SGH disenaraikan hospital ketiga terbaik di dunia oleh majalah Newsweek
HOSPITAL Besar Singapura (SGH) telah disenarai sebagai hospital ketiga terbaik di dunia oleh majalah Newsweek, antaranya bagi penyelidikan klinikal dan “kejururawatan luar biasa”.
Ia berada di belakang dua hospital Amerika, Mayo Clinic dan Cleveland Clinic.
Majalah itu berkata SGH, sebagai hospital rujukan tertiari dengan sampingan pusat pakar di kampus, “menyediakan penjagaan yang dimampui kepada pesakit, memimpin penyelidikan klinikal didorong pesakit dan menyediakan latihan pendidikan peringkat siswa hingga lepas ijazah bagi kedua-dua pelajar dan karyawan perubatan”.
Daripada senarai 10 hospital terbaik, yang dipilih oleh panel doktor, karyawan perubatan dan pentadbir majalah itu di empat benua, empat adalah dari Amerika Syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif SGH, Profesor Kenneth Kwek, berkata: “Kami berasa rendah hati diiktiraf di atas penjagaan perubatan dan kejururawatan kami.”
SGH, katanya, mempunyai tradisi kuat bekerja untuk meningkatkan hasil melalui amalan klinikal bersepadu, inovasi, penyelidikan canggih dan model penjagaan baru.
“Kakitangan kami bersemangat tentang penjagaan kesihatan dan kami terus mencabar diri untuk melakukan yang lebih baik untuk pesakit, ahli keluarga mereka dan kakitangan kami,” tambahnya.
Satu-satunya hospital lain di Asia yang berjaya tersenarai adalah Hospital Universiti Tokyo, di tempat kelapan.
Hospital ini membuka Jabatan Pengurusan Perubatan Bencana, kata majalah itu.