WALAUPUN kebebasan bersuara diamalkan di Singapura, ia perlu diiringi dengan tindakan bertanggungjawab, terutama dalam isu berkaitan agama.
Sebagai negara sekular, Singapura menjamin kebebasan beragama dan hak semua penganut mengamalkan agama masing-masing, namun pada masa yang sama menggunakan undang-undang untuk memastikan mereka dilindungi daripada sebarang ancaman atau serangan.
Menekankan demikian dalam ucapannya di rahat tahunan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) pada Selasa (24 Nov), Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata pendekatan Singapura berbeza berbanding negara sekular lain, seperti Perancis.
“Singapura mengambil pendekatan sekular, dan apabila pemerintah membertimbangkan dasar, ia tidak menyebelahi mana-mana agama. Ia juga menjamin kebebasan beragama, untuk itu proses kami sekular.
“Perancis juga menjamin kebebasan beragama tapi cara kita capai (sasaran yang sama) berbeza. Singapura akan campur tangan (dalam hal ini), kerana pegangan kami adalah kebebasan untuk bersuara harus disertakan dengan tindakan yang bertanggungjawab,” katanya.
Tambahnya, ini sesuatu yang diperlukan untuk menjaga keharmonian antara kaum dan agama yang berbeza di Singapura.
Beliau turut menekankan jenis kartun seperti yang disiarkan Charlie Hebdo di Perancis tidak mempunyai tempat di Singapura, dan jika insiden seperti itu berlaku di Singapura, pelukis yang terlibat akan ditahan.
“Kebebasan bersuara untuk kita (di Singapura) terhenti apabila agama dihina,” ujarnya.