SINGAPURA dan Malaysia telah bertukar-tukar pandangan bagaimana saling bekerjasama antara satu sama lain bagi menyuntik pemulihan akibat kesan pandemik Covid-19.
Ini termasuk pengiktirafan kedua-dua negara terhadap sijil vaksin bagi membantu dalam perjalanan rentas sempadan pada masa hadapan.
Demikian menurut catatan Facebook Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, semalam.
Dr Balakrishnan telah bertemu Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Ehwal Luar Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Encik Khairy Jamaluddin.
Ini merupakan sebahagian daripada lawatan dua hari Dr Balakrishnan ke Malaysia.
Menurutnya, kesan daripada Covid-19 terhadap ekonomi dan gangguan terhadap perjalanan rentas sempadan merupakan antara dua perkara utama yang dibincangkan.
Dalam pada itu, Dr Balakrishnan berkata melebihi Covid-19, Singapura juga sedang bekerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai daya usaha termasuk Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura.
"Gembira bahawa projek tersebut sedang menunjukkan kemajuan!" tulis Dr Balakrishnan.
Beliau turut melahirkan rasa tidak sabar mengalu-alukan kunjungan Tan Sri Muhyiddin dan pemimpin Malaysia lain ke Singapura.