Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Semarak seni pementasan Singapura

Dunia seni pementasan bersemarak di Singapura sejak 1950-an dengan pelbagai jenis wadah hiburan daripada bangsawan hingga pementasan yang menyelongkar isu-isu masa kini. Dua penggiat seni mengimbas perjalanan seni masa lalu dan berkongsi harapan mereka pada masa depan. Laporan NURMAYA ALIAS (nurmayaa@sph.com.sg)
Jan 17, 2015 | 06:40 AM



HERO era 1980-an dan pelakon serba boleh, Azhar Noor Lesta, 52 tahun, masih ingat betapa popular pementasan bangsawan di Singapura semasa zaman kanak-kanak dahulu.


Bersama adik-beradiknya, beliau pernah menonton pementasan bangsawan di Panggung Victoria setiap kali bapanya, Encik Mohamed Noor Abdul Kadir, membuat persembahan.


Bapanya yang lebih dikenali sebagai Noor Kadir Ambon merupakan salah seorang anggota kumpulan seni Sriwana.


Datuknya, Encik Abdul Kadir Mohamed Kassim atau lebih dikenali sebagai Kadir Ambon yang berasal dari Ambon, Indonesia, juga sudah bergiat dalam pementasan bangsawan sejak 1950-an.


“Bangsawan popular di Singapura berbanding di negara jiran dan hebatnya bangsawan di sini kerana kita mempunyai pelakon-pelakon kencang seperti Ahmad Sabri, Jaafar Haris, Abdullah Sani dan ramai lagi,” kata Azhar.


Bangsawan merupakan satu-satunya hiburan utama di kalangan masyarakat Melayu dahulu.


Ia unik sebagai satu hiburan kerana ia mengumpulkan hampir semua aspek seni dengan adanya nyanyian, tarian dan lakonan.


Radio Televisyen Singapura (RTS) dengan kerjasama pemerintah dan badan-badan budaya tempatan telah memulakan usaha mementaskan bangsawan pada 1978.


Bangsawan pertama yang dipentaskan ialah Jula Juli Bintang susunan dan arahan Encik Shari Medan, seorang bekas anak wayang dan pelakon filem di Panggung Victoria.


Kata Azhar lagi, di sinilah mekarnya jenaka bangsawan yang diperkenalkan buat julung kalinya oleh kumpulan Sriwana atas gerakan pelakon veteran M. Sari A. Manaf pada awal 1980-an.


“Singapura ketengahkan sesuatu yang ikonik dan mungkin di rantau Asia dengan mempersembahkan satu kelainan iaitu bangsawan dengan cara satira atau jenaka,” ujar Azhar.


Antara jenaka bangsawan popular ialah Raja Dangdut pada 1982, Dewi Mambang pada 1983, Sanggul Emas pada 1984 dan Celorong Celoreng pada 1989.


Beliau, bagaimanapun, tidak dapat peluang menyertai pementasan jenaka bangsawan kerana lebih dikenali sebagai seorang pelakon serius.


Justeru, Azhar sekadar menyumbangkan tenaga di belakang pentas.


Peluang Azhar untuk beraksi dalam pementasan bangsawan muncul selepas adanya naskhah bangsawan serius seperti Tajul Arifin yang dihidangkan kepada penonton pada 1991 dan naskhah Nurul Hidayat pada 1993, kededuanya tulisan Cik Hafiza Talib, yang dipentaskan di Panggung Victoria.


“Sebenarnya, bangsawan ialah satu wadah atau cara kita boleh mendidik anak-anak tentang bahasa, budaya, tatasusila dan adab Melayu walaupun ceritanya mengisahkan kerajaan-kerajaan diraja,” kata Azhar.


Pemenang anugerah Pelakon Lelaki Paling Popular dalam Anugerah Prime 12 itu telah menyertai bengkel drama Sriwana pada usia remaja selepas bakatnya dicungkil menerusi satu pertandingan Talentime dan pementasan drama di Sekolah Menengah Maju.


Beliau juga pernah merangkul kategori Pelakon Lelaki Terbaik (Watan 2) bagi Anugerah Pesta Perdana 2001.


Populariti Azhar semakin meningkat dengan lakonan berkesannya dalam pementasan teater, sandiwara dan drama televisyen.


Kini, beliau lebih selesa berada di belakang tabir sebagai penolong pengarah atau pengarah sambilan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >