Sertai wadah dalam talian berdasarkan prinsip berani cuba, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

SEKITAR RAMADAN

Sertai wadah dalam talian berdasarkan prinsip berani cuba

Apr 18, 2021 | 05:30 AM

MESKIPUN mula berniaga sekitar 30 tahun lalu, tidak pernah terlintas di fikiran Cik Liza Zakaria untuk memanfaatkan ruang dalam talian untuk menonjolkan makanan yang dijualnya.

Namun, keadaan Covid-19 tahun lalu membuat beliau 'tersentak' dan sedar pentingnya bergerak pantas ke wadah dalam talian, terutama sekali apabila kedainya tidak dapat dibuka semasa tempoh pemutus litar, langsung menjejas sumber pendapatan utama keluarga.

Dengan bantuan anaknya, beliau, yang kini menguruskan perniagaan makanan itu dengan suaminya, Encik Jaafar Latib, membuka akaun Facebook dan Instagram demi memastikan perniagaannya itu dapat bertahan.

Cik Liza akui, walaupun perniagaannya tidak serancak berbanding peringkat awal apabila ia baru dibuka, wadah media sosial merupakan wadah penting untuk menjangkau lebih ramai pelanggan.

"Memang banyak perubahan tahun demi tahun. Semasa kami mula dahulu, perniagaan lebih rancak walaupun dulu tak banyak cara untuk pasarkan produk kami.

Discover Malay Home Based Businesses

"Kini media sosial memang jadi tumpuan. Jadi kami ingin cuba mendekati lebih ramai pelanggan, jangkau pasaran baru dan kekal relevan sebaik mungkin dengan mengikut trend pasaran terkini," katanya, yang kini berusia dalam lingkungan 50 tahun.

Kini, selain mengendalikan gerai menjual nasi ayam penyet di pusat penjaja Koufu di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, beliau juga menawarkan pelbagai pilihan makanan Melayu tradisional untuk katering yang boleh dipesan dalam talian di bawah Vintage Tree Pte Ltd.

Dengan berpegangkan prinsip berani mencuba itu, Cik Liza memutuskan untuk turut serta buat pertama kali dalam wadah bazar dalam talian, Bazaar-Kita.sg, dengan harapan dapat merancakkan perniagaannya terutama sekali semasa tempoh perayaan ini.

Sebelum pandemik ini, Cik Liza dan suaminya biasanya akan menyewa gerai di bazar fizikal semasa tempoh perayaan, termasuk di Bazar Utara di Woodlands dan juga bazar kecil-kecilan di masjid.

"Melalui penyertaan dalam bazar maya ini, kami harap dapat menaikkan jenama perniagaan kami dan membantu mendekati pelanggan baru dan lama.

"Ini peluang baik untuk pastikan kami ikut trend pasaran yang berubah dan belajar cara untuk memperbaiki diri," katanya.

Dalam usaha Cik Liza untuk mempelbagaikan produknya, Vintage Tree Ptd Ltd juga menawarkan hidangan harian sepanjang bulan Ramadan di mana pelanggan boleh memesan makanan untuk berbuka puasa dari menu yang disediakan.

Setiap set berbuka puasa mengandungi hidangan utama, lauk pauk dan juga kuih sebagai pencuci mulut dan akan dihantar ke rumah pelanggan.

Menurut Cik Liza, beliau perlu mengubah model perniagaannya supaya tidak ketinggalan, terutama sekali dengan pelbagai produk makanan 'hipster' yang dipasarkan dalam talian.

"Kami harap walaupun dengan pelbagai makanan 'hipster' yang dijual dalam talian, makanan 'vintaj' masih tetap digemari.

"Bagi mereka yang terasa nak makan hidangan Raya tradisional atau cemilan 'old school', boleh tinjau-tinjau apa yang kami tawarkan di bazar dalam talian nanti," katanya.

Portal Bazaar-Kita.sg anjuran bersama Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan Wisma Geylang Serai (WGS) telah beroperasi sejak 1 April lalu.

Hampir 60 perniagaan telah berdaftar untuk menawarkan produk mereka di bazar dalam talian itu.

Majoriti terdiri daripada peniaga makanan dan minuman dan selebihnya memaparkan produk berbeza termasuk fesyen, kecantikan dan pendidikan.

Ia juga bekerjasama dengan wadah e-dagangan, Shopee; wadah pasaran dalam talian bagi makanan milik Muslim atau halal, Bungkus; dan pasar raya dalam talian, GrabMart.

Meskipun bazar fizikal masih belum boleh diadakan, portal itu menawarkan wadah bagi perniagaan dan individu untuk menawarkan produk dan perkhidmatan mereka, selain membolehkan pelanggan "membelek-belek" pelbagai wadah pada satu masa sedang mereka membuat persiapan bagi Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map