Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SG mula import tenaga diperbaharui dari Laos menerusi Thai, M'sia

Import hingga 100 megawatt hidrokuasa, boleh bekal tenaga kepada 144,000 flat HDB empat bilik selama setahun
Jun 24, 2022 | 05:30 AM



SINGAPURA mula mengimport tenaga yang boleh diperbaharui dari Laos menerusi Thailand dan Malaysia semalam, menandakan bermulanya perdagangan tenaga berbilang hala yang melibatkan empat negara Asean itu.



Di bawah Projek Penyepaduan Kuasa Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) itu, Singapura akan mengimport hingga 100 megawatt hidrokuasa yang boleh diperbaharui dari Laos menerusi Thailand dan Malaysia menggunakan laluan penyambung yang sedia ada di negara tersebut.



Hidrokuasa 100 megawatt itu merupakan 1.5 peratus daripada penggunaan elektrik di Singapura pada 2020, dan boleh membekalkan tenaga kepada sekitar 144,000 flat HDB empat bilik selama setahun.



Perdagangan elektrik rentas sempadan itu menyusuli persetujuan yang ditandatangani September tahun lalu antara Keppel Electric dan Electricite du Laos - pembekal kuasa di Laos milik pemerintah - untuk mengimport tenaga yang boleh diperbaharui ke Singapura.



Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), Kementerian Tenaga dan Lombong Laos, Electricite du Laos dan Keppel, projek LTMS-PIP itu boleh mengorak langkah merealisasikan visi Grid Kuasa Asean (APG) dalam mewujudkan mekanisme pasaran bagi membolehkan perdagangan kuasa berbilang hala, selain negara jiran Singapura, pada masa akan datang.



APG merupakan inisiatif serantau bagi mempertingkat keterhubungan, keselamatan serta kemampanan tenaga melalui keterhubungan elektrik sedia ada.



"Ini menyediakan ruang untuk memanfaatkan sumber tenaga rendah karbon dan boleh diperbaharui di rantau ini untuk menyumbang terhadap pembangunan ekonomi dan mempertingkat keselamatan dan kestabilan tenaga," kata kenyataan itu.



EMA menambah Singapura kini memanfaatkan grid kuasa serantau untuk mendapatkan sumber tenaga lebih bersih di luar sempadannya.



Grid tenaga serantau ini boleh mempercepat pembangunan projek tenaga yang boleh diperbaharui serta memacu pembangunan ekonomi dan keselamatan tenaga di rantau ini.



Projek LTMS-PIP ini merupakan percubaan rintis import elektrik yang dilaksanakan EMA bagi membuka ruang untuk import elektrik pada skala lebih besar, kata EMA.



Ia dilaksanakan EMA dengan kerjasama pemerintah kesemua negara terlibat dan beberapa pihak termasuk Keppel Electric, Penguasa Pembekal Elektrik Thailand (EGAT), dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Malaysia.



Pelancaran import di bawah projek itu merupakan detik penting dalam usaha kerjasama tenaga serantau, menurut Ketua Eksekutif EMA, Encik Ngiam Shih Chun.



"Ia merupakan projek penting dalam usaha memacu perdagangan kuasa berbilang hala di rantau Asia dan melengkapkan usaha sedia ada dalam merealisasikan visi Grid Kuasa Asean.



"Grid kuasa yang terhubung dapat mempercepat bekalan tenaga yang boleh diperbaharui, menggalakkan kepelbagaian bekalan dan mengukuhkan kestabilan grid kuasa bagi rantau ini," ujarnya.



Menteri Tenaga dan Lombong Laos, Dr Daovong Phonekeo, berkata Laos menyasarkan untuk menjadi penyokong terbesar tenaga yang boleh diperbaharui.



Laos telah mengeksport lebih 6,000 megawatt elektrik rentas sempadan kepada negara jirannya termasuk Cambodia, Myanmar, Thailand dan Vietnam.



Negara itu juga mempunyai lebih 8,000 megawatt keupayaan hidrokuasa, yang dijangka diperluas pada masa akan datang untuk memenuhi permintaan domestik dan eksport akan datang.




"Ia merupakan projek penting dalam usaha memacu perdagangan kuasa berbilang hala di rantau Asia dan melengkapkan usaha sedia ada dalam merealisasikan visi Grid Kuasa Asean.

Grid kuasa yang terhubung dapat mempercepat bekalan tenaga yang boleh diperbaharui, menggalakkan kepelbagaian bekalan dan mengukuhkan kestabilan grid kuasa bagi rantau ini."

- Ketua Eksekutif EMA, Encik Ngiam Shih Chun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >