SG gesa Myanmar hentikan keganasan, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:43
Syuruk
7:01
Zuhur
1:06
Asar
4:19
Maghrib
7:11
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

SG gesa Myanmar hentikan keganasan

Satu mesyuarat khas Menteri Luar Asean dengan wakil tentera Myanmar dirancang: Vivian
Mar 02, 2021 | 05:30 AM

SINGAPURA menggesa Myanmar untuk menghentikan penggunaan kekerasan yang membawa maut kepada orang awam, serta segera membebaskan pemimpin Cik Aung San Suu Kyi agar negara itu boleh kembali ke arah laluan demokratik.

Membuat gesaan itu, Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan berkata Singapura terkejut dengan penggunaan kekerasan yang membawa kepada kematian orang awam dalam pergolakan di Myanmar.

Menurutnya, satu mesyuarat khas Menteri Luar Asean akan diadakan menerusi sidang video hari ini untuk mendengar daripada wakil penguasa tentera Myanmar mengenai situasi di negara itu.

Dr Balakrishnan berkata demikian di Parlimen semalam semasa perbahasan Belanjawan bagi Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Menyentuh mengenai Myanmar, beliau berkata perkembangan terkini di negara itu amat membimbangkan kepada Singapura dan Asean.

Berita Popular

"Kami menekankan dengan tegas bahawa tiada alasan langsung bagi penggunaan senjata yang membawa maut terhadap orang awam yang tidak bersenjata.

"Kami menggesa penguasa ketenteraan Myanmar untuk menahan diri, menghentikan penggunaan kekerasan yang membawa maut, serta mengambil langkah segera untuk mengurangkan tekanan situasi itu untuk mencegah lebih banyak keganasan, pertumpahan darah dan korban jiwa," ujar Dr Balakrishnan.

Kelmarin, sekurang-kurangnya 18 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 30 orang cedera, sedang pihak keselamatan Myanmar menggunakan peluru hidup, peluru getah, dan bom tangan terhadap penunjuk perasaan rampasan kuasa tentera di negara itu.

Dr Balakrishnan berkata semalam ketidakstabilan di Myanmar akan memberi kesan yang serius kepada negara itu, Asean dan rantau ini.

"Kami menggesa semua pihak di Myanmar untuk mengadakan perbincangan dan berunding dengan baik, untuk mencapai huraian politik jangka panjang yang aman bagi perdamaian nasional, termasuk kembalinya perjalanan ke arah peralihan demokratik.

"Kami percaya ini hanya boleh bermula jika Presiden Win Myint, Penasihat Negara dan Menteri Luar Aung San Suu Kyi, dan individu lain yang ditahan dibebaskan segera," ujar Dr Balakrishnan.

Meskipun Asean mempunyai prinsip konsensus dan tiada campur tangan, blok itu masih boleh memainkan peranan konstruktif dalam membantu usaha mengembalikan keadaan biasa dan kestabilan di Myanmar, kata Dr Balakrishnan lagi.

Dalam ucapannya, beliau membentangkan tumpuan Singapura dalam memastikan ia kekal relevan di dunia. Ini termasuk mempelbagaikan dan memperdalam hubungan perdagangan; meningkatkan peranan sebagai hab; memupuk kerjasama berbilang hala; mengatasi perubahan iklim; dan memupuk kerjasama digital.

Beliau turut menggariskan risiko geopolitik dan makroekonomi bagi Singapura, sedang dunia berdepan kesan pandemik Covid-19.

Antaranya ialah hutang global yang meningkat sedang pemerintah seluruh dunia mengatasi pandemik, kesan ekonomi daripada Covid-19 yang memperdalam garis perpecahan dalam masyarakat, serta hubungan antara Amerika dan China yang semakin terjejas.

Dalam mengatasi persaingan antara dua adikuasa itu, Singapura perlu terus mengekalkan pendekatan yang konsisten dan berprinsip, melaksanakan hak kedaulatannya, serta terus memelihara kebebasan dan identiti sebagai negara berbilang kaum dan budaya di tengah-tengah Asia Tenggara, kata Dr Balakrishnan.

Laporan lain:

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map