Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BANTUAN KURANGI KOS SARA HIDUP

Setiap warga berusia 21 tahun dan ke atas akan terima tunai $100-$300

Golongan berpendapatan rendah akan turut dihulur bantuan tambahan; Rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) dilanjutkan
Feb 19, 2020 | 05:30 AM



WARGA Singapura berusia 21 tahun dan ke atas pada tahun ini bakal menerima bayaran tunai sehingga $300, bergantung kepada pendapatan mereka.



Sementara itu, ibu bapa yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak yang dilahirkan di Singapura berusia 20 tahun dan ke bawah pada 2020 akan mendapat tambahan $100.



Ini merupakan sebahagian daripada Pakej Bantuan Keluarga yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Heng Swee Keat, semalam.



Memperincikan pakej itu, Encik Heng berkata pemerintah akan memperuntuk $1.6 bilion bagi Pakej Bantuan Keluarga itu dengan lebih banyak bantuan akan diberikan kepada keluarga yang memerlukan.



Dana tambahan ini akan membantu membiayai sebahagian daripada perbelanjaan harian setiap isi rumah, di tengah-tengah ketidakpastian yang disebabkan oleh kelembapan ekonomi serta penularan wabak koronavirus, Covid-19.



Akur akan tekanan meningkat yang dirasakan banyak keluarga di sini disebabkan ketidakpastian itu, Encik Heng berkata:



"Pemerintah telah membuat langkah penting bagi membantu rakyat Singapura menguruskan perbelanjaan utama dalam kehidupan, melalui subsidi struktural seperti pendidikan, perumahan dan penjagaan kesihatan."



Pakej menyeluruh



Tahun ini, mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas dengan nilai tahunan rumah tidak melebihi $28,000 akan menerima $300 tunai.



Warga Singapura yang berusia 21 tahun dan ke atas dengan nilai tahunan rumah lebih daripada $28,000 tetapi tidak melebihi $100,000 juga layak menerima Pakej Bantuan Keluarga tersebut bernilai $200.



Bagi mereka yang memiliki lebih dari satu hartanah, bayaran sebanyak $100 akan diberikan - tanpa mengira pendapatan mereka.



Selain bayaran sekali itu, pemerintah juga akan melanjutkan Rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) untuk membiayai pembayaran sekitar 1.5 dan 3.5 bulan, untuk setahun lagi.



Sebagai contoh, mereka yang menetap di flat satu atau dua bilik akan menerima rebat sebanyak 3.5 bulan, manakala keluarga yang tinggal di flat lima bilik akan menerima 2.5 bulan rebat S&CC ini.



Rebat S&CC ini akan diagihkan kepada isi rumah yang layak secara suku tahunan - pada April, Julai dan Oktober tahun ini dan Januari 2021.



Skim Baucar GST dan U-Save tahunan yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2012 bagi membantu keluarga yang tinggal di flat HDB dengan perbelanjaan bil api dan air mereka akan digandakan tahun ini.



Ia akan diberikan kepada isi rumah yang layak menerusi Bayaran Khas Baucar GST-U-Save sekali sahaja. Isi rumah yang mempunyai lebih dari lima orang akan menerima 2.5 kali Baucar GST U-Save biasa.



"Ini akan membantu meringankan kos sara bagi perbelanjaan isi rumah," kata Encik Heng.



Bantuan tambahan bagi keluarga berpendapatan rendah



Dalam ucapannya lagi, Encik Heng turut mendedahkan bahawa warga Singapura yang berpendapatan rendah akan menerima bantuan tambahan.



Pekerja di bawah skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) akan menerima tambahan 20 peratus kepada Bayaran Khas Daya Kerja keseluruhan mereka bagi tugas yang dilakukan tahun lalu, dengan bayaran minimum $100 bagi membantu mereka dengan perbelanjaan harian.



Bayaran akan dibuat secara tunai, menurut Encik Heng.



Dalam pada itu, pemerintah juga akan membantu lebih ramai warga yang memerlukan dengan memberikan Baucar Barangan Dapur berjumlah $100 kepada warga Singapura berusia 21 tahun dan ke atas yang tinggal di flat HDB satu atau dua bilik setiap tahun, bagi 2020 dan 2021.



Baucar ini boleh digunakan di pasar raya terkemuka.



"Ini secara langsung membantu isi rumah yang memerlukan dengan perbelanjaan barangan utama dalam hidup - iaitu makanan," tambah beliau.



Sokongan bagi warga senja dan lain-lain



Di bawah Pakej Bantuan Keluarga ini, golongan lanjut usia juga tidak terkecuali.



Encik Heng mengumumkan pemerintah akan memberikan tokokan $100 pada Kad PAssion warga Singapura yang berusia 50 tahun dan ke atas tahun ini.



Jumlah itu boleh digunakan untuk membayar antara lain barangan runcit serta kegiatan dan kemudahan di kelab masyarakat. Mereka yang tidak mempunyai Kad PAssion boleh mendapatkannya secara percuma untuk menerima tokokan tersebut.



Selain pembayaran tunai dan rebat kepada keluarga, pemerintah juga akan memberikan geran sebanyak $10 juta kepada badan Bantu Diri dan $20 juta kepada Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) selama dua tahun supaya mereka dapat membantu lebih banyak keluarga.



"Secara keseluruhan, Pakej Bantuan Keluarga ini akan membantu keluarga muda sebanyak sekitar $1,300. Keluarga 3-Gen boleh menerima lebih iaitu sekitar $1,800," ujar Encik Heng.




MERINGANKAN BEBAN KELUARGA

"Tahun ini, dengan kelembapan ekonomi serta ketidakpastian terhadap penularan wabak Covid-19, kami sedar ramai keluarga kian menghadapi tekanan yang lebih besar. Sewaktu saya dan rakan Anggota Parlimen mengadakan sesi bertemu penduduk, mereka sering memberitahu kami bahawa mereka bimbang tentang jaminan pekerjaan mereka serta perbelanjaan yang semakin meningkat. Bagi membantu rakyat Singapura dengan kos perbelajaan keluarga mereka dalam tempoh ketidakpastian ini, saya akan menyediakan Pakej Bantuan Keluarga yang menyeluruh untuk setiap isi rumah, berjumlah sekitar $1.6 bilion."

- Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Heng Swee Keat.




PAKEJ BANTUAN KELUARGA



$1.6 BILION



  • Semua warga Singapura 21 tahun dan ke atas akan terima sehingga $300, bergantung kepada pendapatan mereka

  •  Semua ibu bapa warga Singapura dengan sekurang-kurangnya seorang anak berusia 20 tahun dan ke bawah akan dapat tambahan $100 – Tokokan Kad PAssion sekali sebanyak $100 bagi warga Singapura berusia 50 tahun dan ke atas

  • Baucar Barangan Dapur $100 bagi warga Singapura 21 tahun ke atas yang tinggal di flat HDB satu atau dua bilik setiap tahun, bagi 2020 dan 2021

  • Bayaran Khas Baucar GST-U-Save sekali bagi semua isi rumah yang layak, berjumlah seganda berbanding Baucar GST U-Save biasa. Isi rumah yang mempunyai lebih dari lima orang akan menerima 2.5 kali Baucar GST U-Save biasa

  • Rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) dilanjutkan untuk membiayai pembayaran sekitar 1.5 dan 3.5 bulan, untuk setahun lagi.

  • Tambahan 20 peratus bagi bayaran daya kerja untuk pekerjaan yang diselenggarakan pada 2019, dengan bayaran minimum sebanyak $100. Bayaran akan dibuat secara tunai




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >