Pada 19 Julai tahun lalu, seorang pelajar Sekolah Tinggi River Valley (RVHS) berusia 16 tahun didakwa membunuh seorang rakan pelajar sekolahnya yang berusia 13 tahun.
Setahun selepas itu, masyarakat RVHS telah mampu mengorak langkah ke hadapan secara bersama, menurut Kementerian pendidikan (MOE) hari ini (16 Julai).
Menjawab soalan The Straits Times, MOE berkata ini dilakukan dengan jagaan, sokongan serta galakan yang tinggi daripada rakyat Singapura.
Jurucakap MOE berkata sepanjang setahun lalu, RVHS telah melakukan usaha bersama untuk mengesan para pelajar dan staf yang memerlukan sokongan sosio-emosi.
"Sekolah ini telah menambah sumber kaunselornya, dan menjalankan taklimat kesedaran kebajikan untuk para pelajarnya.
"Para guru secara aktif mendekati pelajar dengan pembelajaran serta sosio-emosi yang berbeza dan berusaha untuk menyediakan sekitaran yang penyayang dan memberi pengupayaan," kata jurucakap itu lagi.
Dengan langkah pengurusan selamat yang dilonggarkan, RVHS telah menyambung kehidupan dan kegiatan sekolahnya, kata MOE.
Para pelajarnya telah menyertai pelbagai pengalaman sekolah seperti orientasi, pengembaraan, perjalanan pembelajaran, Festival Belia Singapura dan Sukan Sekolah Nasional.
Kampus sekolah itu juga telah diperbaharui bagi menghasilkan suasana yang penyayang bagi masyarakat sekolah, kata MOE lagi.
Ia menambah sekolah itu juga telah menubuhkan hab pembangunan pelajar bagi menawarkan akses seperhentian untuk khidmat kesejahteraan pelajar, serta sebuah pusat kegiatan pelajar bagi menyediakan pula lebih banyak ruang untuk kegiatan pimpinan pelajar.
"Semua langkah ini telah memberi impak positif ke atas para pelajar RVHS," kata jurucakap MOE itu lagi.