Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Shanmugam perjelas rasional hukuman mati bagi salah guna dadah dalam podcast BBC

Jun 30, 2022 | 05:30 AM



HUKUMAN mati merupakan salah satu aspek daripada seluruh siri langkah yang diambil Singapura untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dalam satu wawancara podcast BBC.



Berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada beliau mempunyai keraguan jika hukuman mati bagi jenayah dadah adalah dasar yang betul, Encik Shanmugam berkata hukuman mati dikenakan terhadap pengedar dadah "kerana terdapat bukti jelas bahawa ia pencegah serius bagi bakal pengedar dadah".



"Pengedar dadah mahu mencari wang. Dia merosakkan kehidupan pengguna dadah, keluarga mereka - rosak, sering musnah teruk.



"Anda lihat kesan buruk dadah di seluruh dunia. Menurut laporan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) 2021, 500,000 meninggal dunia, dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah, dalam masa setahun sahaja.



"Lebih 70 peratus daripadanya dikaitkan dengan penyalahgunaan opioid," kata beliau kepada wartawan, Encik Stephen Sackur, dalam podcast BBC HARDtalk yang disiarkan semalam.



Ditanya jika beliau bersedia melihat reputasi Singapura merosot disebabkan "keputusan kejam" yang dibuat, Encik Shanmugam berkata perkara utama adalah kehidupan rakyat Singapura dan melindungi rakyat negara ini.



Dalam wawancara itu, Encik Shanmugam turut menjawab soalan tentang pelbagai topik lain, termasuk sama ada seseorang berbangsa India boleh menjadi perdana menteri Singapura dan jika Singapura akan memilih pihak antara Amerika dengan China.



Tidak tepat untuk nyatakan bangsa Melayu atau India tidak boleh jadi PM



Encik Shanmugam berkata di Amerika, lebih 100,000 kematian dilaporkan akibat dos dadah yang berlebihan pada April tahun lalu, dan jangka hayat negara itu merosot buat kali pertama pada 2015 sejak Perang Dunia Pertama sebahagian besarnya disebabkan krisis opioid.



Beliau juga ditanya Encik Sackur tentang hukuman mati yang dikenakan ke atas pengedar dadah Malaysia, Nagaenthran K. Dharmalingam.



Encik Sackur berkata warga Malaysia itu telah ditangkap dengan "sama dengan tiga sudu besar heroin" ketika masuk Singapura dan dia mempunyai kecerdasan intelektual (IQ) 69, dan telah bertanya kepada Encik Shanmugam sama ada hukuman mati yang dikenakan terhadapnya kelihatan setimpal dan menimbangkan faktor belas.



Encik Shanmugam menjawab bahawa mahkamah telah mendapati bahawa Nagaenthran mempunyai pemikiran jenayah, dan dia telah membuat keputusan yang "disengajakan, ditentukur, diperhitungkan untuk membuat duit, untuk membawa masuk dadah".



Beliau menambah bahawa pakar psikiatrik yang dipanggil peguam bela bersetuju dan mengesahkan bahawa Nagaenthran tidak kurang upaya dari segi intelektual.



Berkenaan soal kaum pula, Encik Sackur menarik perhatian bahawa keempat-empat perdana menteri Singapura - termasuk Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang bakal menggantikan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong - sejak merdeka merupakan individu bangsa Cina, dan telah bertanya bahawa bukankah realitinya bahawa Encik Shanmugam, yang berbangsa India, tidak akan pernah dapat menjadi perdana menteri negara ini.



Menjawab, Encik Shanmugam berkata adalah tidak tepat untuk menyatakan bahawa seseorang berbangsa India atau Melayu tidak boleh menjadi perdana menteri.



Beliau menambah bahawa soal bangsa penting dalam politik, dengan tinjauan menunjukkan setiap kaum di Singapura lebih memilih bagi bangsa mereka sendiri menjadi perdana menteri.



"Seorang individu bangsa Melayu atau India bermula dengan... jurang sekitar 20 peratus. Namun, jurangnya bukan tidak boleh dirapatkan.



"Seorang calon yang baik, pada pandangan saya, sama ada calon Melayu atau India, boleh merapatkan jurang itu selagi Anggota Parlimen mempunyai keyakinan bahawa beliau boleh memimpin mereka dalam pilihan raya umum dan menang pilihan raya.



"Saya fikir ia adalah mungkin, oleh itu saya tidak akan menolaknya. Dan saya tidak merujuk kepada diri saya sendiri," kata beliau.



Encik Sackur turut menyentuh tentang isu sewa rumah yang dihadapi individu kaum minoriti, dengan beliau berkata individu bangsa Cina lebih diutamakan, dan adalah mustahil untuk orang India atau Melayu menyewa rumah di kawasan kejiranan tertentu.



Berkenaan tempat kerja pula, Encik Sackur berkata sering kali pekerjaan yang diiklankan menyatakan "bahasa Mandarin penting", walaupun "agak jelas bahawa bahasa Mandarin sebenarnya tidak penting, tetapi ia satu cara memastikan orang etnik Cina mendapat pekerjaan itu".



Menjawab, Encik Shanmugam berkata tiada siapa menafikan bahawa perkauman wujud di Singapura, sama seperti ia wujud dalam kebanyakan masyarakat lain yang berbilang kaum.



Namun, persoalannya adalah betapa sistemik perkara itu dan berapa kerap ia berlaku.



"Namun, pengalaman saya sebagai seorang minoriti di Singapura, dan pengalaman ramai yang lain adalah: secara keseluruhan, berbanding banyak masyarakat lain, ia jauh lebih rendah di Singapura.



"Sebanyak 93 peratus rakyat Singapura tinggal di rumah mereka sendiri. Oleh itu, apa yang anda katakan adalah mengenai warga asing yang mencari rumah di Singapura. Jadi, orang keliru dan bercampur aduk dengan fakta mereka," kata beliau.



Mengenai pihak manakah Singapura akan memilih antara Amerika dengan China, Encik Shanmugam menegaskan bahawa negara ini tidak memilih sebarang pihak.



"Bagi kita, adalah penting untuk kita menangani dan mengharungi persekitaran. Namun, memilih pihak bukanlah cara yang betul," kata beliau.



Encik Shanmugam berkata bagi pihak Amerika, terdapat pemikiran dwipartisan dan konsensus bahawa China menimbulkan ancaman langsung.



Di China pula, terdapat persepsi yang semakin meningkat bahawa dunia Timur sedang bangkit, dunia Barat semakin merosot, dan Amerika sedang berusaha membendung dan mengekang perkembangan China.



"Oleh itu, jika hubungan tegang itu berterusan seperti ini, lebih banyak percabangan teknologi dan rantaian bekalan, atau lebih teruk, akan berlaku.



"Tetapi Singapura, seperti banyak negara lain di rantau ini, mahu mengekalkan hubungan baik dengan kedua-dua Washington dan Beijing," kata beliau.




  • PENCIRIAN 'REPORTERS WITHOUT BORDERS' TERHADAP AKTA CAMPUR TANGAN ASING, ATAU FICA

"Reporters Without Borders - ia sebuah pertubuhan menarik. Mereka meletakkan kita dalam senarai kedudukan tahunan. Tahun lalu, mereka meletakkan kita di tangga ke-160 daripada 180, di bawah Gambia, Guinea, Afghanistan, Filipina, Sudan Selatan, Myanmar. Sudan Selatan telah disifatkan sebagai mempunyai salah satu krisis pelarian paling serius. Myanmar mempunyai rampasan kuasa. Saya tidak melihat wartawan beratur untuk pergi ke Sudan Selatan, Filipina dan Myanmar berbanding Singapura."



  • SAMA ADA INDIVIDU KAUM MINORITI BOLEH MENJADI PERDANA MENTERI DI SINGAPURA

"Mengetepikan saya, saya rasa tidak tepat untuk menyatakan bahawa seseorang berbangsa India tidak boleh menjadi perdana menteri, atau seseorang berbangsa Melayu tidak boleh menjadi perdana menteri... Soal bangsa penting dalam politik. Tinjauan demi tinjauan menunjukkan setiap bangsa - sama ada Cina, Melayu atau India - terdapat pilihan lebih besar bagi seorang individu bangsa mereka sendiri menjadi perdana menteri.



Seorang individu bangsa Melayu atau India bermula dengan... jurang sekitar 20 peratus. Namun, jurangnya bukan tidak boleh dirapatkan. Seorang calon yang baik, pada pandangan saya, sama ada calon Melayu atau India, boleh merapatkan jurang itu selagi Anggota Parlimen mempunyai keyakinan bahawa beliau boleh memimpin mereka dalam pilihan raya umum dan menang pilihan raya."



  • PIHAK MANA SINGAPURA AKAN PILIH ANTARA AMERIKA DENGAN CHINA

"Tidak, kami tidak akan memilih pihak. Bagi kita, adalah penting untuk kita menangani dan mengharungi persekitaran. Namun, memilih pihak bukanlah cara yang betul.



Semua orang boleh lihat ketegangan antara Amerika dengan China adalah mendalam. Bagi pihak Amerika, terdapat pemikiran dwipartisan, konsensus, bahawa China menimbulkan ancaman langsung. Ia selalu mentaliti kita-menentang-mereka.



Di China, terdapat persepsi yang semakin meningkat bahawa dunia Timur sedang bangkit, dunia Barat semakin merosot, dan Amerika sedang berusaha membendung China, mengekang perkembangan China.



Oleh itu, jika hubungan tegang itu berterusan seperti ini, lebih banyak percabangan teknologi dan rantaian bekalan, atau lebih teruk, akan berlaku. Tetapi Singapura, seperti banyak negara lain di rantau ini, mahu mengekalkan hubungan baik dengan kedua-dua Washington dan Beijing."



- Encik K. Shanmugam, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >