SEMBILAN individu termasuk seorang pemandu teksi wanita berusia 56 tahun digegaskan ke hospital pada pagi Ahad (26 Jun) selepas tiga kereta berlanggar dengan satu sama lain sepanjang Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) menuju ke Tuas.
Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka diberitahu mengenai kemalangan melibatkan sebuah teksi dan dua kereta itu yang terjadi selepas susur keluar Adam Road sekitar 9.30 pagi.
Mereka yang cedera dalam kemalangan itu adalah seorang pemandu teksi wanita, dua penumpang wanita berusia 43 dan 63 tahun serta pemandu kereta lelaki berusia 66 tahun dan lima penumpangnya yang berusia antara 54 dengan 67 tahun, kata polis.
Kesemuanya masih sedarkan diri ketika dibawa ke hospital.
SCDF berkata seorang mangsa dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH) manakala baki lapan mangsa lain dihantar ke Hospital Besar Ng Teng Fong.
Video yang dimuatnaikkan ke media sosial menunjukkan sekurang-kurangnya dua kereta polis, sebuah ambulans, sebuah kereta bomba dan satu lagi kenderaan SCDF berada di tempat kejadian yang berhampiran dengan jejambat Adam.
Kon lalu lintas digunakan bagi menutup tiga laluan paling kanan ekspreswe itu.
Maklumat pemberitahuan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menjelaskan terdapat kesesakan hingga susur keluar Stevens Road sepanjang 1 kilometer. Amaran juga diberi bagi pengguna jalan raya di kawasan itu agar mengelakkan laluan pertama, kedua dan ketiga.
Serpihan daripada kemalangan itu boleh dilihat bersepah di jalan raya.
Siasatan polis masih diteruskan.