Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Shanmugam: AGC punya cukup bukti untuk dakwa Parti

Nov 05, 2020 | 05:30 AM



TERDAPAT sebab kukuh bagi Pejabat Peguam Negara (AGC) mendakwa Cik Parti Liyani kerana ada bukti mencukupi untuk menunjukkan kemungkinan berlakunya kesalahan mencuri, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K. Shanmugam.



TIDAK JUJUR, AKUI CURI



Tambahnya, polis dan AGC juga mendapatinya tidak jujur berdasarkan siasatan.



Selepas beliau ditangkap polis, bekas pembantu rumah kepada bekas pengerusi Changi Airport Group Liew Mun Leong itu mengaku mengambil 10 hingga 15 helai pakaian lelaki tanpa izin sementara jawapan yang diberinya juga berbeza dalam kenyataan dan keterangan yang diberinya.



Dalam kenyataannya kepada polis pada 4 Disember 2016, beliau berkata:



"Saya hanya mengaku mengambil 10 hingga 15 pakaian lelaki milik suami majikan saya tanpa izin.



"Saya tidak curi barang lain."



Berdasarkan kenyataannya, pada zahirnya, perbuatan itu boleh dianggap satu perbuatan mencuri, kata Encik Shanmugam.



"Terdapat bukti mencukupi yang menunjukkan kesalahan mencuri kemungkinan berlaku," ujarnya.



Kes itu dibincang hangat oleh orang ramai, dengan Anggota Parlimen (AP) dan pelbagai pihak lain menimbulkan persoalan tentang sistem keadilan jenayah.



Semasa menyampaikan kenyataannya, Encik Shanmugam membentangkan fakta kes tersebut seperti yang dibentang di mahkamah.



Beliau antara lain menarik perhatian bahawa Cik Parti memberitahu polis menerusi satu kenyataan pada 4 Disember 2016 bahawa dua jam tangan jenama Vacheron Constantin dan Swatch yang ditimbulkan dalam pertuduhannya merupakan hadiah daripada seorang teman.



Namun dalam kenyataannya pada 29 Mei 2017, beliau berkata jam tangan itu - yang kemudian didapati palsu - ditemui dalam kalangan sampah anak perempuan Encik Liew, Cik May Liew.



Cik Parti juga mendakwa beliau menemui beberapa barang lain termasuk sebuah beg Prada, dua telefon iPhone dan sepasang kaca mata hitam Gucci dalam kalangan sampah namun AGC mendapati ini tidak boleh dipercayai.



"Dengan kenyataan tidak konsisten Cik Parti, jawapannya tentang barang kemas dan barang lain yang menurutnya ditemui dalam kalangan sampah, dakwaannya yang menimbulkan persoalan tentang menemui serta pengakuannya mengambil beberapa pakaian lelaki tanpa izin, AGC mendapati bahawa terdapat sebab untuk mendakwanya," ujar Encik Shanmugam.



Tambahnya, ketika itu, keluarga Liew juga telah mengenal pasti barang dalam pertuduhan itu sebagai milik mereka.



KEPENTINGAN ORANG RAMAI



Encik Shanmugam juga berkata AGC berpandangan bahawa terdapat kepentingan orang ramai yang jelas dalam langkah mereka mendakwa Cik Parti.



"Kelihatannya, Cik Parti telah mencuri banyak barang, termasuk barang yang mahal. Kelihatan juga beliau sudah mencuri selama beberapa tahun dan ini bukan secara impulsif," ujarnya.



Tambahnya, terdapat kes prima facie terhadap Cik Parti sementara polis dan pihak pendakwa juga tidak tahu keluarga Liew, khususnya Encik Liew, akan bersikap tidak konsisten semasa perbicaraan kes itu di Mahkamah.



KEPUTUSAN MAHKAMAH



Selepas perbicaraan di Mahkamah Negara - yang berlangsung selama lebih 20 hari - hakim daerah mendapati kenyataan tidak konsisten yang serius dalam keterangan yang dikemukakan Cik Parti, dengan versi yang berbeza bagi barang tertentu.



Hakim perbicaraan juga menyifatkan testimoninya berhubung bukti tertentu berkaitan beberapa barangan sebagai tidak dapat dipercayai.



Hakim perbicaraan juga mendapati Cik Parti tidak jujur selepas mendengar keterangan daripada 12 saksi bagi pihak pendakwa dan empat saksi bagi pihak pembelaan.



Bagaimanapun selepas mempertimbang kes itu selama tiga hari, Mahkamah Tinggi memberi Cik Parti faedah kesangsian kerana beliau rasa tidak senang dengan kenyataan anak lelaki Encik Liew, Encik Karl Liew, yang tidak boleh dipercayai.



Namun, Encik Shanmugam berkata keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Cik Parti daripada semua tuduhan adalah muktamad dan tiada rayuan boleh dikemukakan.



Malah, kenyataan menteri ini dibuat bukan untuk membuka semula penghakiman.



Dalam pada itu, Encik Shanmugam turut menarik perhatian bahawa Mahkamah Tinggi mendapati bahawa terdapat keraguan munasabah berhubung perbuatan keluarga Liew membuat laporan polis untuk menghalang Parti Liyani daripada membuat aduan kepada MOM terhadap mereka kerana menyuruhnya kerja di tempat lain selain rumah mereka.



Menurut penghakiman mahkamah, laporan polis itu dibuat hanya dua hari selepas Cik Parti menyatakan dengan jelas niatnya mengadu kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) tentang bekerja di rumah dan pejabat Encik Karl Liew.



Kesimpulan itu dibuat Mahkamah Tinggi berdasarkan keterangan dan penghujahan di mahkamah.



Namun, siasatan lanjut mendapati bahawa Cik Parti berkata:



"Saya mahu membuat aduan kerana tempoh notis yang diberi terlalu pendek."



POLIS DAN AGC



Dalam ucapannya, Encik Shanmugam turut berkongsi hasil dapatan berhubung tindakan polis dan AGC dalam kes tersebut.



Ini termasuk tempoh masa lima minggu yang diambil polis untuk melawat tempat kejadian dan melihat bahan bukti selepas laporan polis dibuat pada 30 Oktober 2016.



"Ini satu kesilapan yang menjejas beberapa tetapi bukan semua barang dalam pertuduhan (Cik Parti Liyani).



"Namun, tiada alasan bagi kesilapan ini. Ini melanggar syarat undang-undang dan protokol polis, yang memerlukan polis memberi respons ke tempat kejadian jenayah... secepat mungkin," katanya.



Encik Shanmugam juga berkata IO (pegawai penyiasat) berkenaan menghadapi banyak tekanan, sibuk dengan pendakwaan dan operasi penangkapan serta mempunyai hal peribadi.



Tambahnya, siasatan sedang dijalankan terhadap pegawai yang terlibat dengan kes ini dan jika sebarang peraturan dilanggar, mereka akan menghadapi tindakan disiplin yang sewajarnya.



Selain itu, Encik Shanmugam berkata polis akan mempertimbang komen Mahkamah Tinggi termasuk berhubung mutu tidak baik gambar yang ditunjukkan kepada Cik Parti dan kesilapan tatabahasa semasa merakam kenyataannya.



Empat daripada lima kenyataan polis daripada Cik Parti dirakam dalam bahasa Melayu, manakala yang kelima dirakam dengan bantuan penterjemah bahasa Indonesia.



Mahkamah Tinggi akur beliau memahami bahasa Melayu meskipun tahap pemahamannya tidak jelas namun berkata perbezaan antara dua bahasa itu boleh mewujudkan keraguan munasabah tentang ketepatan kenyataan yang dirakam.



Bagaimanapun menurut Encik Shanmugam, Cik Parti memberitahu pegawai yang merakam kenyataan itu bahawa dia ingin menggunakan bahasa Melayu ketika ditanya.



Tambahnya, seorang penterjemah bahasa Indonesia juga disediakan semasa kenyataan terakhirnya dirakam dan semasa pertuduhan dibacakan kepadanya.



Sebelum ini, Cik Parti juga telah memohon untuk melancarkan prosiding disiplin terhadap DPP yang mengendali perbicaraan kesnya.



Sementara itu, Encik Shanmugam berkata AGC telah mengenal pasti dua bidang yang perlu dipertingkat olehnya termasuk membangunkan garis panduan berhubung penilaian barang yang menjadi subjek kesalahan melibatkan harta benda serta memerlukan pendakwa menunjukkan barang fizikal yang relevan kepada saksi sebagai persiapan sebelum perbicaraan yang lebih teliti.




“Dari perspektif polis dan AGC, kes ini ditangani seperti kes pencurian biasa. Tiada percubaan oleh sesiapa untuk mempengaruhi mereka. Laporan polis telah dilakukan dan hal tersebut diuruskan sepertimana laporan-laporan serupa diuruskan. Kes ini ditangani polis seperti kes biasa. Ia ditangani oleh IO (pegawai penyiasat) dan diluluskan penyelianya. Ini perkara biasa dan diluluskan menerusi saluran biasa. Hal tersebut tidak dipertimbangkan atau dibawa ke perhatian sesiapa sahaja yang berpangkat kanan pada bila-bila masa pun.
– Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang Encik K. Shanmugam



“Kenyataan yang diberinya bahawa beliau (Parti Liyani) tidak mencuri sebarang benda lain juga sangat signifikan. Pada zahirnya dalam kenyataannya, ia kelihatan bahawa pencurian berlaku. AGC menilai kes tersebut berdasarkan perkara ini dan bahan lain...Cik Liyani juga telah memberi keterangan bercanggah kepada polis berkenaan beberapa barang lain.”
– Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang Encik K. Shanmugam




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >