Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Shanmugam: Membenarkan video rap menular bakal burukkan lagi isu perkauman

Aug 23, 2019 | 08:50 AM



JIKA video rap kontroversial yang mengandungi isi bersifat perkauman itu dibenarkan dalam talian - seperti yang diingini sesetengah pihak - maka video lain dengan ucapan yang bersifat perkauman juga perlu dibenarkan, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam pada Khamis (Ogos 22).



Ini akan mengguris hati golongan minoriti di sini, dan memburukkan lagi isu perkauman di Singapura, kata beliau dalam satu sesi perbincangan mengenai isu perkauman yang dianjurkan oleh Jabatan Komunikasi dan Media Baru (CNM) Universiti Nasional Singapura (NUS).



Menjelaskan mengapa pemerintah telah mengarahkan agar video yang dihasilkan oleh artis YouTube Preeti Nair dan abangnya itu ditarik-balik, Encik Shanmugam menjelaskan: "Jika kita membenarkan garis pandu dilanggar ...yang bermaksud semua perkara boleh dilakukan, justeru orang berbangsa Cina juga boleh menyinggung perasaan yang lain, (natijahnya) minoriti yang akan menjadi mangsa dalam perbincangan seperti itu."



Namun, Encik Shanmugam tetap menekankan bahawa ia penting untuk mengadakan perbincangan secara terang-terangan mengenai isu perkauman dan bagi orang ramai untuk boleh menyuarakan pandangan mereka masing-masing.



Mengulas tentang video tersebut, Encik Shanmugam berkata: "Hanya satu perkara yang (pemerintah) membantah, iaitu nada (video tersebut)."



"Apabila anda menggunakan bahasa yang menyinggung perasaan, orang lain juga akan menggunakan bahasa yang menyinggung perasaan, justeru hal ini akan mengubah dimensi (asal)," katanya, dengan memberi contoh negara-negara seperti Jerman, di mana budaya politiknya menjadi lebih kejam, dan kumpulan konservatif menjadi semakin kasar.



Encik Shanmugam bercakap kepada sekitar 100 pelajar universiti, kakitangan dan orang awam, di Sidang Kemuncak Pemimpin CNM yang diadakan dua kali setahun, agar peserta dapat berinteraksi dengan ahli politik dan pemimpin industri utama mengenai isu-isu tertentu.



Sepanjang perbincangan itu, topik perkauman mendapat sambutan hangat sehingga tidak ada masa terluang untuk topik lain yang telah dijadualkan untuk petang itu, seperti isu berita palsu.



Encik Shanmugam berkata undang-undang mesti dijalankan sama rata kepada semua, dan jika video rap itu dibenarkan, ini bermakna orang berbangsa Cina boleh berbuat demikian dan membuat video yang menyinggung perasaan orang Melayu dan India.



"Dalam sesebuah masyarakat, 95 peratus di kalangan rakyat tidak akan melakukan perkara-perkara seperti ini dan menyerang bangsa lain, tetapi jika anda membenarkan golongan baki 5 peratus itu untuk melakukannya, lama-kelamaan jumlah ini akan menjadi 10, 15 peratus," katanya. 



"Apabila ia menjadi normal, ia adalah perkara biasa untuk bercakap antara satu sama lain dengan garis (pandu yang menyinggung perasaan) ini," katanya.



"Maka sejauh mana anda fikir kita akan dapat menikmati jenis interaksi yang kita ada hari ini, di mana secara amnya kaum-kaum kita boleh bersama dan menjalani perhubungan bersama berlandaskan penghormatan dan kepercayaan?" Encik Shanmugam telah bertanya peserta yang hadir.



Pada akhir perbincangan semalam, Encik Shanmugam berkata beliau merasa perlu ada perbualan, sebaiknya dengan orang ramai yang memberi pandangan mereka kepada pemerintah, tentang isu perkauman dan agama.



"Ia satu topik yang sedang berkembang sekarang dan orang ramai sedar tentang perkara itu. Kita perlu membincangkannya - bagaimana perasaan golongan minoriti, bagaimana perasaan golongan majoriti. Perlu ada sifat keterbukaan dalam perbualan," katanya.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >