Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Semangat dermawan warga dalam bencana tsunami masih terpahat

Ini antara pengalaman penolong pentadbiran kanan sepanjang bertugas berpuluh tahun dengan Palang Merah S'pura
May 10, 2021 | 05:30 AM



APABILA menyertai Palang Merah Singapura (SRC) pada 2001, Cik Khairani Abdul Rahman tidak membayangkan beliau akan kekal di sana sehingga berpuluh tahun lamanya.



Namun tahun ini, dan lebih tepat bulan ini, beliau menyambut ulang tahun ke-20 bekerja di pertubuhan kemanusiaan itu, dengan pengalaman memegang jawatan dalam divisyen berbeza.



Selain daripada sukakan tugas yang dilakukan kini, yang membolehkannya berinteraksi dengan belia dan membuat dirinya berasa muda, Cik Khairani, 51 tahun, juga terhutang budi dengan majikannya di atas kelonggaran yang pernah diberikan kepadanya beberapa tahun lalu.



Pada waktu itu, Cik Khairani hamil anak tunggalnya, dan kehamilan itu mengalami beberapa masalah yang menghendakinya dipantau di hospital selama 99 hari.



Majikannya telah membenarkannya mengambil cuti empat bulan tanpa gaji sebelum kelahiran anaknya, dan kembali bekerja setelah selesai menjalani cuti bersalin.



"Saya tak sangka yang mereka membenarkan saya mengambil cuti panjang, dan menerima saya kembali dengan gaji yang sama. Walaupun perkara itu berlaku hampir 16 tahun lalu, saya masih mengenangkan jasa majikan saya, dan saya terdorong untuk kekal di sini dan menyumbang kembali kepada masyarakat dan pertubuhan ini," katanya dalam wawancara dengan Berita Harian sempena Hari Palang Merah Dunia yang disambut Sabtu lalu.



Cik Khairani bertugas sebagai penolong pentadbiran kanan di jabatan Belia Palang Merah (RCY), dan antara tugasnya termasuk berhubung dengan guru sekolah dan pembimbing pengajar relawan untuk menganjurkan program buat pelajar yang mengikuti kegiatan kokurikulum (CCA) Palang Merah di sekolah.



Tetapi sebelum ini beliau juga telah ditugaskan dalam divisyen relawan dewasa dan pengumpulan dana. Tugasnya di SRC juga telah melengkapi beliau dengan kemahiran pertolongan cemas dan cara menenangkan seseorang yang baru mengalami trauma.



Cik Khairani berkata beliau pernah belajar tentang pertolongan cemas apabila menyertai CCA Palang Merah semasa di sekolah rendah dahulu, dan sejak itu telah menanam hasrat untuk bertugas dalam bidang di mana beliau dapat memakai seragam putih yang serupa.



"Sebenarnya saya mahu menjadi seorang jururawat. Ini kerana semasa kecil, saya terpengaruh dengan abang sulung saya yang bercita-cita menjadi doktor. Beliau berjaya mencapai impiannya, dan saya, walaupun tidak dapat menjadi jururawat, saya bersyukur dapat berkhidmat dalam bidang ini, di mana saya dapat turut memainkan peranan untuk membantu orang lain yang memerlukan," kata anak bongsu tiga beradik itu sambil menambah arwah ibunya juga banyak mengajar beliau menjadi orang yang bersimpati terhadap insan memerlukan.



Sepanjang dua dekad berkhidmat di SRC, Cik Khairani berkata rayuan meminta derma menyusuli bencana tsunami di Aceh pada 2004 antara yang sukar beliau lupakan.



Memandangkan pada waktu itu belum ada pilihan menderma dalam talian, pejabat SRC di Penang Lane melihat barisan panjang penderma yang mahu menghulur bantuan.



"Keadaannya memang luar biasa dengan orang ramai bertali arus datang untuk menderma. Saya tersentuh melihat bilangan orang yang datang untuk menyumbang dan sama-sama membantu meringankan kesusahan insan lain seberapa mungkin," kata Cik Khairani yang dalam tempoh genting itu bekerja dari 7 pagi hingga 11 malam.



Kini beliau gembira melihat anak lelakinya yang berusia 16 tahun turut aktif terlibat dalam kerja relawan, setelah beliau mula mendedahkannya kepada acara sedemikian sejak anaknya berusia lima tahun lagi.Cik Khairani biasanya akan membawa anaknya untuk menyertai kegiatan amal yang dianjurkan SRC dan lama kelamaan anaknya mula menyertai aktiviti sukarelawan sendiri.



"Pengalaman melakukan kerja amal dan sukarelawan mengajarnya tentang rasa bersyukur, dan bahawa bukan keluarga kami sahaja yang susah tetapi ada orang yang lebih susah daripada kami. Kini apabila ada pengagihan makanan yang dianjurkan badan selain SRC, dia akan turut serta kalau ada masa. Saya gembira melihat dia belajar menjadi orang yang penuh belas kasihan," kata Cik Khairani.




"Sebenarnya saya mahu menjadi seorang jururawat. Ini kerana semasa kecil, saya terpengaruh dengan abang sulung saya yang bercita-cita menjadi doktor. Beliau berjaya mencapai impiannya, dan saya, walaupun tidak dapat menjadi jururawat, saya bersyukur dapat berkhidmat dalam bidang ini, di mana saya dapat turut memainkan peranan untuk membantu orang lain yang memerlukan."
- Cik Khairani Abdul Rahman yang bertugas sebagai penolong pentadbiran kanan di jabatan Belia Palang Merah (RCY).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >