Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SG timbang cukai harta lain bagi golongan berkemampuan

Terdapat cabaran ia boleh sebabkan aliran dana keluar dari negara ini: Lawrence
Feb 22, 2022 | 05:30 AM



SINGAPURA sedang menimbangkan beberapa cukai harta dengan teliti agar mereka yang berkemampuan membayar lebih banyak cukai, kata Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.



Namun, beliau akur cabaran memperkenalkan cukai harta itu boleh menyebabkan aliran dana keluar dari negara ini.



Dalam Belanjawan Negara yang dibentangkan Jumaat lalu, Encik Wong mengumumkan beberapa perubahan terhadap cukai termasuk mengenakan kadar cukai pendapatan peribadi bagi golongan bergaji tinggi serta cukai bagi hartanah perumahan dan kereta mewah.



Beberapa cukai harta lain yang ditimbangkan ialah cukai terhadap keuntungan modal, dividen dan cukai harta bersih terhadap individu.



"Kami akan terus mengkaji pilihan ini, kami tidak menolaknya. Tetapi, kami juga perlu praktikal. Oleh itu, dalam Belanjawan ini, kami memutuskan mengenakan cukai harta secara prinsip melalui wadah yang ada iaitu hartanah dan kereta mewah,'' ujar Encik Wong, dalam temu ramah dengan agensi berita CNBC semalam.



"Namun, cabaran dengan cukai harta seperti ini ialah aliran harta dan kewangan mudah beralih. Jika kita bergerak, tetapi negara lain tidak mempunyai cukai serupa, ia amat mudah bagi harta itu beralih keluar dari Singapura ke lokasi lain,'' jelasnya.



Dalam Belanjawan itu, beliau mengumumkan kadar cukai pendapatan peribadi dinaikkan bagi 1.2 peratus golongan teratas mereka yang membayar cukai, langkah yang akan menjana pendapatan cukai tambahan sebanyak $170 juta setahun.



Cukai hartanah akan ditingkatkan dari antara 10 hingga 20 peratus bagi hartanah yang tidak didiami, kepada 11 hingga 27 peratus pada 2023.



Menurut Encik Wong, negara ini telah mengambil langkah untuk mengurangkan ketidaksamaan pendapatan.



"Oleh itu, sejak sedekad lalu, gaji pekerja berpendapatan rendah tumbuh lebih pantas dari gaji median di Singapura. Ia telah mengurangkan ketidaksamaan pendapatan. Dalam Belanjawan ini, kami merancang untuk dekad mendatang,'' jelasnya.



Model Gaji Progresif (PWM) diperkenalkan bagi meningkatkan gaji pekerja berpendapatan rendah yang perlu meningkatkan kemahiran mereka. Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) juga dipertingkatkan bagi golongan itu.



"Dari mencukai pekerja bergaji rendah, gaji mereka ditambah. Dengan gabungan itu, pemerintah melaburkan hampir $9 bilion bagi lima tahun mendatang bagi kedua skim itu,'' ujarnya.



Beliau melahirkan keyakinan ia akan memastikan pendapatan pekerja bergaji rendah terus meningkat lebih pantas dari gaji median di Singapura bagi dekad mendatang.



Mengenai kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak dua tahap bermula tahun depan, Encik Wong berkata pilihan itu dibuat dengan teliti memandangkan banyak duit dibelanjakan sejak dua tahun lalu sepanjang pandemik itu dan keperluan meningkatkan pendapatan "amat mendesak".



"Ia adalah kerana keprihatinan ramai mengenai kenaikan GST semasa harga sedang meningkat yang mendorong saya melihat keseluruhan keadaan - prospek inflasi dan keadaan ekonomi, agar kita dapat mencari keseimbangan dengan menunda GST dan memperkenalkannya secara bertahap dalam tempoh dua tahun,'' jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >