Subuh
5:33
Syuruk
6:56
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
6:59
Isyak
8:14
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sewa tinggi di tempat lain jadi keprihatinan kedai tekstil

Oct 12, 2022 | 05:30 AM



KEDAI tekstil popular, Bamadhaj Brothers, yang telah lama menjadi penyewa di Tanjong Katong Complex (TKC), menghadapi tekanan untuk mencari premis baru dan beralih dari TKC dengan masa yang semakin suntuk.



Namun begitu, Cik Lubna Bamadhaj, yang menguruskan kedai pakaian itu, berkata mereka mungkin akan meneruskan operasi secara kecil-kecilan untuk masa yang terhad dari satu lagi kedai mereka di Arab Street.



"Sehingga kini, kami sudah berusaha mencari tempat alternatif di kawasan berdekatan seperti City Plaza.



"Namun, dengan peralihan ini kami perlu membuat pengorbanan yang besar.



"Kami perlu memilih antara membayar sewa yang lebih mahal atau mendapat ruang yang lebih kecil berbanding dengan kedai kami di sini," jelasnya.



Menurut Cik Lubna, beliau mungkin hanya dapat ruang kedai berukuran separuh di tempat lain untuk harga sewa yang sama di TKC.



Untuk mendapatkan ruang dengan saiz yang sama, mereka harus membayar sewa sebanyak tiga kali ganda dari apa yang kini dibayar bagi kedai di TKC.



Ketika ditemui oleh Berita Harian (BH) baru-baru ini, beliau berkata, sekiranya tidak dapat mencari tempat lain untuk berniaga, mereka mungkin akan berpindah ke cawangan kedai itu di Arab Street buat sementara waktu.



"Ini bukan satu penyelesaian bagi kami kerana kami juga memahami ruang di sana juga terhad.



"Walaupun kami dapat berniaga di sana buat seketika, kami masih mempunyai banyak stok pakaian.



"Ini adalah sesuatu yang kami harus fikirkan kerana kami memerlukan ruang untuk menyimpan stok-stok pakaian ini," jelasnya.



Sejak musim perayaan pada Syawal tahun ini, Cik Lubna berkata perniagaannya telah merosot sebanyak 90 peratus.



Ia terjadi setelah kelonggaran undang-undang membenarkan orang ramai melancong ke luar negara.



"Selepas Syawal, jumlah orang yang datang ke TKC secara keseluruhan berkurangan secara mendadak.



"Kita buka kedai hari-hari pun jarang kita lihat orang masuk kedai.



"Hujung minggu ada segelintir orang tetapi secara keseluruhan, agak mencabar bagi kami untuk mengekalkan perniagaan ini," kata Cik Lubna, yang sudah berniaga di TKC selama 12 tahun.



Berhasrat untuk mendapatkan ruang berniaga baru menjelang akhir tahun ini, Cik Lubna berkata sekiranya beliau mendapatkan ruang yang sesuai, ia akan membantunya mempunyai peralihan yang lancar.



"Jika kami mendapat tempat yang sesuai di berdekatan kawasan ini, kami akan terus mengambilnya.



"Ini supaya kita dapat memaklumkan kepada pelanggan tentang tempat baru," katanya, yang juga menanti-nantikan bulan Ramadan tahun hadapan untuk jualan besar terakhir sebelum penutupan TKC.



TKC akan ditutup bagi kerja-kerja baik pulih yang akan dilaksanakan mulai Ogos 2023.




"Sehingga kini, kami sudah berusaha mencari tempat alternatif di kawasan berdekatan seperti City Plaza.

Namun, dengan peralihan ini kami perlu membuat pengorbanan yang besar."

- Cik Lubna Bamadhaj, yang menguruskan kedai pakaian, Bamadhaj Brothers di Tanjong Katong Complex.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >