Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

SG ambil tindakan tegas ke atas ucapan benci kaum tetapi tidak larang perbincangan: Shanmugam

Jul 07, 2021 | 05:30 AM



SINGAPURA mengambil pendekatan tegas melarang ucapan yang menyinggung perasaan mengenai kaum tetapi tidak melarang perkongsian pendapat mengenai perkara ini, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.



Pendekatan ini melindungi kaum minoriti, yang boleh berasa selamat untuk membincangkan tentang pengalaman mereka.



Kata Encik Shanmugam lagi, jika ucapan yang menyinggung perasaan semua orang ditoleransi atau dibolehkan, lebih banyak ucapan seperti itu mungkin ditujukan kepada masyarakat minoriti.



Encik Shanmugam menyatakan demikian di Parlimen dalam satu jawapan bertulis kelmarin kepada soalan Cik Raeesah Khan (GRC Sengkang).



Cik Raeesah telah bertanya apakah undang-undang menentang ucapan kebencian perkauman di sini sejajar dengan saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa langkah untuk mencegah ucapan perkauman tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk mengekang luahan tentangan terhadap ketidakadilan atau ketidakpuasan misalnya.



Undang-undang Singapura terhadap kebencian perkauman dan ucapan yang menyinggung perasaan itu selaras dengan saranan itu, kata Encik Shanmugam.



Menurutnya, di bawah Kanun Keseksaan, tindakan yang sengaja melukai perasaan perkauman mana-mana orang, mempromosikan permusuhan antara pelbagai kumpulan kaum atau melakukan perkara yang menjejas keharmonian kaum, merupakan kesalahan.



"Undang-undang itu sama untuk semua orang, tidak kira kaum," kata Encik Shanmugam.



Beliau memberi contoh dua insiden apabila undang-undang sedemikian digunakan.



Pada Januari 2019, seorang lelaki Cina didakwa di bawah Kanun Keseksaan kerana sengaja berniat melukai perasaan masyarakat Melayu.



Lelaki itu telah menconteng mesej perkauman mengenai orang Melayu di dinding kolong blok serta laluan pejalan kaki berbumbung di Geylang dan Aljunied.



Dalam contoh kedua, pada Jun tahun lalu, seorang lelaki Melayu yang menggunakan akaun Twitter dengan nama Cina, '@sharonliew86', untuk membuat kenyataan perkauman terhadap orang ramai daripada pelbagai kaum, juga telah didakwa.



Menarik perhatian bahawa banyak perbincangan, komentar dan perkongsian pengalaman mengenai isu kaum yang dijalankan, Encik Shanmugam berkata Singapura mengambil pendekatan tegas terhadap ucapan yang menyinggung perasaan dan ucapan kebencian.



Pendekatan itu diambil terhadap semua pihak - majoriti dan minoriti - yang katanya memberi lebih perlindungan kepada minoriti dengan menjadikannya selamat bagi mereka untuk mengongsi pengalaman mereka dan memberi pandangan mereka.



Sekiranya ucapan yang menyinggung perasaan ditoleransi atau dibenarkan, lebih banyak ucapan seperti itu akan cenderung ditujukan kepada masyarakat minoriti, kata Encik Shanmugam.



"Ini secara ironinya akan mengurangkan ruang selamat untuk perbincangan isu tersebut, dan meningkatkan keprihatinan masyarakat minoriti mengenai keselamatan dan perlindungan. Ini bukan hipotesis. Inilah yang telah berlaku di beberapa negara lain," katanya.



"Kita harus berhati-hati untuk mengubah apa yang berkesan di Singapura (walaupun tidak sempurna), dan menggantinya dengan dasar yang tidak berkesan di tempat lain."



Encik Shanmugam juga berkata saranan PBB juga mengambil pandangan bahawa perlindungan orang ramai daripada ucapan kebencian perkauman tidak bertentangan atau "semata-mata menentang" kebebasan bersuara.



Beliau juga berkata soalan Cik Raeesah tidak jelas apakah beliau bermaksud menyatakan setiap kali ada yang mendakwa bersuara menentang "ketidakadilan, menyatakan ketidakpuasan sosial, atau menyatakan tidak persetujuan", mereka harus dikecualikan daripada Kanun Keseksaan dan dibolehkan menyatakan ucapan kebencian atau menyinggung perasaan.



Kementerian Ehwal Dalam Negeri mengundangnya untuk menjelaskan perkara ini, kata Encik Shanmugam lagi.




"Ini secara ironinya akan mengurangkan ruang selamat untuk perbincangan isu tersebut, dan meningkatkan keprihatinan masyarakat minoriti mengenai keselamatan dan perlindungan. Ini bukan hipotesis. Inilah yang telah berlaku di beberapa negara lain. Kita harus berhati-hati untuk mengubah apa yang berkesan di Singapura (walaupun tidak sempurna), dan menggantinya dengan dasar yang tidak berkesan di tempat lain."
- Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, yang menarik perhatian bahawa jika ucapan yang menyinggung perasaan ditoleransi atau dibenarkan, lebih banyak ucapan seperti itu akan cenderung ditujukan kepada masyarakat minoriti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >