Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KENYATAAN PERGAS

Seru masyarakat Islam agar tenang, teladani akhlak Rasulullah pilih harmoni dan damai

Masyarakat perlu bersatu perangi keganasan, ajak saudara senegara turut bersabar, sama-sama raih manfaat
Jan 29, 2021 | 05:30 AM



MERUJUK kepada perancangan pembunuhan oleh seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dan beragama Kristian di dua masjid Singapura yang dilaporkan oleh media aliran utama setempat pada 27 Januari 2021.



Pergas amat prihatin dan memandang berat akan hal ini. Segala bentuk radikal, kezaliman serta penindasan dari mana-mana pihak tidak boleh diterima. Ia tidak bertepatan dengan ajaran agama Islam, Kristian serta agama-agama lain yang menyemai keamanan dan keharmonian.



Malah, ia bertentangan dengan nilai-nilai sejagat yang memelihara kehormatan manusia dan menyebarkan kebaikan tanpa mengira bangsa dan agama.



Firman Allah swt di dalam surah AlMa'idah ayat 2 yang ertinya:



Dan hendaklah kamu saling membantu satu sama lain dalam membuat kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu saling membantu dalam melakukan dosa dan permusuhan. Dan bertakwallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Berat azab siksanya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).



Di dalam Islam, Allah swt juga berfirman di dalam surah al-Hajj ayat 40 yang melarang manusia daripada memusnahkan masjid, gereja, kuil mahupun tempat penyembahan agama lain:



Ertinya: Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang, dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut banyak nama Allah padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.



Dengan itu, Pergas menyeru masyarakat Islam Singapura agar bertenang dalam menghadapi isu sebegini. Pergas yakin masyarakat Islam mampu bersikap matang dalam memberi respons, kerana kita pernah menghadapi isu yang serupa sebelum ini.



Malah, Pergas menggalakkan masyarakat Islam Singapura agar meneladani dan mencerminkan akhlak Rasulullah saw yang sering memilih kedamaian dan keharmonian walaupun Baginda saw ditindas.



Rasulullah saw juga mengajar umatnya agar menolak keburukan dan penghinaan dengan kebaikan kerana kelembutan mampu melembutkan kekasaran.



Akhlak Baginda saw ini adalah cerminan daripada arahan Allah swt di dalam surah al-Fussilat ayat 34 yang ertinya:



Dan tidaklah sama (kesan dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila kamu berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.



Akhir sekali, keganasan tidak mengenal agama. Ia wujud dalam kalangan pengikut setiap agama walaupun semua agama memupuk kedamaian.



Ia adalah cabaran kita bersama. Dengan itu, Pergas ingin menyatakan kesediaannya untuk berkongsi bersama agama lain tentang pengalaman Pergas bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) yang dikendalikan bersama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam membantu menangani kegiatan ekstremis pihak-pihak lain.



Kita perlu bersatu sebagai masyarakat Singapura dalam memerangi keganasan, serta mengajak saudara senegara turut bersabar dengannya agar sama-sama meraih manfaatnya. Kita juga perlu meneruskan usaha menyemai sikap saling memahami di antara agama dan bangsa.



Semoga Allah swt memelihara kedamaian dan keamanan yang dinikmati oleh masyarakat Singapura.




CONTOHI AKHLAK NABI MUHAMMAD SAW



"... Pergas menyeru masyarakat Islam Singapura agar bertenang dalam menghadapi isu sebegini. Pergas yakin masyarakat Islam mampu bersikap matang dalam memberi respons, kerana kita pernah menghadapi isu yang serupa sebelum ini.



Malah, Pergas menggalakkan masyarakat Islam Singapura agar meneladani dan mencerminkan akhlak Rasulullah saw yang sering memilih kedamaian dan keharmonian walaupun Baginda saw ditindas.



Rasulullah saw juga mengajar umatnya agar menolak keburukan dan penghinaan dengan kebaikan kerana kelembutan mampu melembutkan kekasaran."



SERU MASYARAKAT SINGAPURA AGAR BERSATU



"Kita perlu bersatu sebagai masyarakat Singapura dalam memerangi keganasan, serta mengajak saudara senegara turut bersabar dengannya agar sama-sama meraih manfaatnya. Kita juga perlu meneruskan usaha menyemai sikap saling memahami di antara agama dan bangsa."



- Kenyataan Pergas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >