Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Seniman teater Sabri Buang meninggal dunia

Mar 27, 2021 | 05:30 AM



SENIMAN tanah air, Sabri Buang, menghembuskan nafas terakhirnya pagi semalam selepas mengalami sesak nafas dan darah beku dalam paru-parunya di hospital.



Anak Allahyarham, Cik Kasih Aqidah, 23 tahun, memberitahu Berita Harian bahawa bapanya meninggal dunia pada sekitar 9.39 pagi akibat embolisme pulmonari, ataupun darah beku yang menyekat salur darah pada paru-paru.



Cik Kasih berkata bapanya, yang tidak ada sejarah penyakit kronik, dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) pada Ahad lalu dengan keadaan paras gula dalam darah yang tinggi.



Allahyarham kemudian dipindahkan ke wad biasa apabila keadaannya stabil, namun, pagi semalam, beliau dihantar ke ICU sekali lagi dek sesak nafas.



"Imbasan CT menunjukkan terdapat darah beku dalam paru-parunya. Sebelum mereka dapat melakukan prosedur untuk merawat darah beku itu, jantungnya berhenti beberapa kali," kata Cik Kasih.



Allahyarham Sabri, 56 tahun, meninggalkan seorang balu, Cik Junaida Jumari, dan tiga anak - Encik Pelangi Iman, Cik Kasih Aqidah dan Encik Senja Ikhlas.



Seorang seniman yang disegani ramai, Allahyarham seorang penulis dan pengarah teater dan televisyen dwibahasa yang mapan di Singapura dan luar negara.



Beliau pernah menyandang jawatan ketua Sekolah Drama Fakulti Seni Pementasan Maktab Lasalle-SIA dari 1999 hingga 2003 dan menjadi pengarah artistik Istana Budaya di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 2004. Sebelum itu, Allahyarham juga pernah bertugas sebagai wartawan di Berita Harian.



Allahyarham meraih ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam bidang teater daripada Universiti Sains Malaysia pada 1991 sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Hawaii di mana beliau memperoleh ijazah Sarjana Seni Halus (Teater dan Drama).



Antara pencapaian dalam kerjayanya ialah apabila beliau dipilih mewakili Singapura dalam Pesta Teater Antarabangsa Modestedet 2000 di Slagelse, Denmark.



Beliau telah menulis, mengarah dan menerbitkan dua persembahan 'doublebill' berjudul Waves dan Sangkar di sana, dengan persembahan tersebut menerima tepukan penghormatan selama lima minit.



Para penggiat seni tempatan semalam memberikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham selain memperingati warisan yang ditinggalkannya dalam dunia seni.



Anak didik Allahyarham, pelakon dan pengarah Khairudin Samsudin, menyifatkan beliau sebagai "bukan saja seorang mentor malah merupakan seorang abang".



Khairudin telah mengenali Allahyarham sejak beliau berusia 17 tahun.



"Saya bekerja dengan beliau sebagai penolongnya untuk tiga syarikat penerbitan berbeza selama sekitar empat, lima tahun sebelum berhenti dan kemudian menyertainya lagi di Lasalle. Kami sangat rapat.



"Beliau banyak memberi tunjuk ajar dalam lakonan, arahan, penulisan dan penerbitan televisyen. Saya rasa ini satu kehilangan besar untuk Singapura dan beliau meninggalkan warisan yang baik," kata Khairudin.



Mentor Allahyarham, penulis drama, pengarah, penerbit dan pelakon Nadiputra, pula berkata arwah Sabri mempunyai kebolehan luar biasa baik dalam teater mahupun televisyen.



"Saya mula sokong beliau sejak beliau masuk pertandingan di Sekolah Teknikal Tanjong Katong dahulu. Karyanya luar biasa. Di situ, saya beritahu beliau kalau nak masuk bidang teater ini, mesti bersungguh-sungguhlah, pergi lanjutkan pengajian biar berilmu dan berilmiah.



"Beliau sahut cabaran saya hingga ke Universiti Hawaii. Kalau kita lihat karya dan kerjanya, ia amat berbeza dan karyanya amat intelektual," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >