadapi dalam membina perniagaannya dilihat sebagai pembakar semangat untuk menjadi lebih baik di hari muka.



"Kadangkala Allah beri kita ujian agar kita dapat belajar sesuatu dan menjadi lebih baik dan lebih kuat.



"Kalau kita selalu betulkan niat kita berniaga, untuk apa dan mana tujuannya... kita akan jadi tenang biarpun ombak badai datang berulang-ulang," kata beliau.




PANDEMIK BUAT DIRI BERANI



"Dalam masa pandemik ini memang sebagai seorang usahawan, banyak sangat cabaran selama lebih sembilan bulan dalam 2020 apabila kita tidak dapat menjalankan bisnes dengan sempurna. Banyak kerugian, banyak pembatalan, penangguhan dan macam-macam.

Tetapi saya jenis suka bekerja. Banyak sangat idea yang tercetus dan alhamdulillah saya rasa pandemik ini pun satu pengajaran untuk saya cuba beranikan diri menceburi bidang-bidang yang akan ada lebih peluang apabila pasaran kita terbuka lagi."



SUSUN SEMULA STRATEGI NIAGA



"Sebagai peniaga, memang dah lalui rintangan, turun naik berniaga... saya cakap tak apalah, ini adalah masa untuk kita susun semula strategi... bagaimana kita nak buat bisnes ini lebih baik?

Saya gunakan peluang dengan merapatkan rangkaian hubungan saya dengan pelanggan tetap dan merekalah yang sokong perniagaan saya sama ada makan di restoran dengan jumlah had berdua yang dibenarkan atau menghantar makanan ke rumah.

Saya beritahu staf saya... janganlah ada lockdown lagi... sebab kalau ada, otak saya akan bergerak lagi.... sebab apabila tak banyak kerja nak dibuat, ada sahaja idea yang akan tercetus."



BETULKAN NIAT NIAGA



"Kadangkala Allah beri kita ujian agar kita dapat belajar sesuatu dan menjadi lebih baik dan lebih kuat.

Kalau kita selalu betulkan niat kita berniaga, untuk apa dan mana tujuannya... kita akan jadi tenang biarpun ombak badai datang berulang-ulang."



- Cik Fatimah Mohsin. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >