RAMADAN bermula di Singapura dengan tarawih dan bubur 'kembali' ke masjid tahun ini tetapi ada yang masih rindukan bazar Raya.
Di tengah-tengah pandemik tahun lalu, tradisi mengagihkan bubur di masjid-masjid serata negara terpaksa dihentikan.
Namun semalam, 46 masjid di sini menyambung semula pengagihan bubur, setahun selepas ia ditiadakan.
Di Masjid Yusof Ishak di Woodlands, 400 paket bubur diagihkan selepas solat asar berjemaah dijalankan, kata jurucakap masjid itu.
Sebanyak 100 paket dibahagi-bahagikan kepada jemaah yang menunaikan solat asar di masjid.
Hampir separuh jumlah itu diperuntuk bagi orang yang datang ke masjid untuk mengambil bubur tanpa berdaftar manakala lagi 100 paket bubur pula diberikan kepada pekerja di tapak binaan Woodlands Healthcare yang terletak berhampiran masjid.
Orang yang datang dilihat beratur dengan mematuhi langkah pengurusan selamat semasa Berita Harian (BH) berada di sana sekitar 4.30 petang semalam.
Demi mematuhi langkah pengurusan selamat itu, pengagihan bubur diadakan di kawasan luar masjid, kata jurucakap masjid itu lagi.
"Ini supaya jemaah yang walk-in lebih senang mengambil bubur dan kawasan itu juga diasingkan daripada jemaah yang berada di dalam masjid," ujar Ketua Kanan Pembelajaran Islam di Masjid Yusof Ishak, Ustaz Muhammad Aiman Abdul Khalid.
Menambah, Ustaz Aiman berkata bubur yang diagihkan tidak dimasak di masjid, tetapi ditempah daripada vendor Doulath Catering yang mengirimkan bubur dalam paket individu.
"Kami telah mengaturkan untuk vendor menghantar bubur yang sudah dalam bekas dan plastik masing-masing, jadi untuk kesenangan dan menjaga kebersihan," katanya.
Antara jemaah yang menerima bubur semalam ialah Encik Zainudin Sulaiman, 60 tahun, bekerja sebagai pengurus penghantaran.
Oleh kerana tidak bekerja semalam, beliau telah ke masjid untuk solat asar dan pada masa yang sama mengambil bubur masjid.
"Saya memang ghairah untuk mengambil bubur ini sebab tahun lepas pun tidak ada. Jadi memang datang hari ini khas juga untuk mendapatkan bubur masjid," ujarnya.
Bulan lalu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengumumkan beberapa kegiatan di masjid akan dibenarkan dengan syarat tertentu, termasuk pengagihan bubur.
Solat tarawih, solat qiamullail - pada 10 malam terakhir Ramadan - dan membaca Al-Quran juga dibenarkan.
Namun, masjid-masjid tidak lagi mengadakan acara berbuka puasa beramai-ramai.
Semalam, jemaah yang menunaikan solat maghrib di masjid diberikan kurma dan air botol untuk berbuka.