Subuh
5:27
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Setempat

MAJLIS PENGHARGAAN PENDAMPING PENERIMA BANTUAN ZAKAT MUIS

Senyum jika kekadang ditengking kerana faham keadaan keluarga

Nov 21, 2019 | 05:30 AM

NIATNYA murni, mahu membantu, namun beliau pernah ditengking.

Daripada bertindak balas secara negatif, Cik Asmah Ahmad, 59 tahun, akan tersenyum dan kekal tenang.

Baginya, inilah lumrah sebagai seorang relawan. Namun, kejadian sebegitu, menurutnya, jarang berlaku dan sama sekali tidak menghambat iltizamnya untuk terus menabur bakti kepada penerima bantuan zakat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

"Saya pernah ditengking, tetapi saya beritahu diri saya mereka mungkin tertekan dan mempunyai masalah mereka sendiri. Jadi, saya cuba faham, diam dan sabar saja," ujarnya, yang sudah berkhidmat sebagai pendamping selama lapan tahun.

Baru-baru ini, Cik Asmah dilantik sebagai pendamping kanan, yang menurutnya suatu yang bermakna.

"Ia suatu tanggungjawab yang berat... kini dengan perlantikan saya sebagai pendamping kanan, saya perlu membimbing yang lain yang lebih muda.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana tak sangka akan mendapat pengiktirafan sebegini," ujar suri rumah itu.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Cik Asmah, yang merupakan sukarelawan Masjid Al-Khair sejak 14 tahun lalu, berkata beliau mendapat tahu tentang program pendamping itu daripada rakannya.

Sejak bertemu dengan penerima bantuan zakat, Cik Asmah tersentuh dan memutuskan mahu terus menjadi pendamping.

Beliau menukil pengalamannya berjumpa sepasang suami isteri yang menghidap sakit kronik tanpa anak serta saudara-mara yang membantu.

Menyifatkan pengalaman itu sebagai menyedihkan, Cik Asmah berkata, keadaan menyayat hati sebegini yang mendorongnya terus berkhidmat.

"Menjadi pendamping membuat saya lebih mengenali erti hidup senang atau susah serta erti silaturahim dan ihsan," ujar ibu empat anak itu.

Selain melawat rumah penerima bantuan zakat sekali dalam tiga bulan untuk bertanya khabar dan meninjau keadaan mereka, Cik Asmah juga akan bertegur sapa dengan mereka jika berjumpa di luar.

"Kami rapat juga. Saya akan layan mereka dengan mesra, tetapi juga memastikan saya tetap bersikap profesional," kata nenek seorang cucu itu.

Kini, sebagai pendamping kanan, beliau akan membimbing pendamping lain yang masih baru dan muda.

Antara nilai yang perlu dipupuk dalam diri mereka adalah kesabaran dan kemahiran insani.

Cik Asmah berkata beliau akan terus berkhidmat selagi mampu.

"Saya berharap dapat terus berbakti kepada mereka walau sekadar menjenguk untuk bertanya khabar dan membantu mereka semampu boleh. Saya juga berharap kehidupan penerima bantuan zakat ini akan lebih baik dengan bantuan yang mereka terima," ujarnya.


PROGRAM PENDAMPING MUIS

* Diperkenalkan pada 2008 dengan hanya 79 relawan

* Kini mempunyai lebih 600 relawan

* Program beri sokongan kepada penerima bantuan zakat jangka panjang seperti warga emas miskin, mereka yang sakit kronik, pesakit buah pinggang dan golongan kurang upaya.

* Pendamping menjalankan lawatan rumah secara tetap dan bekerjsama rapat dengan Pegawai Pembangunan Sosial (SDO) masjid untuk meninjau kesejahteraan dan keperluan asas penerima bantuan.

* Telah mendekati lebih 3,500 penerima zakat jangka panjang.

* Sebanyak 13,500 lawatan ke rumah dilakukan oleh pendamping sejauh ini.

* Mereka yang ingin menjadi pendamping boleh mendaftar di: https://www.befrienders.sg/public/Register.aspx

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian