Subuh
5:40
Syuruk
7:04
Zuhur
1:11
Asar
4:35
Maghrib
7:15
Isyak
8:30

Semangat berkobar buru ijazah walau usia lebih setengah abad

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Semangat berkobar buru ijazah walau usia lebih setengah abad

Simpan hasrat raih kejayaan bermakna dalam usia 50 tahun, mahu tingkat kemahiran agar kekal relevan seiring perubahan
Jan 02, 2022 | 05:30 AM

GENGGAM bara biar sampai jadi arang.

Itulah prinsip yang dipegang teguh Cik Saedah Samat-Alkaff, 54 tahun, demi menjadikan impiannya memiliki ijazah Sarjana Muda dalam Pendidikan Muzik dengan Psikologi dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Sejak kecil lagi, Cik Saedah, seorang penyusun dan pengarah muzik di Singapura, sering dinasihati oleh ibu bapanya supaya tidak berputus asa dan berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam apa sahaja yang beliau lakukan.

Oleh itu, walaupun Cik Saedah menghadapi beberapa cabaran semasa pengajiannya dalam memburu ijazah, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk berhenti dan mengaku kalah.

Beliau tetap meneruskan usahanya dengan gigih selama lima tahun supaya dapat memperdalam kemahiran dalam pendidikan muzik serta psikologi.

Cik Saedah kini guru muzik sepenuh masa. Beliau juga pernah menjadi pengarah muzik untuk beberapa konsert tempatan.

Beliau juga merupakan guru electone dan piano di Yamaha Music School di cawangan Thomson Plaza pada setiap hujung minggu.

Menurutnya, adalah amat penting untuk sentiasa mempertingkatkan ilmu dan kemahiran supaya dapat kekal relevan, produktif dan cekap untuk menjalankan tugas dalam dunia hari ini.

"Mentaliti dan tabiat pembelajaran sepanjang hayat harus diutamakan demi kebaikan kita.

"Kita harus sentiasa mempertingkat diri untuk kekal relevan dalam apa-apa pun industri yang kita ingin ceburi.

"Apabila kita kekal relevan, kita akan ada dorongan untuk mempertingkat usaha dan lakukan yang lebih baik lagi," katanya yang berumah tangga dengan Syed Jaafar Alkaff, 61 tahun, editor dan wartawan untuk beberapa majalah kedutaan.

Keputusan untuk melanjutkan pelajaran dan mendapatkan ijazah bermula lima tahun yang lalu

Ketika itu, beliau memikirkan tentang impian yang ingin dicapai - satu kejayaan yang bermakna apabila umur sudah mencecah 50 tahun.

"Bagi saya, ia amat penting untuk terus mempertingkat diri dan kemahiran dalam kursus relevan yang boleh memberi manfaat bukan hanya kepada diri saya sendiri, malah kepada murid-murid saya juga.

"Saya ingin memberikan inspirasi bagi anak murid saya dan menunjukkan kepada mereka bahawa kita tidak perlu mengetahui kesemuanya tetapi kita harus sentiasa mempertingkatkan diri dan mempunyai minda yang terbuka untuk meningkatkan kemahiran dalam apa jua bidang yang diceburi," katanya yang juga memiliki Diploma Lembaga Bersekutu Sekolah Muzik Diraja (ABRSM) dalam pendidikan serta berkelulusan cemerlang Gred 5 ABRSM dalam praktikal piano jaz.

Bagi Cik Saedah yang juga mengajar kelas piano secara privet, apa yang dipelajarinya dari segi pendidikan serta psikologi amat relevan dalam pekerjaannya.

Kini, beliau mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai psikologi anak muridnya yang berbeza umur terutama sekali bagi mereka yang masih muda.

"Dalam dunia hari ini, terdapat banyak perubahan pesat dan kita perlu menyesuaikan diri dengan keadaan dan mengikuti perkembangan trend terkini.

"Kanak-kanak di zaman ini amat berlainan dan memainkan peranan lebih aktif apabila mereka ingin belajar.

"Seringkali, mereka memerlukan pembelajaran berasaskan pengalaman di mana mereka belajar melalui interaksi.

"Mereka suka bertanya dan berani menyuarakan kehendak mereka dan sebagai guru, saya perlu menggunakan minat mereka untuk mengajar dan memupuk minat mereka dalam muzik," tambahnya.

Namun, beliau akur bahawa bukanlah mudah untuk mencapai kecemerlangan terutama sekali berbanding teman-teman kursusnya yang lebih muda.

"Untuk memiliki ijazah ini, ia memerlukan ketabahan, keazaman, pengorbanan dan sokongan positif daripada suami, keluarga, teman-teman dan juga profesor saya.

"Yang paling sukar bagi saya ialah sewaktu membuat persiapan untuk peperiksaan psikologi yang memerlukan banyak membaca dan penghafalan.

"Oleh kerana sudah lama saya tidak mempunyai pengalaman mengambil peperiksaan, jadi agak janggal juga bagi saya pada mula-mulanya," gelak Cik Saedah yang mengikuti pengajian secara sambilan selama lima tahun.

Tidak setakat berhenti di situ, impian Cik Saedah kini ialah untuk meneruskan pengajiannya dan mendapatkan Sarjana dalam pendidikan muzik dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Ketika ditanya mengenai nasihat beliau kepada mereka yang ingin meningkatkan diri walaupun sudah berusia, Cik Saedah berharap lebih ramai lagi akan terangsang dengan kejayaannya untuk meningkatkan diri dan tidak berasa ragu mengorak langkah mempertingkat diri.

"Just do it! Jangan berasa takut kerana kita tidak akan rugi apa-apa.

"Walaupun kita tidak berjaya buat kali pertama, cuba lagi dan nikmati proses pembelajaran.

"Yang penting, kita harus menguruskan jangkaan dan keprihatinan diri, mendapat inspirasi daripada kecemerlangan orang lain, dapatkan sokongan daripada keluarga dan jangan berasa kesal kerana berani mencuba." ujar Cik Saedah yang gemar membuat kek untuk menghilangkan tekanan.


DAHAGA ILMU

"Mentaliti dan tabiat pembelajaran sepanjang hayat harus diutamakan demi kebaikan kita.
Kita harus sentiasa mempertingkat diri untuk kekal relevan dalam apa-apa pun industri yang kita ingin ceburi.
Apabila kita kekal relevan, kita akan ada dorongan untuk mempertingkat usaha dan lakukan yang lebih baik lagi."


SESUAI DIRI IKUT PERUBAHAN

"Dalam dunia hari ini, terdapat banyak perubahan pesat dan kita perlu menyesuaikan diri dengan keadaan dan mengikuti perkembangan trend terkini.
Kanak-kanak di zaman ini amat berlainan dan memainkan peranan lebih aktif apabila mereka ingin belajar.
Seringkali, mereka memerlukan pembelajaran berasaskan pengalaman di mana mereka belajar melalui interaksi.
Mereka suka bertanya dan berani menyuarakan kehendak mereka dan sebagai guru, saya perlu menggunakan minat mereka untuk mengajar dan memupuk minat mereka dalam muzik."

- Cik Saedah Samat-Alkaff, 54 tahun, terima ijazah Sarjana Muda dalam Pendidikan Muzik dengan Psikologi dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3