Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: AZAM GEN-Z

Seronok jaga musang di Safari Malam

Kini buru ijazah sarjana sains zoologi dalam mod penyelidikan
Jul 27, 2022 | 05:30 AM



MINAT dan kasih sayangnya terhadap haiwan dipupuk sejak kecil lagi.



Begitu mendalam cintanya kepada haiwan, Cik Noor Najilah Anifah, 27 tahun, sanggup mendedikasikan pendidikan serta kerjayanya kepada haiwan.



Oleh kerana minatnya yang amat mendalam, Cik Noor Najilah telah memilih bidang itu sebagai pilihan pendidikannya, sehingga meraih Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Pengurusan Sains Sumber Haiwan & Zoologi di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).



Beliau turut berpengalaman menjaga haiwan invertebrata iaitu kumpulan haiwan tanpa tulang belakang dan reptilia di kawasan perlindungan rama-rama dan reptilia di Melaka.



Kini beliau merupakan kakitangan di Safari Malam, taman haiwan malam pertama di dunia, yang bersama-sama dengan River Wonders, Taman Haiwan Singapura dan Taman Burung Jurong, melengkapi rangkaian taman perlindungan haiwan kendalian Mandai Wildlife Reserve di sini.



"Jika harus berikan gambaran mengenai minat dan kasih sayang saya terhadap binatang, saya rasa tiada apa yang cukup untuk menggambarkannya dengan tepat," kongsi Cik Noor Najilah kepada Berita Harian baru-baru ini.



Cik Noor Najilah berkongsi, antara pengalaman awalnya menjaga haiwan ialah kucing peliharaannya yang amat disayangi dan diberi nama Lola.



"Lola adalah anak kucing pertama antara kucing terbiar yang kami beri makan dan tempat berteduh dan ia dilahirkan di rumah kami pada 2006.



"Hubungan saya dan Lola amat rapat dan kami mempunyai sudut khas di rumah untuk lepak bersama.



"Lola juga akan peluk dan tidur di dada saya setiap kali saya ada di rumah," singkap Cik Noor Najilah mengenai Lola, yang mati pada 2019.



"Hingga ke hari ini saya masih menyesuaikan diri tanpa kehadiran Lola. Kadang-kadang saya tidak dapat menahan perasaan rindu terhadap kucing kesayangan saya itu.



"Pada masa ini, kami hanya memelihara ikan koi - haiwan kegemaran ibu saya, dan beberapa kucing dari rumah jiran juga sering mengunjungi rumah kami untuk bersantai berhampiran kolam kami.



"Rumah kami juga terbuka kepada mana-mana kucing yang ingin berehat dan kami juga menyediakan makanan untuk mereka," tambah Cik Noor Najilah.



Cik Noor Najilah telah bekerja sebagai penjaga haiwan di Safari Malam selama sekitar empat tahun dan adalah antara penjaga haiwan yang ditugaskan menjaga pameran musang dengan konsep terbuka.



Konsep itu membolehkan pengunjung berjalan-jalan di kawasan pameran Safari Malam untuk melihat musang jenis Common Palm Civet.



"Saya amat ghairah apabila mendapat tahu tentang pameran baru tersebut untuk pengunjung.



"Sebelum ini saya mempunyai pengalaman mendalam menjaga beberapa jenis musang tetapi pameran baru itu mempunyai spesies musang yang tidak pernah saya jaga.



"Pada mulanya mereka (musang itu) tidak yakin dengan pasukan penjaga. Tetapi setelah sebulan, mereka kini lebih selesa dan membenarkan kami mendekatinya," kata Cik Noor Najilah.



Pameran itu mengetengahkan sembilan musang daripada dua jenis.



Pengunjung boleh menikmati pengalaman unik menyaksikan cara musang makan dan tingkah laku mereka, tambah beliau.



Meskipun sibuk bekerja, namun Cik Noor Najilah tetap masih dahagakan ilmu.



Beliau kini sedang memburu Ijazah Sarjana dalam Sains (Zoologi), mod kajian, di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang secara sambilan.



Walaupun bekerja dan belajar secara sambilan amat memenatkan, Cik Noor Najilah memastikan beliau dapat mengimbangi masa.



"Saya cuba untuk tidak membawa pulang tugasan dari tempat kerja, supaya saya dapat memberi tumpuan kepada pembacaan pengajian.



"Memandangkan pembelajaran saya lebih kepada kajian, saya mempunyai lebih fleksibiliti," ujarnya yang menetapkan matlamat menyelesaikan sarjananya tidak lebih empat tahun



Cik Noor Najilah berkata, selain cintanya kepada haiwan, tugas yang beliau lakukan juga diharap dapat menyumbang kepada usaha meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar.



"Dengan menghubungkan orang ramai dengan pengalaman bersama haiwan yang kami tawarkan (di Safari Malam), kami harap kami dapat memberi inspirasi kepada orang ramai agar menghargai alam semula jadi dan mengambil tindakan untuk melindungi hidupan liar," katanya.]




"Dengan menghubungkan orang ramai dengan pengalaman bersama haiwan yang kami tawarkan (di Safari Malam, kami harap kami dapat memberi inspirasi kepada orang ramai agar menghargai alam semula jadi dan mengambil tindakan untuk melindungi hidupan liar."



- Cik Noor Najilah Anifah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >