SEORANG lagi murid dari Sekolah Anglo-Chinese (ACS)(Junior) merupakan antara kes masyarakat baru yang dilaporkan kelmarin, dan ini merupakan kes pertama jangkitan Covid-19 di sekolah Singapura.
Seorang kanak-kanak berusia setahun dan murid 11 tahun juga tergolong antara kes baru yang dilaporkan Kementerian Kesihatan (MOH) kelmarin.
Dalam satu kenyataan pagi semalam, Kementerian Pendidikan (MOE) berkata kes di ACS (Junior) itu merupakan "peringatan jelas kepada semua pihak berkepentingan, terutama sekali ibu bapa, bahawa kita perlu bekerjasama untuk memastikan sekolah kita selamat".
MOE menggesa semua ibu bapa agar mematuhi langkah saringannya dan supaya kanak-kanak kekal di rumah serta memberitahu sekolah serta-merta jika terdapat sebarang anggota isi rumah yang mengalami masalah pernafasan akut, atau percaya mereka telah dijangkiti Covid-19.
"Ini penting bagi memastikan pelajar kita di sekolah selamat.
"Pelajar perlu mendapatkan rawatan perubatan serta- merta jika rasa tidak sihat, terus mengamalkan kebersihan diri dan mematuhi langkah pengurusan selamat," tambahnya.
Pelajar ACS (Junior) yang diumumkan sebagai salah satu kes baru kelmarin merupakan seorang budak lelaki berusia 11 tahun.
Menurut MOE, dia merupakan rakan sekelas seorang lagi pesakit yang diuji positif Rabu lalu.
Menyusuli ujian positif rakan sekelasnya itu, murid 11 tahun tersebut telah diletakkan di bawah perintah kuarantin Khamis lalu.
Dia dilaporkan demam, batuk dan selesema pada hari yang sama, dan diuji selepas melaporkan simptom-simptom itu.
Menurut MOH, hasil ujian yang diperolehi Jumaat lalu positif. Hasil ujian serologi masih dinantikan.
COVID-19 DI S'PURA - 22 MEI
JUMLAH BARU: 29
DALAM MASYARAKAT: 22
IMPORT: 7
DI DORMITORI: 0
JUMLAH KELOMPOK AKTIF: 26
JUMLAH KEMATIAN: 32
JUMLAH KESELURUHAN: 61,799 (Hingga 12 tengah hari semalam)
Laporan terkini kes Covid-19 setempat di www.bh.sg