Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Setiap kejayaan anak walau kecil perlu dirai

Nov 28, 2018 | 05:30 AM



SUDAH dua dekad berlalu, namun saya masih tidak dapat melupakan detik mengambil keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) di Sekolah Rendah Damai.



Masih terngiang-ngiang bagaimana teman-teman rapat saya berlonjak kegembiraan kerana meraih markah cemerlang, agregat tinggi.



Walaupun saya berjaya ke aliran Ekspres, namun agregat yang diraih adalah yang terendah dalam kalangan teman-teman rapat saya.



Walhal, saya sepatutnya turut gembira kerana dapat meraih agregat yang baik, lebih-lebih lagi setelah melakukannya tanpa kelas tuisyen!



Namun, ketika itu, hati ini bergelumang dengan perasaan sedih dan hampa.



Melihat keadaannya hari ini, semasa murid-murid mengambil keputusan PSLE minggu lalu, saya sedar keadaannya sekarang sudah dua dekad lalu tidak banyak berubah.



Dari catatan di Facebook dan kiriman whatsapp dari teman-teman, ternyata keputusan akademik masih menjadi tumpuan ibu bapa.



Selepas keputusan PSLE diumumkan, pelbagai posting di media sosial oleh ibu bapa yang bangga dengan kejayaan akademik anak mereka. Ramai juga ibu bapa yang 'menyepi' apabila anak mereka tidak meraih keputusan yang begitu memberangsangkan.



Namun, yang agak menyedihkan, ramai yang secara terbuka melahirkan rasa hampa dengan keputusan anak-anak mereka. Malah, ada yang kecewa meskipun keputusan anak mereka 'boleh tahan' dan mampu ke aliran Ekspres.



Melihat keadaan sedemikian, langkah terkini Kementerian Pendidikan (MOE) untuk mengurangkan tumpuan terhadap akademik menjadi semakin genting.



Setiap kejayaan perlu diraikan kerana nilai yang disemai dan perkembangan holistik seseorang pelajar itu adalah lebih penting dalam jangka masa panjang daripada sekadar kemampuan 'menyerap' segala maklumat yang perlu dihafal dan 'dimuntahkan' semula ke kertas peperiksaan.



Ini lebih-lebih lagi kerana setiap perjalanan kehidupan seseorang pelajar itu berbeza-beza.



Lihat sahaja kesungguhan yang ditonjolkan pelajar Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah, Nur Raudahtul Insyirah Ridwan, yang telah kami laporkan dalam akhbar ini.



Beberapa ketumbuhan di kepalanya tidak dijadikan penghalang untuk dia terus menunjukkan kemajuan dalam pelajaran.



Atau lihat bagaimana semangat yang dipaparkan Mohd Irfan Mohamad Adi, pelajar diskleksia dari Sekolah Rendah Bukit Panjang, yang sanggup meluangkan masa di luar waktu sekolah untuk mengulangkaji pelajaran.



Lihat pula pembangunan holistik pelajar Sekolah Rendah Telok Kurau, Muhammad Syahrul Danial Nor yang berjaya dalam akademik dan luar akademik.



Semangat kental yang ditonjolkan pelajar-pelajar ini adalah lebih penting dan ia membentuk keperibadian mereka dalam meniti usia remaja.



Mereka selalunya lebih cekal apabila menempuhi kegagalan, lebih matang dalam menangani masalah yang datang bergolek, lebih berdikari dalam melaksanakan tugas.



Dalam ekonomi dunia baru, yang bakal melenyapkan banyak pekerjaan yang sedia ada sekarang, adalah penting untuk mengukur kejayaan dalam konteks yang lebih luas.



Menurut dua profesor dari Amerika Syarikat, Kathy Hirsh-Pasek dan Roberta Golinkoff, yang telah menulis buku Becoming Brilliant: What Science Tells Us About Raising Successful Children (Menjadi Bijak: Sudut pandangan Sains tentang membangunkan anak-anak berjaya), ada enam kemahiran penting yang diperlukan kanak-kanak untuk berjaya dalam ekonomi global hari ini.



Ini termasuk kolaborasi, komunikasi, kandungan, pemikiran kritikal, inovasi kreatif dan keyakinan.



Nilai-nilai ini juga sejajar dengan Kecekapan Abad ke-21 yang disyorkan MOE, untuk menawarkan pendidikan holistik bagi mempersiap pelajar untuk masa depan.



Selain memiliki nilai yang utuh dalam mengharungi cabaran masa depan, semangat untuk belajar sepanjang hayat juga perlu dititikberatkan.



Bagi menerapkan unsur keseronokan dalam pembelajaran, MOE juga baru-baru ini mengumumkan bahawa tiada lagi peperiksaan bagi pelajar Darjah 1 dan 2.



Ini bermakna lebih banyak masa akan diperuntukkan untuk pelajar mengetahui kekuatan, minat dan memperbaiki kelemahan mereka.



Dan untuk menekankan lagi mesej bahawa pembelajaran bukan satu pertandingan, buku laporan juga tidak lagi akan menyenaraikan ranking pelajar itu.



Mentelah lagi, kini pelbagai laluan pendidikan disediakan berdasarkan minat, kebolehan dan keupayaan seorang pelajar.



Kita juga didedahkan kepada kisah-kisah benar daripada individu setempat yang berjaya dalam kerjaya dan kehidupan meski tidak meraih keputusan yang dianggap cemerlang dalam PSLE.



Seperti contoh, Encik Tan Jun Xiang, 22 tahun yang meraih 181 mata dalam PSLE kini merupakan antara pelajar perubatan yang berjaya dipilih masuk ke Sekolah Perubatan Yong Loo Lin di Universiti Nasional Singapura (NUS).



Secara tuntas, keputusan PSLE itu tidak boleh dijadikan kayu ukur terhadap kejayaan seseorang di masa hadapan.



Anjakan paradigma dari segi pemikiran di kalangan ibu bapa juga perlu berubah.



Ibu bapa perlu sedar bahawa agregat yang diraih semasa PSLE hanyalah sekadar nombor yang mencerminkan kebolehan pelajar dalam menjawab kertas peperiksaan.



Ia tidak menunjukkan karakter, kebolehan, keupayaan, kredibiliti dan keyakinan pelajar itu sepenuhnya dalam menempuh cabaran selain merebut peluang keemasan di masa depan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >