Cik Zaitoon Bee Syed Mohd seorang wanita yang suka bekerja dan berkawan, tetapi demi menjaga anaknya yang kurang sihat, beliau sanggup mengetepikan keinginannya.
Beliau telah beberapa kali berhenti kerja dalam masa sekitar 20 tahun sejak anak sulungnya disahkan menghidap kencing manis yang berpunca daripada makan berlebihan akibat stres.
Apabila emosi anaknya stabil, Cik Zaitoon, 58 tahun, keluar bekerja. Tetapi apabila mood anaknya mula turun, beliau berhenti supaya dapat berada di samping anaknya itu.
“Saya tidak mahu tinggalkan anak saya seorang diri di rumah dalam keadaan moodnya yang kurang baik. Saya takut beliau buat apa-apa yang tidak diingini. Kalau saya ada, saya boleh beri perhatian kepadanya,” kata ibu tiga anak berusia antara 39 dengan 32 tahun itu.
Kini anak Cik Zaitoon tidak lagi perlu mengambil sebarang ubat bagi mengawal penyakit kencing manisnya itu.
Ini setelah beliau menjalani pembedahan bariatrik di bahagian perut bagi mengawal berat badan.
Semalam, Cik Zaitoon diberi Anugerah Pengasuh (caregiver of the year award) di majlis Hari Kencing Manis Sedunia anjuran Diabetes Singapore.
Anugerah itu mengiktiraf pengasuh yang paling memberi inspirasi yang mendedikasikan masa, kemahiran dan kasih sayangnya dalam menjaga pesakit kencing manis.
Secara keseluruhan, lima kategori anugerah diberikan kepada tujuh penerima di majlis tersebut.
Seorang lagi penerima anugerah ialah Encik Ahmat Pagi, 68 tahun, yang menghidap kencing manis pada usia muda 32 tahun.
Beliau perlu mengambil suntikan insulin untuk mengawal penyakit tersebut.
Sejak lapan tahun lalu, keadaan buah pinggangnya merosot dan beliau mula menjalani rawatan dialisis.
Kini, walaupun kakinya tidak berapa kuat dan beliau perlu menggunakan kerusi roda, Encik Ahmat terus bersemangat untuk menjalani kehidupan di samping isterinya, Cik Hamidah M Noor, 64 tahun.
Encik Ahmat diberi Anugerah Daya Tahan di atas keupayaannya menghadapi dan menyesuaikan diri dengan baik apabila berhadapan dengan kesusahan berkaitan dengan penyakit kencing manisnya.
Pilih perkataan yang betul
1/3
< Kuiz sebelumnya
< Kuiz sebelumnya
27
0
Semangat pesakit diabetes, dedikasi pengasuh diiktiraf dalam majlis Hari Kencing Manis Sedunia
Nov 14, 2021 | 07:13 PM