SG akan bina lagi 60km paip air dalam dua tahun

SINGAPURA akan membina lagi 60 kilometer paip air dalam dua tahun mendatang bagi memenuhi keperluan air penduduk dan komersial baru termasuk dua projek yang telah bermula - Paip Air Murnane di Bukit Timah dan Paip Air Punggol. 

Agensi air negara PUB - yang berkata keperluan air di kawasan kota Singapura akan meningkat seganda pada 2060 - semalam, memberitahu bahawa kesemua projek sedang berjalan lancar.

Sebahagian besar kededua projek ini dibina menggunakan kaedah pipejacking - atau menanam paip dengan cara menggerudi terowong tanpa menggali tanah secara terbuka - yang berharga 2.5 kali lebih mahal berbanding menanam paip dengan cara menggali secara terbuka.

Menurut PUB, 40 peratus projek Murnane dan hampir keseluruhan projek 7 kilometer dari Punggol Way ke Elias Road akan dibina menggunakan kaedah pipejacking.

Menelan belanja $365 juta, projek Murnane dijangka lengkap pada 2019. Separuh daripada paip sepanjang 22 kilometer ini akan dibina menerusi koridor keretapi Tanjong Pagar.

Projek paip Punggol berukuran 87 kilometer. Ia dibina secara berperingkat, bermula dengan di Punggok Way. Tender bagi pembinaan bahagian lain akan diumumkan tidak lama lagi.