SEORANG pekerja asing berusia 33 tahun terbunuh apabila lori yang dinaiki melanggar trak yang berhenti sepanjang Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) pada pagi Selasa (20 April).
Lelaki itu meninggal dunia kerana kecederaannya sementara baki 16 pekerja lain dalam lori itu turut digegaskan ke hospital kerana cedera.
Seorang pemandu lori berusia 36 tahun ditangkap kerana kecuaian memandu sehingga menyebabkan kematian.
Polis menyatakan mereka diberitahu tentang kejadian di PIE menghala ke Lapangan Terbang Changi (sebelum laluan keluar di Jalan Bahar) itu pada 6.06 pagi.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menambah dua mangsa kemalangan terperangkap di bahagian belakang lori itu dan perlu diselamatkan dengan peralatan hidraulik.
Penumpang lori yang berusia 23 hingga 46 tahun pula dihantar ke Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Hospital Besar Ng Teng Fong.
Menurut polis, dua pekerja yang terperangkap itu tidak sedarkan diri selepas kemalangan tersebut.
Video kemalangan yang menunjukkan beberapa lelaki terbaring di jalanan dengan dua ambulans dan kenderaan bomba berada di lokasi dimuatnaikkan ke Facebook sekitar 10.30 pagi Selasa.
Kemalangan itu menyebabkan kesesakan jalan raya di Pioneer Road North, jelas Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Menurut laporan The Straits Times, difahamkan kesemua penumpang lori itu adalah pekerja asing yang bertugas di syarikat binaan Bright Asia Construction.
Siasatan masih dijalankan.