Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Serlahkan keislaman menerusi nilai rahmah, ihsan dan ilmu

Jun 25, 2017 | 05:30 AM



Warga berbilang agama di sini kian mengambil berat mengenai agama. Trend ini turut dinyatakan Perdana Menteri Lee Hsien Loong. Dalam ucapannya di majlis sambutan ulang tahun Pertubuhan Antara Agama (IRO) yang ke-66, rakyat Singapura semakin beragama dan mengambil agama mereka dengan lebih serius. Namun, kesedaran agama yang semakin tinggi ini bukan hanya dipaparkan menerusi tahap ibadah yang meningkat. Masyarakat Islam contohnya memaparkannya menerusi nilai-nilai yang konsisten dengan Islam seperti menabur bakti melalui kerja-kerja sukarela, memelihara alam sekitar dan mempertingkat diri bagi kesejahteraan keluarga. Berita Minggu memaparkan pengalaman tiga Muslim yang memaparkan nilai-nilai murni itu. Laporan di halaman ini dan sebelah oleh ERVINA MOHD JAMIL (ervinamj@sph.com.sg) dan IRMA KAMARUDIN (irmak@sph.com.sg).



DALAM keadaan dunia yang bergolak dengan penuh cabaran dan ketidakpastian kini, sesetengah orang berpaling kepada agama dan mengambilnya dengan lebih serius bagi mencari ketenangan dan harapan, menurut beberapa penganalisis di sini.



Ketua Pengajian Program Hubungan Antara Agama Dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Mohammad Alami Musa, menerangkan kemajuan dunia hari ini boleh menimbulkan tekanan dalam kehidupan individu dek jangkaan yang melambung, arus kehidupan yang pantas dan pelbagai masalah sosial.



"Ini menyebabkan anggota masyarakat berpaling kepada agama untuk mendapatkan ketenangan, kemantapan emosi dan harapan untuk menangani cabaran itu.



Encik Mohammad Alami menambah, proses pemodenan juga telah menggugat identiti anggota masyarakat. Ini menyebabkan "semacam keresahan" sekali gus mendorong mereka kembali kepada agama untuk mendapatkan arah yang sejajar dengan identiti mereka.



"Ini menyebabkan peningkatan dalam peranan agama. Kita dapat melihat bagaimana setiap kelompok agama di Singapura berusaha untuk menguatkan identiti pengikut mereka yang telah dilemahkan oleh kemodenan," kata beliau lagi.



Sementara itu, maklumat yang boleh didapatkan dengan mudah dalam era digital sekarang juga antara sebab sesetengah warga Singapura mengambil agama mereka dengan lebih serius, kata Encik Mohamad Alami dan lain-lain penganalisis kepada Berita Harian (BH).



Namun, trend warga yang lebih beragama ini bukan bererti seseorang itu hanya mencerminkannya dalam bentuk kerohanian sahaja, seperti tahap ibadah yang lebih tinggi.



Bagi Muslim, selain tahap ibadah yang meningkat, keagamaan ini juga dicerminkan dalam bentuk lain.



Ini termasuk memaparkannya menerusi nilai murni sejajar dengan ajaran Islam seperti menyebarkan rahmah kepada alam sekitar, keihsanan sesama insan melalui perkara kebaikan dan kebajikan serta memperkasa diri dengan sentiasa mengejar ilmu.



Menurut Zamil Penyelidikan di Institut Pengajian Dasar (IPS) Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYSPP), Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Mohamad Shamsuri Juhari, di kalangan belia Melayu/Islam, trend menjadi semakin warak itu juga boleh disebabkan kesedaran yang meningkat tentang bagaimana agama mereka dipaparkan secara negatif kebelakangan ini.



Sementara sesetengah mereka rasa perlu untuk mempertahankan agama mereka dengan melakukan serupa cakap, sesetengah lagi pula beranggapan bahawa mereka perlu menunjukkan bahawa Islam tidak setegar yang dipaparkan media, katanya.



Namun, kedua-duanya dianggap masyarakat umum sebagai kewarakan yang meningkat.



Pengasas bersama Muslim Youth Forum Singapore, Ustaz Muhammad Zahid Zin, juga akur bahawa pelbagai perbincangan dan dakwaan tentang Islam kini mendorong ramai orang Islam memastikan mereka dilengkapi dengan jawapan yang betul.



"Mereka baca lebih banyak berbanding sebelum ini dan... ramai juga yang menonton bahan agama untuk belajar," katanya sambil menambah bahawa ada banyak bahan kreatif yang membincangkan tentang Islam kini.



Ustaz Zahid turut menarik perhatian bahawa kewarakan yang meningkat merupakan perubahan yang positif, dengan bimbingan yang betul dan berwibawa.



"Ia bukan sahaja tentang tanggungjawab kita kepada-Nya (Allah), malah hubungan kita sesama insan," ujarnya.



Trend kewarakan yang meningkat ini dilihat bukan sahaja di kalangan masyarakat Islam bahkan di kalangan agama lain di Singapura termasuk Kristian.



Menurut seorang paderi Kristian setempat yang tidak mahu identitinya didedahkan, beliau mendapati lebih ramai orang menghadiri kelas pengajian Bible, selain terdapat lebih ramai Kristian di sini.



Meskipun akur sesetengah pengikut agama itu ikhlas ingin belajar tentang agama Kristian dan kitab Bible dengan lebih mendalam, paderi itu berkappta ia bukan halnya bagi sesetengah yang lain yang pergi ke gereja untuk antara lain "lihat-lihat saja, menjalin rangkaian... dan bergaul dengan golongan tertentu".



Sementara kewarakan yang meningkat adalah sesuatu yang positif kerana agama merupakan pengukuh bagi moral yang baik dan masyarakat penyayang, penganalisis yang dihubungi Berita Minggu berkata ia juga boleh menjejas keharmonian masyarakat berbilang agama di Singapura jika tidak diimbangi dengan baik.



Encik Alami berkata identiti agama yang kuat setiap kelompok masyarakat boleh menghakis identiti kesingapuraan jika langkah tidak diambil untuk menyesuaikan identiti agama yang unik kepada konteks Singapura yang berbilang agama.



"Kesan negatif ini akan bertambah buruk jika peningkatan semangat keagamaan didorong oleh fahaman fundamentalisme.



"Fahaman ini berbahaya kerana ia mempunyai anggapan bahawa pengikut satu agama tidak boleh berinteraksi rapat dengan pengikut agama lain. Ia juga melarang mereka untuk saling mempercayai antara satu sama lain... dan ini akan menjejas hubungan antara agama serta melemahkan keharmonian silang agama kita," katanya.



Oleh itu, langkah tertentu harus diambil bagi mengimbangi kewarakan yang meningkat dengan sikap lebih toleran serta lebih saling memahami dan menghormati, termasuk dengan terus menggalak persefahaman antara agama.



Menurut Zamil Penyelidikan Kanan di IPS, Dr Mathew Mathews, pemimpin agama juga harus berhati-hati semasa menyampaikan ajaran agama agar ia tidak digunakan untuk 'menyerang' pihak lain.



Encik Alami berkata pemimpin agama memainkan peranan penting untuk menonjolkan ajaran agama yang menggalak pengikut mereka bersikap inklusif, toleran dan terbuka selain menekankan bahawa ia tidak salah untuk menuntut ilmu silang agama.



Bagi Dr Shamsuri, interaksi mesra antara individu yang berlainan agama di sini juga harus menjadi satu kebiasaan.



"Contohnya baru-baru ini, rakan kerja bukan Islam saya di IPS menganjurkan sesi iftar untuk rakan kerja Islam mereka. Kami berbual sambil makan... dan ini peluang untuk kami bercakap bukan sahaja tentang Islam malah tentang agama mereka juga.



"Hasilnya, kami lebih memahami kepercayaan dan amalan satu sama lain. Saya rasa ini satu usaha yang harus diamalkan semua pertubuhan," katanya.




"Kemajuan dunia hari ini boleh menimbulkan tekanan dalam kehidupan individu dek jangkaan yang melambung, arus kehidupan yang pantas dan pelbagai masalah sosial. Ini menyebabkan anggota masyarakat berpaling kepada agama untuk mendapatkan ketenangan, kemantapan emosi dan harapan untuk menangani cabaran itu. Pemimpin agama memainkan peranan penting untuk menonjolkan ajaran agama yang menggalak pengikut mereka bersikap inklusif, toleran dan terbuka."
- Encik Mohammad Alami Musa, Ketua Program Hubungan Antara Agama Dalam Masyarakat Majmuk SRP di RSIS, NTU. Beliau menekankan keagamaan itu dicerminkan bukan hanya menerusi ibadah yang meningkat, tapi menerusi nilai-nilai positif.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >