SELAMA tiga tahun, cucu perempuannya, berusia enam tahun, telah menjadi mangsa serangan seksual.
Cucunya yang diamanahkan untuk dijaganya itu telah diarah bersumpah untuk merahsiakan perbuatannya.
Tertuduh, berusia 65 tahun, yang tidak dapat dinamakan atas arahan mahkamah agar melindungi identiti kanak-kanak perempuan itu, dijatuhi hukuman penjara selama 14 tahun, 18 sebatan dan denda $9,400, menurut laporan akhbar The Straits Times.
Dia juga akan menjalani hukuman penjara tambahan selama sembilan bulan sebagai ganti hukuman rotan kerana berusia lebih 50 tahun dan tidak dapat dirotan.
Hakim Daerah Shawn Ho mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, dan mensabitkannya atas pertuduhan itu pada 8 Disember tahun lepas.
Sebelum menjatuhkan hukuman kelmarin, tertuduh disabitkan dengan dua lagi pertuduhan memiliki filem lucah.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nicholas Lai dan Chee Ee Ling berkata bahawa mangsa telah diserang secara seksual berulang kali antara 2015 dengan 2017.
Serangan itu berlaku di rumah tertuduh, di mana isteri, empat cucunya - termasuk mangsa - dan ibu mangsa tinggal. Dia bekerja sebagai pemandu semasa didapati bersalah.
"Tertuduh... menganggapnya (cucu) sebagai mainan seks - untuk memuaskan nafsu seksnya yang menjijikkan," kata pendakwa raya.
Mereka berhujah bahawa penderaan itu secara sengaja dan dirancang kerana si datuk akan mengasingkan mangsa dan memastikan tiada orang dewasa lain yang berada bersama mereka.
Tertuduh itu ditangkap oleh sepupu mangsa, kemudian memberitahu ibu mangsa. Ibu mangsa membawa anaknya ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH) dua tahun kemudian pada 24 September 2017 apabila anaknya mengadu kesakitan ketika membuang air kecil.
Tertuduh ditangkap pada hari itu.