Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Semangat guru muda didik pelajar prasekolah diiktiraf

Oct 04, 2018 | 05:30 AM



SEWAKTU menjalani pendidikan prasekolah dua dekad lalu, Cik Nur Erdina Rahmat antara pelajar yang sukar ditangani guru kerana terlalu pendiam dan memencilkan diri.



Selama dua tahun di tadika, beliau kerap terkencing dalam seluar sehingga lencun seragam sekolahnya. Seragam itu pun perlu digantikan dengan seragam pinjaman daripada tadika.



Di sekolah rendah, kesulitan timbul apabila Cik Nur Erdina, kini 24 tahun, enggan menyiapkan kerja sekolah. Guru sering mengadu kepada ibu bapa dan kakaknya tentang kerenahnya itu.



Namun, setelah meningkat dewasa dan berjaya keluar daripada kepompong pelajar yang sukar ditangani guru, beliau memilih kerjaya sebagai guru prasekolah bagi memahami perilaku kanak-kanak yang meragam sepertinya dulu.



Niatnya mengambil kursus Diploma Pembangunan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Politeknik Ngee Ann (NP) adalah membantu kanak-kanak bermasalah yang pendiam, takut dan payah bergaul supaya lebih terbuka berhubung dengan guru dan teman sebaya.



Atas kegigihan mencorak jiwa kanak-kanak di pusat prasekolah The Little Skool-House International (At-Kent-Vale), Cik Nur Erdina bakal menerima Anugerah Pendidik/Pengasuh Peringkat Awal Kanak-Kanak Berpotensi 2018 Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) esok.



Beliau yang sudah empat tahun bertugas di pusat prasekolah tersebut antara 18 pendidik prasekolah berdedikasi yang diiktiraf di Persidangan Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang berlangsung di Pusat Persidangan dan Pameran Suntec Singapore esok dan lusa.



Cik Nur Erdina, anak kedua dalam keluarga tiga beradik, menerima $500 bagi tujuan pembangunan profesional, wang tunai $300, piala dan sijil.



Ketika ditemui di pusat prasekolah The Little Skool-House International (At-Kent-Vale) baru-baru ini, beliau berkata:



"Anugerah ini ialah pengiktirafan terbesar dalam kerjaya yang saya bina dengan tekad membantu lebih ramai kanak-kanak mengatasi masalah awal pembelajaran dan hambatan pada keyakinan diri mereka.



"Ini juga ganjaran kerja keras saya selama ini sekali gus mengingatkan tentang kesulitan yang pernah saya hadapi bahkan payah dijelaskan ketika di tadika dulu.



"Anugerah ini memperkasa keyakinan saya bahawa langkah sekecil mana pun yang diambil seorang guru mampu membawa kesan besar dalam pembangunan awal kanak-kanak yang diasuh."



Menyingkap zaman kanak-kanaknya yang mencabar, beliau yang kini mengikuti pengajian ijazah sambilan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak bersama psikologi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) berkata:



"Setiap anak ada ragamnya. Saya becok di rumah tetapi tidak suka bergaul malah benci ke sekolah pada usia lima tahun.



"Saya mengambil masa untuk menyelesakan diri dalam sekitaran asing bersama orang tidak dikenali. Saya hanya mempunyai seorang teman baik. Ke mana-mana, saya 'melekat' dengannya.



"Walaupun boleh bertutur dengan baik ketika itu, saya takut mem beritahu kepada guru bahawa saya perlu ke tandas.



"Setiap hari, saya terkencing dalam seluar. Di sekolah rendah, saya berkeras enggan buat kerja sekolah dan biasanya perlu dipaksa menyelesaikannya."



Ibunya, jelas Cik Nur Erdina, runsing memikirkan keadaannya tetapi yakin itu peringkat yang akan berlalu apabila beliau dewasa dan mempunyai rangkaian teman positif yang mampu mencetus inspirasi.



Ternyata, perubahan ketara pada dirinya yang mula senang dengan sekitaran sekolah hanya berlaku sewaktu di sekolah menengah.



Beliau mempunyai teman peramah, luas rangkaian kenalan dan rakan yang sering memberi galakan.



Setelah melayari tugas sebagai pendidik prasekolah, Cik Nur Erdina menyedari bahawa kanak-kanak, seperti orang dewasa, juga mempunyai hari menggembirakan atau yang menjejas 'mood' mereka.



"Mereka mahu difahami dan mahu dihormati. Mereka mempunyai pilihan sendiri. Mereka juga akan terguris emosi atau ingin disayangi.



"Sebagai pendidik, kita perlu tahu, kenal pasti dan fahami bentuk pemikiran mereka daripada sudut pandangan mereka sebagai kanak-kanak.



"Kenal pasti kekuatan mereka, bantu atasi kelemahan dan bantu mereka menjadi anak lebih baik," kongsinya.



Antara kepuasan sebagai guru prasekolah adalah apabila anak didiknya yang mengalami autisme, lambat bercakap dan tidak suka bergaul berubah menjadi anak yang lebih mesra dan selesa dengannya.



"Awalnya, murid ini tidak memberi sebarang tindak balas kepada kata-kata saya tetapi apabila saya tunjukkan keprihatinan dan pamerkan kasih sayang, lama-kelamaan dia dapat rasa saya ambil berat dan memberi respons.



"Perkembangan sebegitu sahaja cukup memberi saya keyakinan apa jua keadaan si anak mampu ditangani dengan baik berkat kesabaran," ujarnya.



Pengetuanya, Cik Dawn Hu, pula mengulas:



"Erdina miliki minda yang positif dan sentiasa mencari cara memperkaya pembangunan pelajarnya. Beliau rajin mengamati pengalaman anak didiknya dan menyemak semula keberkesanan teknik pengajarannya."




"Saya banyak berubah selepas memilih kerjaya sebagai guru prasekolah. Tugas ini memerlukan kesabaran dan minat mendalam.

Membina hubungan baik dengan kanak-kanak yang diasuh dan memahami keperluan mereka ialah perkara penting yang membantu saya menyelongkar masalah mereka.

Saya berusaha menjadikan pusat prasekolah ini ruang selesa buat mereka menimba ilmu dan meraih ramai kawan."

- Cik Nur Erdina Rahmat, 24 tahun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >