Seni memasak perkasa belia buka gerai, atasi kekurangan, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:08
Asar
4:33
Maghrib
7:13
Isyak
8:28

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat0

Seni memasak perkasa belia buka gerai, atasi kekurangan

Dec 18, 2018 | 05:30 AM

BERPELUH-PELUH Encik Muhammad Shah Indra Jasni dan Encik Lee Syafiq Muhd Ridzuan Lee dibuatnya mengendalikan gerai burger mereka yang laris di Pusat Makanan Golden Mile.

Gerai burger Burgs di situ dan sebuah lagi di Viva Business Park sekitar Chai Chee Road yang dikenali sebagai Burgs By Project Warung sering dihujani pelanggan.

Malah, dengan burger istimewa yang ringkas lagi lazat itu juga ditempah menerusi khidmat kiriman ke rumah dan pejabat, kesibukan lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) itu lebih terasa.

Namun, di sebalik kesibukan tugas dari pagi hingga malam sebagai penjaja gerai, dua sahabat karib berusia 26 tahun itu tetap tersenyum gembira kerana berjaya menggerakkan perniagaan yang dekat di hati.

Mereka berdua menjalani perjalanan panjang membangun cinta terhadap bidang memasak di ITE menerusi kursus Sijil Nitec dalam Seni Memasak Masakan Barat dan Diploma Teknikal dalam Seni Memasak.

Halal Home-based Businesses
We want to help Halal Home-based Business owners during these tough times. See the link below.
Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Sewaktu di ITE, Encik Indra pernah terpilih sebagai pelajar pertama Singapura yang menjalani latihan bekerja sambil belajar di restoran dua bintang Michelin, La Pyramide, di Lyon, Perancis.

Kisah kejayaannya malah disebut Menteri Pendidikan, Encik Ong Ye Kung, dalam ucapan beliau sempena majlis tamat pengajian lulusan ITE di Pusat Persidangan Tay Eng Soon, ITE Kolej Central pada Julai lalu.

Menurut Encik Ong, salah satu komponen utama pembelajaran sambil meraih pengalaman adalah menerusi program bekerja sambil belajar yang ditawarkan ITE.

ITE, jelasnya, banyak melabur masa dan usaha dalam menjadikan pengalaman pelajar melalui latihan bekerja sambil belajar, lebih bermakna dan berbaloi.

Tahun ini sahaja, sebanyak 2,500 syarikat bekerjasama dengan ITE bagi menawarkan 12,000 pekerjaan buat pelajar menimba pengalaman.

Encik Ong pula melihat pengalaman bekerja di restoran ternama itu menjadikan Encik Indra lebih bijak berdikari lagi meraih keyakinan baru dalam memulakan perniagaan sendiri.

Selepas menimba ilmu di Perancis, Encik Indra menjadi tukang masak selama enam bulan di restoran masakan Asia, Zengo, di Hotel Meridien Royal di Dubai.

"Di ITE, banyak peluang terbentang buat saya gilap kemahiran memasak dan mencuba sesuatu di luar zon selesa. Apabila berpeluang ke luar negara, saya belajar erti berdikari dan berjauhan daripada keluarga.

"Dalam kebuntuan memikirkan langkah selanjutnya setelah pulang semula ke Singapura tatkala ibu sakit, pilihan menjadi penjual burger di gerai pusat makanan diteroka.

"Generasi muda kian berani mencuba sesuatu yang baru malah terasa kepuasannya apabila gerai kami mendapat sambutan malah menjadi tular hasil ulasan dalam blog makanan dan media tempatan," ujar Encik Indra.

ITE, menerusi kursus Nitec dalam Seni Kulinari Asia di Kolej Barat, juga membuka pintu bagi belia disleksia, Cik Khairunnisa Abdul Ghani, 23 tahun, lebih jatuh cinta pada bidang masakan.

Meskipun sukar menghadam nota kuliah dan mengambil masa bagi mencatat e-mel dan laporan, gadis ini membuktikan beliau mampu memenangi Pingat Emas Tay Eng Soon pada 2014 kerana kecemerlangannya meraih Gred Purata Mata (GPA) penuh empat mata.

Beliau kemudian ke Politeknik Republic dan baru lulus dalam Diploma Operasi Restoran dan Seni Memasak di Politeknik Republic (RP).

Cik Khairunnisa juga dipilih bagi memburu Diploma Spesialis dalam Pengurusan Layanan Tamu dan Perniagaan di bawah Program Bekerja dan Belajar (ELP). ELP merupakan sebahagian inisiatif nasional menggarap kemahiran, SkillsFuture.

Katanya: "Kalau dahulu saya segan menceritakan masalah disleksia saya kerana khuatir orang menilai, kini saya sudi berkongsi kerana mahu memberi inspirasi buat belia lain.

"Berkat dorongan pensyarah dan juga tunjuk ajar penuh dedikasi mereka di ITE, saya menemui kemahiran yang menjadi kekuatan buat sandaran saya di masa akan datang."

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map