BILAKAH aiskrim kali pertama dicipta di dunia?
Dan apakah perisa aiskrim kegemaran anda?
Dalam episod terakhir musim keempat The BM Show, hos Irma Kamarudin dan Shahida Sarhid membawa penonton meneroka sejarah kemanisan dan dunia warna-warni aiskrim di Muzium Aiskrim Singapura.
Terletak di 100 Loewen Road, muzium bertemakan aiskrim itu - yang pertama di luar Amerika Syarikat - menampilkan 14 bilik dan ruang berwarna merah jambu yang interaktif.
Pengunjung boleh melukis ciptaan aiskrim mereka sendiri secara digital, menyertai lumba guli bersama rakan di Marble Run, 'melancong' ke luar negara di California Dreamin, dan menikmati dendangan lagu-lagu lama di peti lagu di Scream's Diner.
Nostalgia juga dikembalikan dalam ruang Potong, di mana pengunjung boleh menikmati aiskrim potong berperisa seperti pulut hitam dan laici bandung.
Paling menarik, pengunjung boleh terjun ke dalam 'lautan' taburan gula berwarna-warni di MOIC Sprinkle Pool.
Saksikan episod terakhir 'The BM Show' di Facebook, Instagram dan TikTok Berita Harian, serta laman BH.sg esok.