Semua warga ada peluang baiki kehidupan: PM Lee

* Pastikan mobiliti sosial bolehkan setiap warga berjaya, tidak kira kelas sosial dan latar belakang * Pemerintah terus perkukuh jaringan keselamatan demi tangani cabaran jurang pendapatan

SINGAPURA harus memastikan mobiliti sosial akan membolehkan setiap warga berjaya, tidak kira kelas sosial dan latar belakangnya.

Menekankan demikian, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata negara ini tidak harus membiarkan perbezaan sosial berdasarkan kedudukan sosioekonomi berakar sehingga menjadi tidak mudah bagi golongan tidak bernasib baik mengubah kehidupan mereka.

"Kita tidak boleh membiarkan perbezaan sosial berdasarkan kedudukan sosioekonomi terus berakar di Singapura.

"Ini lebih mudah berlaku dalam masyarakat selepas menikmati keadaan mantap buat jangka masa lama, mereka terpisah, tidak mudah bergerak dan jurang mulai wujud.

"Ini meliputi cara kita berpakaian, cara kita bercakap, cara kita makan dan di mana kita pergi bercuti.

"Kita membandingkan dan menunjukkan kita adalah lebih baik daripada mereka. Kita harus menanganinya,'' kata Encik Lee, dalam ucapannya yang dibuat dalam sesi 'PA Kopi Talk' dialog Pos-Rapat Hari Kebangsaan di Kelab Masyarakat Ci Yuan baru-baru ini, yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam.

Di sesi itu, Encik Lee bertemu kira-kira 530 pemimpin akar umbi.

Walaupun negara ini berpandukan meritokrasi, beliau menegaskan pentingnya memberi titik permulaan yang baik agar semua golongan diberi peluang baik untuk berjaya dan bersaing "tidak kira sama ada mereka datang daripada keluarga yang kaya atau miskin, sama ada ibu bapa mereka mempunyai jaringan hubungan luas atau tidak".

Beliau menambah bahawa dasar pemerintah terutamanya penekanan terhadap pendidikan prasekolah amat penting bagi melindungi mobiliti dan keutuhan sosial.

Selain dasar pemerintah, Encik Lee berkata sama penting adalah sikap warga Singapura terhadap mereka yang berpendapatan rendah.

"Kita tidak mahu golongan berpendapatan rendah merasakan mereka didiskriminasi dan itulah nasib mereka dalam kehidupan mereka.

"Mereka harus dapat berjalan sama tinggi dan dilayan dengan hormat kerana mereka sedang memberi yang terbaik buat keluarga mereka,'' katanya.

Menyifatkan mobiliti sosial lebih penting daripada ketidaksamaan, Encik Lee menambah bahawa warga boleh menerima wujudnya golongan yang kaya dan miskin.

Tetapi, mereka tidak akan menerima jika golongan berpendapatan rendah "tidak mempunyai harapan, semua pintu mereka tertutup dan anak-anak mereka akan kekal miskin tidak kira apa yang mereka lakukan".

Menyentuh satu dokumentari CNA 'Regardless of Class' yang dihoskan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Dr Janil Puthucheary, baru-baru ini, Encik Lee berkata dokumentari itu memberi gambaran mengenai reaksi dan sikap pelajar daripada pelbagai aliran seperti Normal Teknikal atau Program Bersepadu (IP), pengawal keselamatan di kondominium dan karyawan terhadap satu sama lain.

"Ia memberi gambaran jelas mengenai tahap masyarakat Singapura yang berbeza hari ini dan bagaimana mereka memandang satu sama lain dalam kumpulan sosial yang berbeza,'' ujar Encik Lee.

Namun, sejak 50 tahun lalu, Singapura telah mengurangkan ketidaksamaan dengan menyediakan perumahan, penjagaan kesihatan dan pendidikan bermutu dan dimampui, serta cukai pendapatan progresif agar golongan berpendapatan rendah diberi agihan itu.

Apabila jurang pendapatan meningkat, Encik Lee berkata jaringan keselamatan juga diperkukuh melalui Skim Daya Kerja bagi pekerja bergaji rendah, ComCare bagi yang memerlukan sokongan tambahan, MediFund dan ElderFund bagi membantu mereka membayar perbelanjaan perubatan dan penjagaan jangka panjang.

Kejayaan Singapura mendapat kedudukan nombor satu daripada 157 negara dalam Indeks Modal Insan yang kali pertama diperkenalkan Bank Dunia baru-baru ini menunjukkan pelaburan Singapura dalam rakyatnya.

Mengongsi pengalaman Singapura dengan Presiden Bank Dunia, Encik Kim Jim Yong, semasa di Bali baru-baru ini, Encik Lee menambah bahawa Singapura bermula tanpa apa-apa tetapi falsafah asas pemerintah ialah memastikan kehidupan setiap rakyat Singapura dapat diperbaiki.


"Kita tidak mahu golongan berpendapatan rendah merasakan mereka didiskriminasi dan itulah nasib mereka dalam kehidupan mereka.
Mereka harus dapat berjalan sama tinggi dan dilayan dengan hormat kerana mereka sedang memberi yang terbaik buat keluarga mereka.''

- Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.


Laporan lanjut : PM Lee: Pemerintah akur keprihatinan rakyat, akan sama-sama huraikan masalah