BERITA Harian (BH), dengan kerjasama Our Tampines Hub (OTH), akan menganjurkan acara senaman zumba besar-besaran pada 24 September.
Acara itu dibuka kepada semua golongan usia dan bertujuan menggalak anggota masyarakat, termasuk warga emas, menjalani hidup aktif dan gaya hidup lebih sihat.
Ia juga diharap memberi keseronokan dan memboleh masyarakat menjalin ikatan lebih mesra antara satu sama lain.
Acara itu juga diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-60 tahun Berita Harian dan Bulan Bahasa@Tampines 2017
Senaman zumba ini akan dipimpin Cik Nawal Alhaddad, pengasas Nawal Haddad Fitness, bersama beberapa jurulatihnya.
Ia akan berlangsung lebih sejam dengan iringan pelbagai jenis rentak muzik, seperti bhangra, joget Melayu dan tarian Cina.
Zumba dipilih kerana ia antara senaman paling popular sekarang dan dapat menyatukan masyarakat, tidak kira usia.
Ia sebuah program kecergasan aerobik yang melibatkan pergerakan yang diinspirasikan daripada bermacam gerak tari Amerika Latin, dan biasanya menggunakan muzik yang juga berasal dari sana.
Peserta boleh mengenakan pakaian tradisional sambil melakukan tarian sebagai lambang kerencaman budaya di Singapura.
Orang ramai boleh menyertai senaman ini secara individu atau secara berkumpulan.
Pelbagai acara kesihatan lain juga diadakan sempena acara itu, termasuk ceramah kesihatan dan tunjuk cara masak makanan seimbang.
Berita Harian dan OTH menyasarkan sekitar 1,500 peserta akan tampil mengeluarkan peluh di acara ini, sambil menikmati muzik dan gerak tari menarik.
Penyertaan percuma dan peserta yang mendaftar akan diberi beg cenderahati, baucar tunai serta potongan harga beli-belah di OTH.
SENAMAN ZUMBA BERAMAI-RAMAI
TARIKH: Ahad, 24 September
WAKTU: 8.30 pagi hingga 10 pagi
TEMPAT: Town Square, Our Tampines Hub
DAFTAR: E-mel kepada OTH_BH_Zumba@pa.gov.sg
PENGANJUR: Berita Harian (BH), Our Tampines Hub sempena sambutan ulang tahun ke-60 tahun BH dan Bulan Bahasa@Tampines 2017