Serangan London satu peringatan suram tentang ancaman ganas dan perlunya sentiasa berwaspada: Shanmugam

MENTERI Undang-undang merangkap Dalam Negeri K. Shanmugam pada Khamis (23 Mac) berkata serangan di London pada Rabu adalah satu peringatan suram tentang ancaman pengganasan global dan perlunya sentiasa berwaspada.

"Ia adalah serangan kejam dan terancang, jelas bertujuan menyerang demokrasi British dan cara hidup British," kata Encik Shanmugam laman Facebooknya.

"Ingatan dan doa kami bersama rakyat British," katanya.

London digemparkan dengan serangan seorang lelaki memandu melanggar pejalan kaki dan menikam seorang anggota polis berhampiran bangunan Parlimen Britain.

Lima orang, termasuk seorang pegawai polis dan penyerang, terbunuh dan kira-kira 40 yang lain cedera.

Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean turut mengulas insiden itu pada Khamis dengan berkata beliau sedih dengan kehilangan nyawa dan kecederaan yang menimpa.

"Kita perlu berjaga-jaga bagi mencegah serangan; bersedia bertindak balas untuk menjaga keselamatan diri kita dan orang lain jika kita terperangkap dalam kejadian begitu; kekal berdaya tahan untuk menjalankan kehidupan seperti biasa; dan bersatu untuk menentang mereka yang menyokong ekstremisme dan keganasan," kata Encik Teo di laman Facebooknya.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Chan Chun Sing berkata cara penduduk London bertindak terhadap serangan itu membuktikan inspirasi kekuatan masyarakatnya.

"Walaupun serangan itu cuba merosakkan cara hidup kita, penduduk London jelas menunjukkan bagaimana kita boleh tinggal bersama-sama menolak siapa sahaja yang mahu meragut keamanan dan keselamatan kita. Kita perlu sentiasa berwaspada dan bersatu menghadapi ancaman seperti itu," tulis beliau dalam laman Facebook pada Khamis pagi.

"Mari kita berdiri bersama London menentang perbuatan pengganas itu."

Bercakap di luar pejabatnya di 10 Downing Street, Perdana Menteri Theresa May mengutuk serangan itu sebagai "jahat dan buruk" dan tempat kejadian berlaku bukan satu kebetulan.

"Pengganas itu memilih menyerang di tengah-tengah ibu negara kita, dengan orang dari semua bangsa, agama dan budaya datang bersama-sama meraikan nilai-nilai kebebasan, demokrasi dan kebebasan bersuara," katanya.

"Sebarang percubaan untuk melemahkan nilai-nilai ini melalui kekerasan pati gagal," katanya.