Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Semangat padu kumpulan agama simbol penting keharmonian S'pura

Shanmugam: Tempat ibadah tidak harus jadi kubu, tapi kekal terbuka, mesra pengunjung
Jan 29, 2021 | 05:30 AM



PERTEMUAN ketua-ketua berlainan agama di Masjid Yusof Ishak untuk bersama-sama dengan masyarakat Muslim mencerminkan semangat perpaduan dan merupakan satu simbol yang amat penting, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam.



Mereka mengutuk keras rancangan remaja berbangsa India dan beragama Kristian Protestan berusia 16 tahun yang ditahan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) kerana merancang membunuh jemaah di Masjid Yusof Ishak dan Masjid Assyafaah.



Encik Shanmugam bersama pemimpin Kristian dari Majlis Gereja Kebangsaan Singapura (NCCS), termasuk Presidennya, Reverend Keith Lai bertemu dengan Mufti Nazirudin Mohd Nasir serta pengerusi kedua-dua masjid di Masjid Yusof Ishak di Woodlands semalam.



Meskipun ancaman ekstremis akan terus berlaku, Encik Shanmugam berkata tempat beribadah harus kekal terbuka dan mesra pengunjung sambil menyeru masyarakat agar terus menentang ideologi radikal dengan mendidik anak muda melawan ekstremis sayap kanan.



Mengulas mengenai pertemuan pemimpin berbilang agama itu, beliau berkata: "Apa yang kita ada di Singapura cukup unik. Kita menganggapnya sebagai satu cara hidup, bahawa ada semangat keharmonian agama ini, yang sangat berharga dan harus dilindungi.''



Memberi contoh keunikan itu, beliau berkata sambutan Thaipusam di Kuil Sri Thendayuthapani di Tank Road semalam dihadiri tetamu terhormat Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong yang merupakan seorang penganut Roman Katolik.



"Singapura istimewa. Mari kita cuba dan kekalkannya seperti itu. Kita telah bekerja keras bagi hasil ini dengan dasar-dasar kita dan rakyat kita telah menyokong pendekatan ini," kata Encik Shanmugam, dalam pertemuan yang turut dihadiri Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim dan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Esa Masood.



Di pertemuan itu, pemimpin agama telah mengulangi kepercayaan dan persefahaman bersama antara kedua-dua masyarakat agama itu dan mengecam rancangan belia tersebut.



Ditanya apakah kumpulan agama di sini perlu memperketatkan keselamatan di tempat jemaah berkumpul, Encik Shanmugam berkata tempat beribadah tidak harus diubah menjadi kubu tetapi harus kekal terbuka dan mesra.



Beliau berkata perlu ada keseimbangan dan sedang mereka yang menjaga tempat beribadah perlu lebih berwaspada, beliau akan berhati-hati tentang kumpulan agama meningkatkan langkah keselamatan.



Mengenai kes remaja itu, Encik Shanmugam berkata dia akan mendapat perbicaraan dalam rubrik Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan akan diwakili peguam. Ibu bapanya juga akan terlibat sepenuhnya.



Encik Shanmugam turut menerangkan mengapa kes itu tidak sesuai bagi perbicaraan terbuka.



"Sekiranya anda melalui proses jenayah dan persoalannya adalah 'apa yang sebenarnya telah dia lakukan', maka akan dikatakan bahawa dia tidak melakukan apa-apa. Di banyak negara, itu adalah sebahagian daripada masalahnya. Anda harus menunggu mereka melakukan sesuatu, dan selalunya, itu sudah terlalu lambat," katanya.



Encik Shanmugam berkata membiarkan remaja itu dibicarakan akan memberinya platform bercakap tentang manifestonya dan apa masalahnya terhadap Muslim.



Hal ini akan memudaratkan keyakinan antara kaum di sini dan mendatangkan risiko perpecahan Kristian-Muslim atau mendalamkan perpisahan, katanya.



Sementara itu, Reverend Lai berkata beliau mahu memberi jaminan kepada masyarakat Muslim bahawa masyarakat Kristian akan "berdiri bersama-sama menentang dan menewaskan kebencian dan keganasan".



Dr Nazirudin pula berkata kumpulan agama kini perlu "menolong belia itu dan ramai lain sepertinya untuk sembuh daripada luka kebencian dan keganasan ini".



LAPORAN LANJUT: Mufti: Muslim fahami cabaran umat Kristian tangani ideologi pelampau




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >