Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

DIALOG SHANGRI-LA

Setiausaha Pertahanan AS kritik pendekatan 'agresif' China

Austin tekankan kepentingan Asean dalam tangani isu keselamatan; rujuk pendirian PM Lee bahawa negara rantau ini tidak perlu tertekan untuk pilih antara AS atau China
Jun 12, 2022 | 05:30 AM



SETIAUSAHA Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Lloyd Austin, mengkritik pendekatan "lebih memaksa dan agresif" China terhadap tuntutan wilayahnya di Indo- Pasifik dalam ucapan pertamanya di Dialog Shangri-La semalam.



Beliau berjanji untuk mengukuhkan kerjasama Washington di Asia walaupun beliau memberi amaran bahawa perang Ukraine adalah gambaran kegawatan yang boleh berlaku jika aturan antarabangsa yang berakar pada peraturan dan penghormatan dilanggar.



Berucap di hadapan hadirin yang terdiri daripada menteri pertahanan dan pegawai tinggi dari Asia dan Eropah, Encik Austin juga menekankan kepentingan Asean dalam menangani isu keselamatan dan merujuk pendirian yang lama dipegang Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong, bahawa negara-negara Asean tidak boleh merasa tekanan untuk memilih antara Amerika atau China sedang saingan antara mereka semakin sengit.



Amerika akan kekal inklusif dalam pendekatannya, meluaskan kerjasama dengan sekutu dan rakan kongsi serta bekerja seiring dengan institusi serantau baru dan sedia ada, katanya.



"Kami mencari penyertaan, bukan perpecahan. Kami mencari kerjasama, bukan persengketaan. Dan ini bermakna kami mengikut nasihat bijak daripada Perdana Menteri Lee yang berhujah bahawa tiada siapa harus memaksa pilihan binari di rantau ini. Beliau betul. Negara Indo-Pasifik kita harus bebas memilih, bebas untuk makmur dan bebas menentukan hala tuju mereka sendiri."



Ucapannya selama sejam itu mengandungi beberapa kritikan keras terhadap China, merujuknya dengan nama rasminya Republik Rakyat China (PRC) dan menarik sanggahan tajam dari China.



Beliau menyorot tindakan China di Laut China Timur, di mana ia mempunyai pertikaian wilayah dengan Jepun; Laut China Selatan, di mana tuntutan maritimnya bertembung dengan beberapa negara Asean termasuk Filipina, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Brunei; dan India di mana puluhan ribu tentera bersenjata dari kedua-dua negara berada dalam kebuntuan di sempadan Himalaya yang tidak bertanda.



"Di Laut China Timur, armada perikanan PRC yang semakin berkembang mencetuskan ketegangan dengan jiran-jirannya.



"Di Laut China Selatan, PRC menggunakan pos di pulau buatan manusia yang dipenuhi dengan persenjataan canggih untuk memajukan tuntutan maritim haramnya.



"Kita melihat kapal-kapal PRC merompak peruntukan rantau itu, beroperasi secara haram di dalam perairan wilayah negara Indo-Pasifik yang lain.



"Dan lebih jauh ke barat, kita melihat Beijing terus mengukuhkan kedudukannya di sepanjang sempadan yang ia kongsi dengan India.



"Negara-negara Indo-Pasifik tidak sepatutnya menghadapi ugutan politik, paksaan ekonomi, atau gangguan oleh militia maritim," tambahnya.



Berjanji untuk mengekalkan kehadiran aktif di seluruh Indo-Pasifik, beliau berkata Amerika akan menyokong keputusan Tribunal Timbang Tara 2016 yang memihak kepada Filipina untuk memutuskan bahawa elemen utama dalam tuntutan China, termasuk kegiatan penambakan tanah di Perairan Filipina, adalah menyalahi undang-undang.



"Kami akan terbang, belayar, dan beroperasi di mana sahaja yang dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa," tambahnya.



"Kami telah melihat peningkatan yang membimbangkan dalam bilangan pemintas dan konfrontasi udara yang tidak selamat di laut oleh pesawat dan kapal PLA (Tentera Pembebasan Rakyat China)," katanya, merujuk kepada kejadian pada Februari lalu apabila sebuah kapal Tentera Laut PLA didakwa mengarahkan laser ke sebuah pesawat peronda maritim P-8 Australia dan kepada kejadian jet pejuang China memintas pesawat di Laut China Timur dan China Selatan.



Beberapa kenyataannya yang paling tajam adalah mengenai Taiwan, yang juga merupakan perkara yang memecah belah semasa pertemuan bersemuka pertamanya dengan Menteri Pertahanan China, Encik Wei Fenghe, di Singapura, Jumaat lalu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >