Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERINTAH SEKATAN KE ATAS BEKAS PENDAKWAH DAN MURIDNYA

Shamugam: Pemerintah akan ambil tindakan terhadap penyokong keganasan

Puji langkah Muis batalkan pentauliahan ARS terhadap pendakwah yang sebar ajaran ganas
Jan 17, 2019 | 05:30 AM



PEMERINTAH akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menyokong keganasan dan menggunakan peranan keagamaan mereka untuk mengajar keganasan tanpa mengira agama, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.



Oleh itu, Encik Shanmugam berkata Perintah Sekatan (RO) yang dikenakan ke atas seorang bekas guru agama bebas, Murad Mohd Said, 46 tahun, menunjukkan bahawa pemerintah akan mengambil tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) apabila masyarakat terancam.



Bercakap kepada media semalam, Encik Shanmugam berkata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah memberi Murad pentauliahan Skim Pengiktirafan Asatizah ARS sebelum ini, namun apabila mereka mendapati ajarannya tidak sesuai, mereka membatalkannya.



"Saya rasa Muis wajar dipuji. Mereka mempunyai sistem pentauliahan yang rata-ratanya berkesan tetapi... apabila seseorang itu terpesong dan ajarannya tidak baik bagi masyarakat, Muis telah mengambil tindakan.



"Saya anggap dia (Murad) mendapat pentauliahan ARS kerana memenuhi kriteria namun apabila ajarannya menyimpang, tidak wajar diterima dan bercanggah dengan nilai masyarakat kita, pentauliahan ARS itu dibatalkan oleh Muis.



"Apabila dia mengancam keselamatan nasional pula, kami telah mengambil tindakan berdasarkan fakta," katanya.



Murad dikenakan RO di bawah ISA pada 5 Disember lalu selepas pentauliahannya di bawah ARS dibatalkan pada Mei tahun lalu kerana dia mengajar ideologi yang memecahbelahkan masyarakat sekali gus melanggar Kod Etika ARS.



Meskipun pentauliahan ARS Murad telah dibatalkan, Encik Shanmugam berkata dia tetap tidak berhenti dan menyebarkan pandangan berbaur yang memecahbelahkan masyarakat di dalam talian.



"Lebih ramai orang berpotensi menjadi terpengaruh dengan lebih mudah menerusi media sosial.



"Ini boleh menyebabkan pelajar dan pengikutnya membangunkan pandangan pelampau kerana orang ramai merujuk kepada guru agama untuk memahami agama dan belajar daripadanya tetapi dia mengatakan orang bukan Islam harus dibunuh dan mereka (pengikutnya) harus berundur daripada masyarakat," ujarnya.



Encik Shanmugam berkata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menjalankan penilaian dengan teliti sebelum mengambil tindakan.



Menurutnya, pegawai ISD biasanya akan bercakap dengan individu terbabit dan menasihatkan mereka sekiranya pihak ISD berasakan individu itu telah menyimpang.



"Ini adalah pendekatan yang lebih baik... untuk membantu (individu itu) memahami undang-undang, nilai dan tanggungjawab mereka.



"Sekiranya usaha itu tidak berhasil dan (individu itu) meneruskan sikapnya... menyokong keganasan dan pembunuhan orang lain, ini mengancam nyawa orang lain dan kami akan bertindak," ujar Encik Shanmugam.



Selain Murad, seorang pengikutnya, Razali Abas, 56 tahun, turut dikenakan RO sejak Oktober lalu.



Dia ditangkap di bawah ISA pada September lalu kerana didapati mempunyai pandangan radikal berhubung keganasan bersenjata untuk menentang pihak yang dianggapnya musuh Islam.



Razali diperkenalkan kepada Murad sekitar 2012 dan mula mengikuti kelasnya.



Lama-kelamaan, dia menjadi yakin bahawa perbuatan membunuh orang yang dianggap menindas Islam, termasuk orang bukan Islam dan golongan Syiah adalah satu perbuatan yang dibenarkan.



"Kami telah mengatakan bahawa anda boleh mengajar agama anda tetapi anda tidak boleh mengajar keganasan. Anda tidak boleh mengutuk agama dan bangsa lain.



"Kebanyakan warga dan pemimpin agama memahami hal ini dan itulah sebabnya Singapura merupakan wahah keharmonian kaum dan agama," tegas Encik Shanmugam.




"Saya anggap dia (Murad) mendapat pentauliahan ARS kerana memenuhi kriteria namun apabila ajarannya menyimpang, tidak wajar diterima dan bercanggah dengan nilai masyarakat kita, pentauliahan ARS itu dibatalkan oleh Muis.

Apabila dia mengancam keselamatan nasional pula, kami telah mengambil tindakan berdasarkan fakta."

- Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >