Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Semakin ramai lelaki tolak stigma, sedia dapatkan rawatan kesuburan

Jun 05, 2023 | 06:42 AM



Dengan lebih banyak kesedaran dan kesediaan mendapatkan bantuan, bilangan lelaki yang menjalani rawatan kesuburan di hospital dan klinik demi mendapatkan zuriat meningkat sejak beberapa tahun lalu. Namun, masih ada stigma yang dikaitkan dengan masalah kesuburan lelaki, termasuk kebimbangan ‘kelakian’ mereka dipersoal jika ia diutarakan. BERITA HARIAN melaporkan tentang isu kesuburan lelaki..


MALU diketepikan dan stigma tidak diendahkan demi mendapatkan zuriat. Lantaran itu, lebih ramai dari kaum Adam kini tampil mendapatkan rawatan kesuburan di hospital dan klinik setempat dalam usaha mendapat zuriat.

Beberapa pakar berkongsi bersama Berita Harian (BH) bahawa mereka melihat kenaikan bilangan lelaki yang mendapatkan rawatan kesuburan kerana lebih ramai daripada mereka sekarang sedar akan peranan mereka dalam mendapatkan zuriat, lantas bersedia menjalani pemeriksaan.


Pada masa sama, mereka berkata mutu air mani di seluruh dunia semakin merosot sejak beberapa tahun lalu. Ia mungkin disebabkan faktor seperti tekanan, pendedahan kepada kimia, radiasi dan toksin persekitaran serta tabiat pemakanan tidak sihat.

PARAMETER AIR MANI MEROSOT

Dr Ee Tat Xin, konsultan di jabatan perubatan reproduktif Hospital Wanita & Kanak-Kanak KK (KKH), berkata bilangan lelaki yang mendapatkan rawatan kesuburan di klinik andrologi hospital itu meningkat sepanjang 10 tahun lalu.

“Pada masa lalu, mendapatkan rawatan kesuburan mungkin dilihat sebagai satu pengakuan kelemahan oleh lelaki. Bagaimanapun, jika dilihat daripada peningkatan bilangan lelaki yang mendapatkan bantuan, stigma itu sekarang jauh lebih rendah dan keperluan mencapai kehamilan pastinya telah membayangi stigma tersebut,” kata beliau.

Secara umum, isu kesuburan menjejas sekitar 15 peratus pasangan di Singapura hari ini, dengan sepertiga daripadanya disebabkan faktor lelaki, menurut Dr Ee.

Beliau berkata jumlah sperma rendah, pergerakan sperma lemah dan sperma berbentuk tidak normal merupakan isu kesuburan paling biasa dialami lelaki di Singapura.

Namun, trend parameter air mani semakin buruk juga merupakan satu fenomena global yang berleluasa.

Menurut kriteria Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terkini pada 2021, jumlah sperma yang normal ialah 16 juta bagi setiap milimeter ejakulasi – lebih rendah berbanding kriteria 20 juta sperma bagi setiap milimeter ejakulasi yang dicatat sebelum 2000-an.

Dr Janice Tung, pakar proses persenyawaan in vitro (IVF) bertauliah di Pusat Kesuburan Thomson, pula berkata peratusan kes IVF yang dilakukan atas sebab ketidaksuburan lelaki di pusat itu ialah 10.8 peratus pada 2020 – bertambah kira-kira seganda daripada 5.5 peratus pada 2019.

Berdasarkan kajian melibatkan lebih 3,500 pasangan dari 2016 hingga 2020, lebih 50 peratus lelaki didapati mempunyai beberapa keluarbiasaan dalam sampel air mani mereka, kata Dr Huang Zhongwei, konsultan divisyen endokrinologi reproduktif dan ketidaksuburan dari jabatan obstetrik dan ginekologi di Hospital Universiti Nasional (NUH).

“Beberapa sebab yang disebut termasuk lebih ramai lelaki mempunyai anak pada usia lebih lewat, contohnya apabila mereka berusia 40 tahun ke atas ketika mutu air mani mereka terjejas; trend obesiti yang meningkat; faktor persekitaran seperti pemanasan global, pendedahan kepada kimia/pencemaran dan bahaya pekerjaan,” kata beliau.

TANDA-TANDA, FAKTOR & RAWATAN

Melainkan adanya masalah ereksi dan ejakulasi, isu kesuburan lelaki biasanya tidak diketahui hingga selepas mereka berkahwin, kata Penolong Profesor Joe Lee, konsultan kanan di jabatan urologi NUH.

Beliau berkata kebanyakan lelaki yang mempunyai jumlah sperma rendah tidak mengalami sebarang tanda dan hanya menyedari mereka ada masalah itu selepas menjalani analisis air mani.

“Mereka yang mengalami tanda-tanda mungkin melihat tahap libido lemah, ereksi lemah atau ejakulasi tidak normal. Sesetengah lelaki mungkin perhatikan mereka mempunyai buah zakar kecil atau perkembangan lemah ciri-ciri lelaki dewasa seperti janggut dan misai.


“Lelaki dengan urat melebar dekat skrotum dipanggil varicoceles mungkin mengalami rasa sakit sekejap-sekejap dekat testis,” kata beliau.

Doktor berkongsi bahawa pelbagai faktor boleh menjejas kesuburan lelaki, seperti usia lanjut, obesiti, jangkitan penyakit kelamin (STI), kecacatan kelahiran, gangguan autoimun dan penyalahgunaan dadah, ubat hormon atau steroid.

Gaya hidup tidak sihat, seperti merokok, stres berlebihan, dan kurang tidur, juga boleh menjejas kesuburan.

Dr Jazlan Joosoph, pakar obstetrik dan ginekologi Hospital Raffles, berkata bahaya pekerjaan juga boleh menjadi punca ketidaksuburan, umpamanya mereka yang bekerja dalam keadaan terdedah kepada haba berlebihan untuk tempoh berpanjangan, seperti pengimpal dan pekerja binaan.

Mereka yang sering memakai seluar dalam ketat juga boleh mengalami parameter sperma lemah, tambah beliau.

Rawatan bagi masalah ketidaksuburan sebahagian besarnya bergantung pada puncanya, kata Dr Ee. Jika puncanya disebabkan vasektomi atau penggunaan ubat hormon atau steroid, umpamanya, ia boleh diterbalikkan, ujar beliau.

Lelaki yang mempunyai penyakit kronik seperti obesiti atau kencing manis sering boleh melihat keadaan sperma lemah mereka bertambah baik jika mereka menjaga kesihatan.

Namun, punca ketidaksuburan seperti kegagalan testis, gangguan genetik atau ketiadaan kongenital vas deferens, iaitu tiub otot panjang yang menggerakkan sperma ke dalam uretra semasa ejakulasi, tidak boleh diterbalikkan.

“Lelaki yang menghadapi keadaan sedemikian kemungkinan disyorkan bagi proses IVF dan/atau pembedahan pengambilan sperma untuk peluang terbaik bagi mencapai kehamilan,” kata Dr Ee.

BOLEHKAH MAKANAN TAMBAHAN DAN UBAT TRADISIONAL MEMBANTU?

Secara umumnya, doktor berkata makanan kaya dengan antioksidan seperti L-carnitine, L-arginine, zink, selenium, coenzyme Q10, vitamin A, C, E, boleh membantu mengurangkan kerosakan DNA sperma dan mempertingkat mutu sperma secara keseluruhan.

Namun, Dr Anupriya Agarwal, pakar obstetrik dan ginekologi di Hospital Mount Elizabeth, berkata makanan tambahan harus diambil di bawah penyeliaan perubatan.

Berhubung ubat tradisional, Dr Jazlan berkata tidak ada kajian saintifik yang menyokong penggunaan herba dan ubat tradisional untuk kesuburan lelaki.

Dr Darren Goh Wee Yian, pakar urologi dan konsultan di Pusat Urologi Raffles, berkata terdapat pelbagai jenis makanan tambahan dan ubat tradisional atau herba yang mendakwa dapat merangsang kesuburan, namun kebanyakannya tidak mempunyai data klinikal mencukupi.

“Sebahagian besarnya juga tidak mempunyai sebarang kajian klinikal yang diterbitkan untuk membuktikan keberkesanannya,” kata beliau.

DAPATKAN BANTUAN JIKA PERLU

Dr Goh berkata kaum Adam mungkin berasa malu bercakap tentang topik kesuburan kerana ‘kelakian’ mereka dilihat sebagai terjejas, namun beliau memberi jaminan bahawa isu kesuburan adalah sesuatu yang biasa ditangani pakar secara kerap dan semua hal yang dibincangkan semasa konsultasi adalah rahsia.

Sementara itu, Dr Tung berkata faktor ketidaksuburan lelaki juga adalah satu petunjuk bahawa rawatan IVF atau prosedur suntikan sperma intrasitoplasma (ICSI) moden sangat berkesan, dan “lebih cepat anda tampil, lebih muda pasangan anda, lebih kemungkinan anda berjaya dalam menjadi seorang ayah akhirnya”.

Meskipun lebih ramai lelaki kini mendapatkan rawatan kesuburan, Dr Ee menarik perhatian bahawa masih ada lelaki yang menghadapi stigma sperma lemah atau mati pucuk, yang menjejas emosi dan mental mereka.

Beliau berkata sebarang masalah kesuburan harus dihadapi pasangan secara bersama dan oleh itu, penting bagi suami isteri memahami dan menyokong satu sama lain sepanjang proses rawatan.

“Saya ingin menggalak kita semua dalam masyarakat memainkan peranan melenyapkan stigma topik ini.

“Jika topik ini dijadikan sesuatu yang normal; setiap orang bercakap tentangnya seperti ia keadaan kesihatan biasa, umpamanya kencing manis, ekzema dan sebagainya, lebih ramai pasangan akan tampil untuk mendapatkan rawatan awal dan mempertingkat kesihatan mereka,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >